Thursday, April 14, 2011

FITNAH BERLELUASA UNDANG BALA (LIBEL, MALICIOUS, SLANDER AGAINST GOOD FAITH)

Cara paling jahat bagi menjatuhkan mana-mana pihak ialah dengan menyebarkan cerita-cerita buruk yang sepatutnya ditutup, atau sekadar mereka-reka imaginasi. Dalam keadaan biasa, perbuatan sedemikian dianggap sebagai fitnah. Masyarakat yang membiarkan fitnah dijaja sama ada dari mulut ke mulut, secara bertulis, atau secara elektronik menandakan kerendahan akhlak dan kerosakan sedang berlaku.

Penyebar fitnah memang licik memperdaya mangsa yang kurang ilmu, serta lebih banyak bergantung kepada emosi. Kelemahan ilmu dan iman sebilangan masyarakat itu digunakan bagi menjayakan makar (rancangan jahat) yang bertitik tolak daripada hawa nafsu dan hasutan syaitan. Jentera perang saraf (psy-war) dan propaganda digunakan pada tahap maksimum.

Isu dosa yang bakal ditanggung tidak pernah terlintas dalam benak penyebar fitnah, dan konco-konco mereka. Hati mereka bagaikan telah dimateri dan warnanya telah bertukar hitam sepenuhnya. Kecintaan mereka terhadap dunia telah mengatasi segala-galanya.

Fitnah lebih bahaya daripada membunuh. Apabila fitnah telah berleluasa, dan masyarakat tidak berusaha menyekatnya, siapa yang dapat menghalang bala yang diturunkan oleh Allah? Bacalah ayat 25 surah al-Anfal (surah ke-8) bermaksud: "Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja antara kamu".

Fitnah ialah suatu kezaliman. Kerja memanjangkan fitnah, atau membiarkannya berleluasa samalah halnya dengan konsep subahat. Jika masyarakat sanggup berpakat untuk memperlakukan pembawa berita yang fasik sebagai kera sumbang, nescaya kerja fitnah akan mati dengan sendirinya...

(dari mimbar Jumaat)

No comments:

Post a Comment