Saturday, April 9, 2011

USOP WILCHA GLAMOR DI STAR (SPANNING INSTANT MESSAGES TO VALID INFERENCES)

Ipoh, Jumaat: 8/4/11: 4 Jamadil Awwal 1432

Pengaruh watak Usop Wilcha tidak berakhir di layar perak setelah naskhah "Hantu Kak Limah Balik Rumah" mencatat pungutan pecah panggung (box office) menghampiri RM8 juta baru-baru ini. Pemegang watak, Shy8 (nama glamor bagi Syed agaknya), 46, khabarnya seorang profesional (pengurus komunikasi korporat Tanjong Offshore), menenggelami populariti watak-watak lain yang lebih utama. Ungkapan seperti "kita bakor aje" dan "nampak benor menipu" menjadi frasa kegemaran dalam perbualan di mana-mana.
Ketika mengendalikan satu program bengkel bahasa di Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (Star) yang berstatus sekolah berprestasi tinggi, sekolah kluster, dan sekolah asrama penuh premier, semua 142 orang pelajar tingkatan 5 gempita tiap kali penulis blog (PB) menyebut kata bual watak Usop Wilcha. Apabila seorang pelajar bangun menanyakan ketiadaan bahan dalam modul edaran, secara spontan terpacul lafaz "kita bakor aje". Hilang rasa mengantuk walaupun terpaksa berkurung selama dua jam dalam dewan yang dinamakan MLT (main lecture theatre, dewan kuliah utama) itu.

Tumpuan bengkel ialah untuk membincangkan cara menjana idea-idea jitu yang dapat diterapkan dalam proses penulisan. Masalah orang-orang pintar ialah penyampaian mesej kepada sasaran. Pemikiran yang terlalu tinggi kadang-kadang tidak berjejak di bumi nyata, lalu merendahkan nilai komunikasi.

Misalannya, seorang pelajar cuba memberi pendapat tentang sebab perkhidmatan bomoh masih diperlukan oleh masyarakat moden. Sebelum pergi kepada jawapan (tugasan), pelajar berkenaan menerangkan bahawa bomoh yang akan dikaitkan dengan jawapan terhad kepada bomoh yang menggunakan ayat-ayat suci al-Quran, bukan bomoh palsu. Kemudian, huraian diberi kepada keberkesanan rawatan doktor yang masih ada kelemahan.

Pertama, tugasan telah diberi batasan mengikut tafsiran sendiri. Kedua, peranan doktor tidak ada kena-mengena dengan tugasan. Ketiga, kata kunci tugasan, iaitu perkhidmatan tidak diberi perhatian.

Kalau berdasarkan model Pareto, atau nisbah kecairan bank, kita akan selalu berjumpa angka 80:20. Maksudnya, 80 peratus anggota masyarakat cenderung bertindak secara spontan, serta tidak berfikir panjang. Golongan sedemikian meletakkan faktor kos, akses dan kesan serta-merta sebagai perkiraan untuk membuat keputusan.

Perkhidmatan bomoh masih diperlukan kerana murah, mudah diperoleh dan kadangkala rawatan yang mujarab. Mungkin jawapan itu kelihatan terlalu "bodoh", ringkas dan terlalu senang. Namun, masyarakat memang bertindak seperti itu dalam mempertimbangkan perkhidmatan bomoh.

Walaupun idea yang dicadangkan terdedah kepada andaian dan perdebatan, tetapi masih sejajar dengan salah satu objektif pembelajaran bahasa, iaitu kebolehan membuat penyeluruhan (generalisasi). Selain itu, pelajar dilazimkan dengan proses membezakan pernyataan pendapat dengan pernyataan idea. Pelajar juga  dijuruskan kepada fokus tugasan yang ditetapkan...

No comments:

Post a Comment