Kedudukan bahasa Melayu yang dijamin oleh perlembagaan negara kelihatannya terumbang-ambing akibat tahap jati diri yang lemah dalam kalangan segelintir pengkagum Barat yang kebetulan sangat berpengaruh dalam proses membuat keputusan, selain memiliki akses terhadap pembentukan pendapat awam menerusi media. Kelompok bercita rasa Inggeris itu cuba memaksakan fahaman mereka kepada sekalian masyarakat. Hakikatnya ialah mereka tidak pernah berasa sayang walau sekelumit jua terhadap bahasa Melayu.
Kepada puak-puak berkenaan, apa-apa sahaja yang berjenama Melayu sama ada bahasa, budaya, adat resam, seni, karya sastera atau jalur pemikiran dikaitkan dengan kemunduran, ketinggalan zaman dan kuno. Sebaliknya, segala yang datang dari Barat semuanya agung, hebat, maju, mengkagumkan, dan moden. Pendek kata, kalau boleh mereka malu untuk mengaku sebagai Melayu, bahkan berasa rendah diri dan kesal kerana bukan tergolong sebagai orang Barat.
Apabila pejuang bahasa Melayu sesekali bersuara, label seperti antikemajuan, sentimental dan tidak berfikiran jauh segera dilontarkan. Kepesatan perkembangan penemuan baharu dalam bidang sains dan teknologi dijadikan alasan supaya bahasa Melayu diketepikan secara beransur-ansur dalam proses pembelajaran. Nasib baik bahasa Melayu sempat diselamatkan walaupun prosesnya agak perlahan.
Bagi sarjana bahasa yang prihatin, pertukaran nama bahasa Melayu ke bahasa Malaysia tetap menjadi luka yang sukar disembuhkan. Walaupun demikian perkataan Malaysia sendiri berteraskan Melayu, iaitu Tanah Melayu. Namun, mengapakah tiada bahasa Amerika Syarikat, bahasa Australia, bahasa England, bahasa Kanada dan bahasa New Zealand untuk menunjukkan keragaman bahasa Inggeris?
Bahasa Sanskrit terus lenyap kerana tidak diangkat sebagai bahasa ilmu tinggi, sebaliknya hanya dituturkan dalam majlis keramaian dan dihadkan kepada pengucapan bidang sastera. Maka, rasa khuatir tentang nasib bahasa Melayu bukanlah tidak berasas. Sudah tiba masanya kedudukan bahasa tidak boleh dibiarkan terancam oleh pengkagum Barat yang serba-serbi keInggerisan dari segi cara hidup dan pemikiran...
No comments:
Post a Comment