Pengumuman kenaikan 7.12 peratus kenaikan tarif elektrik, walaupun hanya membabitkan penggunaan RM77 ke atas menerima reaksi berbelah bahagi. Bagi pihak pembekal, Tenaga Nasional Berhad (TNB), peningkatan kos pengeluaran akibat tekanan harga arang batu dunia tidak mampu ditanggung lain. Namun, bagi pihak industri dan premis perniagaan, bayaran tambahan bil elektrik mereka bermakna bahawa margin keuntungan akan menyusut dengan andaian bahawa perolehan jualan masih sama.
Pihak industri dan premis niaga mungkin mencongak-congak untuk memindahkan beban kenaikan kos pengeluaran dalam bentuk kenaikan harga barang akhir. Namun, keputusan untuk membeli atau untuk tidak membeli terletak di tangan pengguna. Pada akhirnya mekanisme harga pasaran banyak dipengaruhi oleh permintaan pengguna atau isi rumah.
Bagi barang keperluan asas seperti beras, gula dan tepung yang merupakan barang kawalan bersubsidi, peningkatan harga hanya mengurangkan sedikit sahaja kuantiti yang diminta justeru bersifat tidak anjal harga. Walaupun margin keuntungan barangan asas tidak begitu besar, tetapi lihatlah pencapaian Robert Kwok (raja gula), Syed Mokhtar al-Bukhari (raja beras) dan Malayan Flour Mills (MFM) yang mengungguli empayar konglomerat tanah air.
Kepada syarikat peruncitan gergasi seperti Carrefour, Giant, Jusco, Tesco dan UO, bil elektrik bukanlah komponen terbesar kos pengeluaran mereka. Kos promosi seperti flyer, pembelian ruang iklan media, dan peraduan cabutan bertuah memakan biaya yang lebih besar. Jumlah (volume) jualan yang tinggi akan menyerap margin keuntungan yang lebih kecil tadi.
Sesetengah syarikat pula sanggup memperuntukkan sejumlah besar wang bagi menanggung kerugian akibat strategi harga jualan di bawah paras modal bagi "membunuh" pesaing terdekat atau "mencuri" pelanggan pesaing. Peserta baharu sesuatu industri tidak akan mampu bertahan dengan serangan harga rendah itu. Selain itu, pakatan harga atau kartel boleh dilakukan oleh pasaran yang bersifat oligopoli sebagai satu bentuk sekatan kemasukan peserta (firma) baharu ke dalam industri.
Nasib industri dan peniaga sebenarnya ditentukan oleh permintaan pengguna. Jika pengguna bersatu untuk memberi tekanan seperti mengurangkan pembelian, melakukan pemulauan atau menguatkan gerakan koperasi pengguna, barangkali pemain industri dan peniaga terpaksa mencari ikhtiar lain bagi menampung kemerosotan margin keuntungan yang diakibatkan oleh kenaikan kos bil elektrik.
Bagi pengunjung tetap restoran mamak dan restoran makanan segera, mungkinlah sehari dua mereka merungut jika harga roti canai, capati, toseh atau roti tisu naik sedikit, atau saiz tiap satunya dikecilkan sedikit. Namun, tuntutan perut yang beroncong memperlihatkan bahawa hingga dini hari pun restoran 24 jam masih dipenuhi pelanggan. Walhasil, balik asal!
Kebanyakan isi rumah bandar menggunakan bahan sekali peralatan automasi seperti perkakas memasak, mesin basuh pakaian, gajet hiburan dan pendingin hawa. Jika bil elektrik bulanan mereka ialah RM200, mereka akan membayar tambahan RM14 sahaja. Mereka tidak akan keberatan melakukannya...
No comments:
Post a Comment