Bilangan sekolah teknik asal ialah 9 buah, termasuk SM Teknik Ipoh, Persiaran Brash (SMTI) yang menerima kohort pertama murid pada tahun 1973. Apabila lebih banyak sekolah vokasional dibuka, sekolah teknik asal dikekalkan sebagai jurusan teknikal akademik sains tulen. Semua murid ditetapkan mengambil mata pelajaran Matematik Tambahan, Fizik, dan Kimia selain mata pelajaran teras dan jurusan (perdagangan, elektrik, jentera dan awam).
Majoriti budak perdagangan terdiri daripada kaum feminin. Penulis blog (PB) yang bertugas di SMTI pernah mengajar mata pelajaran Prinsip Akaun dan Ekonomi Asas. Mata pelajaran lain yang pernah PB kendalikan ialah Bahasa Melayu. Pengetahuan Moral, Sejarah, Ekonomi Tingkatan 6 dan Pengajian Am.
Pada peringkat awal penubuhannya, kira-kira 60 peratus lulusan sekolah teknik menyambung pengajian di luar negara, terutamanya United Kingdom dan Amerika Syarikat. Setelah lebih banyak IPTA teknikal tempatan ditubuhkan, lulusan teknik memenuhi UTM, UTHM dan UiTM. Lulusan dengan pencapaian sederhana memasuki politeknik.
Jika rancangan menukar sekolah teknik kepada kolej teknikal menjadi kenyataan, SMTI akan mengkhusus kepada pengajian kejuruteraan jentera (mekanikal). Pengambilan kohort pertama pelajar bertaraf sijil dan diploma akan bermula pada tahun 2012. Semua 10 buah sekolah teknik di Perak bakal terbabit dengan penstrukturan baru pengajian separa teknikal.
Konsep tenaga pengajar terus daripada industri ialah suatu bentuk pembaharuan yang dijangka menjadi pemangkin kepada pencapaian matlamat negara maju yang disasarkan 9 tahun lagi. Jika di universiti, tenaga pensyarah jemputan itu dipanggil profesor adjung (adjunct professor), di kolej teknikal belum tahulah lagi. Negara kejuteraan termaju seperti Itali, Jerman, dan Peranchis telah melaksanakan konsep pengajian separa teknikal sedemikian sekian lama.
Perubahan ialah sesuatu yang sangat pahit dan sukar bagi golongan status quo. Bagi meredakan kebimbangan mereka, pihak kementerian sudah pasti menyediakan pelan penstrukturan jawatan yang bersesuaian. Tiada mana-mana kalangan bakal dipinggirkan...
No comments:
Post a Comment