Seorang penyanyi popoular tanah seberang terlantar di hospital berhari-hari akibat tabiat kerja menghadap komputer riba sekurang-kurangnya 6 jam sehari, selain berkurung dalam studio rakaman. Walaupun dibenarkan pulang, pelantun vokal wanita itu masih perlu menjalani rawatan fisioterapi setiap dua minggu. Serangan penyakit saraf kepada penyanyi awal 20-an itu ialah kes normal bagi remaja-remaja era digital kini.
Walaupun pengeluar komputer mendakwa bahawa teknologi paparan cecair kristal (LCD) bebas daripada sebarang kesan radiasi, masih tiada penyelidikan berskala besar yang dapat menyokong dakwaan itu. Namun, perkara yang pasti ialah apabila seseorang berada dalam kedudukan tertentu dalam tempoh yang lama menghadap sesuatu benda, maka postur tubuh orang berkenaan mungkin menjadi kaku dan sistem pengaliran darah menghadapi masalah. Sistem saraf juga dipaksa untuk pegun secara berterusan.
Dari sudut psikologi pula, tumpuan berlebihan terhadap sesuatu ialah satu bentuk gangguan manomania. Seseorang yang merelakan dirinya menjadi hamba sesuatu gajet, misalnya komputer sebenarnya sedang menderita penyakit manomania, serta perlu dirujuk kepada pakar sakit jiwa. Tingkah laku pesakit sudah tidak lagi normal, bahkan ciri antisosial yang ditunjukkan makin ketara.
Selain komputer, peranti mudah alih yang paling meluas digunakan oleh remaja ialah telefon bimbit. Remaja akan mencari jalan untuk memiliki set tercanggih dengan pelbagai ciri aplikasi terkini yang akan dijadikan tema perbualan dengan rakan-rakan yang terkena penyakit yang sama. Maka, jumlah waktu yang diperuntukkan bagi melayan segala aplikasi telefon bimbit sangatlah panjang hingga terbawa-bawa ke bilik tidur.
Beberapa kajian mendapati bahawa gelombang magnetik yang dikeluarkan oleh set telefon bimbit boleh mendatangkan risiko barah otak. Selain itu, kebiasaan menyimpan telefon bimbit dalam kocek seluar dikatakan bakal menjejaskan kesuburan dan sistem reproduksi seseorang. Walaupun tidak diaktifkan, jika telefon bimbit diletakkan di dalam kocek baju pula, dikhuatiri mempengaruhi kesihatan jantung pemiliknya.
Jika dibangkitkan soal risiko gajet digital itu, kebanyakan remaja hanya tersenyum sinis dan enggan ambil pusing. Bagi mereka, pengkaji dan persatuan-persatuan pengguna yang membuat bising hanyalah menzahirkan perasaan cemburu dan dengki terhadap gaya hidup remaja semasa. Kalau hendak kena penyakit, seribu macam punca dan sebab lain boleh disebut.
Sama ada setuju atau tidak, sesuatu yang diambil atau digunakan secara berlebihan tentulah tidak baik. Pembaziran waktu untuk tujuan-tujuan yang tidak produktif tentulah merugikan remaja yang sepatutnya memperuntukkan masa untuk kemajuan diri. Jika asyik melayan gajet digital, seseorang remaja mungkin tidak menyedari bahawa dirinya telah dieksploitasi oleh saudagar kapitalis, penaja kejahatan dan amalan songsang...
No comments:
Post a Comment