Mulai minggu ini, pelajar prauniversiti tingkatan 6 Rendah bakal menerima pendedahan tentang proses penyelidikan, serta sekali gus mendapat bimbingan dalam melaksanakan penyelidikan sebagai sebahagian komponen pengajian prauniversiti di bawah penjenamaan semula pembelajaran tingkatan 6 sejak tahun 2009. Di SMK St. Michael, Ipoh (SMI), aktiviti pertama yang akan dilalui ialah taklimat khas pelaksanaan penyelidikan oleh Unit Penyelidikan, Pengajian Tingkatan 6. Penulis blog (PB) selaku setiausaha unit diberi tanggungjawab menyampaikan taklimat berkenaan.
Para pensyarah dibekalkan dengan naskhah manual panduan yang merangkumi segala proses penyelidikan bermula dengan konsep penyelidikan secara umum, diikuti dengan perincian langkah demi langkah hingga selesai aktiviti penulisan laporan. Selanjutnya, pelajar akan dikehendaki membentangkan laporan mereka dalam sesi kolokium mirip viva. Penilaian dari segi kehadiran, penyertaan, pembentangan dan penulisan laporan akan berpandukan rubrik yang seragam.
Bagi memperoleh gambaran am tentang proses penyelidikan pelajar prauniversiti, berikut dipaparkan bahagian prakata naskhah manual panduan guru. Mudah-mudahan proses penyelidikan yang dilaksanakan dapat menyediakan pelajar terhadap pembinaan tubuh ilmu tahap tinggi. Selamat membaca...
PRAKATA
Naskhah ini disediakan bagi membantu pensyarah prauniversiti melaksanakan bimbingan penyelidikan kepada pelajar tingkatan 6 Rendah. Segala nota panduan yang dimuatkan telah mengambil kira sumber di bawah kawalan Unit Penyelidikan Pengajian Tingkatan 6. Dalam tempoh empat bulan, pelajar prauniversiti diharapkan muncul sebagai penyelidik muda yang bukan sahaja didedahkan dengan kerangka penyelidikan yang piawai, bahkan dapat menyediakan sebuah laporan penyelidikan yang akur dengan format penulisan sebagaimana kehendak komuniti penyelidikan tahap tertinggi.
Menyedari kawalan sumber yang dimiliki, penyelidikan pelajar prauniversiti ditumpukan kepada kaedah tinjauan sampel bukan rawak bertujuan. Maksudnya, pelajar prauniversiti akan melaksanakan proses penyelidikan yang menjurus kepada kutipan data kuantitatif secara deskriptif. Dalam kata lain, penyelidikan hanya melibatkan kertas dan pen, serta kalkulator bagi memindahkan data mentah kepada taburan kekerapan, peratusan, purata (min) dan jadual silang.
Semasa sesi pertemuan pensyarah dengan pelajar pada tarikh dan masa yang ditetapkan, pensyarah disarankan membuat peruntukan masa dengan aktiviti seperti di bawah:
1.20 – 1.25 Semakan kehadiran / persediaan
1.25 – 1.45 Pendedahan teori penyelidikan (rujuk naskhah ini)
1.45 – 2.00 Bimbingan persediaan bahan
2.00 – 2.30 Bimbingan format dan laras penulisan
2.30 – 2.40 Kesimpulan, tindakan lanjut
2.40 Bersurai
Semua bahan dalam naskhah ini dimuat turun daripada blog di URL: cikguazharrodzi.blogspot.com. Sebarang kritikan, maklum balas, penambahbaikan dan teguran sangatlah dialu-alukan. Sesungguhnya, usaha tuan puan membantu pelajar prauniversiti melaksanakan penyelidikan ialah satu sumbangan besar terhadap kejayaan proses penjenamaan semula pengajian prauniversiti tingkatan enam.
20 Jun 2011 / 18 Rejab 1432 © cikguazharrodzi.blogspot.com
No comments:
Post a Comment