Monday, June 20, 2011

R & D HANYA SEBAHAGIAN PENYELIDIKAN (TAPPING THE RAPID INNOVATIONS BY COMPETITORS)

Aktiviti penyelidikan meliputi aliran, bidang, dan pendekatan yang amat luas. Seseorang penyelidik tidak sempat menguasai semua aliran, bidang dan pendekatan penyelidikan justeru batasan sumber yang dimiliki, terutama usia penyelidik itu sendiri. Maka, pada kebiasaannya, seseorang penyelidik akan memberi tumpuan terhadap aktiviti penyelidikan dalam bidang pengkhususan atau kepakaran masing-masing.

Dalam kalangan penyelidik muda yang baharu menerima pendedahan tentang konsep penyelidikan, banyak perkara yang masih kabur atau mengelirukan. Ada yang menyangka bahawa penyelidikan dan pembangunan (R & D) sama maksudnya dengan penyelidikan. Hakikatnya R & D hanyalah bahagian kecil dalam kaedah penyelidikan, tetapi pelaksanaannya melibatkan sumber yang begitu banyak.

Aktiviti R & D bersifat skala besar, serta hanya mampu dilaksanakan oleh sesebuah firma perniagaan besar, atau agensi kerajaan yang memiliki peruntukan kewangan yang sangat besar. Pada asasnya, R & D bertujuan menguji keluaran atau produk baharu bagi meningkatkan kecekapan dan seterusnya pulangan jangka panjang. Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) mentakrifkan R & D sebagai kerja kreatif berasaskan susunan sistematik bagi meningkatkan stok pengetahuan manusia menerusi amalan atau teknologi yang diperbaharui.

Kitaran aktiviti R & D masih tidak banyak berbeza dengan aktiviti penyelidikan yang lain, iaitu mengenal pasti bidang kecekapan yang hendak ditingkatkan (isu / bidang keprihatinan), melakukan sintesis dan teori (tinjauan bacaan), membina hipotesis atau soalan penyelidikan, reka bentuk produk baharu dan ujian (instrumentasi dan pentadbiran), dan akhir sekali pelaksanaan dan kajian efikasi (analisis data dan rumusan).

Perbezaan besar R & D dengan aktiviti penyelidikan yang lain ialah reka bentuk produk baharu dilakukan terlebih dahulu, kemudian diuji bagi merekodkan perolehan data. Penyelidikan lain mungkin tiada produk yang hendak diuji, tetapi menjurus kepada aktiviti penyiasatan yang mendalam terhadap sesuatu amalan, atau produk sedia ada supaya saranan penambahbaikan atau keputusan lain boleh diambil. Dari segi pembiayaan, aktiviti R & D memerlukan peruntukan yang tinggi bagi reka bentuk produk baharu terlebih dahulu.

Aktiviti R & D juga telah menetapkan sampel penyelidikan, iaitu produk baharu tersebut. Setelah data diperoleh, keputusan akan dibuat sama ada produk berkenaan boleh digunakan atau tidak. Maka, kebiasaannya aktiviti R & D tidak menjadi pilihan penyelidik individu dan sarjana di universiti, melainkan mereka ditaja oleh mana-mana firma besar atau agensi kerjaan yang hendak mendapatkan khidmat kepakaran yang dimiliki...

No comments:

Post a Comment