Antara tingkah laku murid atau pelajar yang agak sukar untuk dikendalikan ialah sikap degil dan enggan mempedulikan aktiviti bilik darjah. Pembawaan melencong itu walaupun hanya membabitkan seorang dua murid sudah cukup untuk mengganggu kelancaran proses pembelajaran. Murid sedemikian tanpa rasa bersalah dengan selamba menyembamkan muka di permukaan meja, malah berani menunjukkan sifat "lawan tauke" apabila ditegur oleh guru.
Cikgu-cikgu telah menerima pendedahan ilmu sosiologi pendidikan sebelum mereka layak ditauliahkan sebagai pendidik. Susun lapis masyarakat yang normal ialah 5 peratus pemimpin (dalam pelbagai aspek), 90 peratus pengikut, dan 5 peratus lagi ialah kelompok pinggiran yang cenderung kepada tingkah laku devian atau lencongan tadi. Maka, lebih kurang begitu juga yang terjadi dalam persekitaran bilik darjah.
Meskipun cikgu memiliki impian bahawa 100 peratus murid dalam bilik darjah yang dikendalikan akan akur terhadap aktiviti kurikulum yang dilaksanakan, hakikatnya tetap sahaja ada budak-budak yang bermotivasi negatif. Di universiti pun ada juga kes pelajar yang ingkar di dewan kuliah. Bezanya, pelajar universiti lebih pintar mencari jalan supaya tetap memperoleh ijazah.
Sikap degil menyebabkan sasaran pihak sekolah dalam bidang akademik terancam. Banyak masa terpaksa diperuntukkan bagi menangani kerenah budak yang unik itu. Kaunselor pelajar perlu menggunakan pelbagai inventori dan terapi dengan harapan murid itu sendiri dapat mengungkapkan betapa mereka telah berpegang kepada pendirian yang salah.
Sikap degil dibawa dari rumah. Murid berkenaan memang sentiasa memeningkan kepala ibu bapa mereka. Segala bentuk nasihat, pujukan, apatah lagi leteran bagaikan mencurah air di daun keladi.
Mereka sudah mangli dengan cakap-cakap berbaur harapan mahupun bentakan. Semua itu tidak lagi berbekas. Mereka hanya mendengar kata hati diri sendiri dan kawan-kawan yang sealiran.
Golongan pendidik diamanahkan supaya menerima semua murid tanpa syarat, iaitu mereka dialu-alukan seadanya (you are welcome as you are). Namun, sebagai insan biasa yang punya perasaan halus, sikap degil yang keterlaluan itu tidak betah didiamkan tanpa tindakan lanjut. Jika diagnosis bersendirian tidak boleh dilakukan, rujukan pakar dan tindakan pihak atasan diperlukan.
Pihak sekolah tidak boleh berhenti melakukan segala ikhtiar yang terdaya bagi menukar sikap degil yang negatif itu kepada sikap degil yang positif. Pasti ada sisi lembut (soft spot) pada diri seseorang insan. Kalau kita tidak mencubanya, kita tidak bakal tahu...
Pihak sekolah tidak boleh berhenti melakukan segala ikhtiar yang terdaya bagi menukar sikap degil yang negatif itu kepada sikap degil yang positif. Pasti ada sisi lembut (soft spot) pada diri seseorang insan. Kalau kita tidak mencubanya, kita tidak bakal tahu...
No comments:
Post a Comment