Tuesday, July 5, 2011

PENGGUNA PUNYA HAK SOAL HARGA MAKANAN (NEVER BELIEVE THE MANUAL CASHIER)

Pukul 9 malam tadi penulis blog (PB) bersama-sama rakan singgah di sebuah gerai makan di Jalan Doraisamy di ibu negara, dengan latar belakang Menara Kuala Lumpur yang gemerlapan bagaikan pesona bintang di langit. Ringkas cerita, lima orang pelanggan ini pun membuat pesanan: dua hidangan mi mamak, dua hidangan mi rebus, sebungkus nasi lemak dan sup daging. Minuman lima gelas semuanya.

Usai menikmati makan minum ala kadar, petugas gerai dipanggil untuk menghitung harga yang perlu dibayar. Maka, datanglah petugas dalam lingkungan usia awal 20-an dengan sebatang pen tanpa kertas atau kalkulator. Mulutnya pun mula kumat-kamit macam hendak membaca jampi mentera.

PB sudah mula menyoal petugas gerai sebab dia menggunakan kertas tisu untuk hitungan congak, dan bukan kalkulator seperti yang sepatutnya. Dia hanya tersengih dan langsung menyebut RM40. Seorang kawan terus menghulurkan not RM50, dan petugas itu berlalu untuk mengambil wang baki. Dalam tempoh itu, seorang kawan mencadangkan supaya congakan semula dilakukan secara terperinci.

Tembelang petugas serta-merta terbongkar. Jumlah sebenar bayaran tidak melebihi RM30. Dia meminta maaf dan not RM10 yang sudah sedia ada di tangannya dengan cepat diserahkan.

Taktik lama itu mungkin berjaya menipu pelanggan yang cuai atau tidak kisah. Mungkin juga petugas itu berasa upah yang diterima tidak cukup baginya untuk menampung sara hidup di Kuala Lumpur. Sama ada majikannya memberi restu atau tidak tahu, perbuatan yang bersifat sengaja itu boleh dikenakan tindakan di bawah akta perihal dagangan.

Perkara yang sama pernah berlaku di klinik swasta. Petugas kaunter sengaja meletakkan caj melebihi ketetapan doktor bagi memperoleh wang secara haram. Kini, sesetengah klinik memperkenalkan sistem resit berkomputer dan pembayaran dengan kad kredit bagi mencegah penipuan petugas kaunter di klinik.

Pada amnya, kesedaran pengguna di Malaysia dan negara belum maju memang di tahap rendah. Mereka seolah-olah pasrah dengan kehendak peniaga. Mereka mungkin tidak mahu dianggap sebagai terlalu berkira atau tidak mahu dianggap orang cerewet.

Pengalaman PB dan kenalan di luar negara juga menunjukkan hal yang sama. Jika sekadar hendak meninjau-ninjau sahaja baik lupakan! Ada peniaga di timur tengah, Asia Selatan dan China yang terus membungkus barang, lalu mengikatnya pada beg kita, walhal kita hanya membelek-beleknya sahaja.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jerman, peniaga yang gerun dengan kuasa pengguna. Kebanyakan barang boleh dipulangkan dalam tempoh hingga dua bulan jika pengguna tidak berpuas hati. Sebab itulah banyak barang seperti peranti komputer yang dipulangkan dihantar balik ke kilang untuk diproses semula sebagai produk refurbished.

Kebanyakan barang refurbished itu akan dipasarkan semula di negara-negara sedang membangun seperti Malaysia. Anda boleh memperoleh barang-barang seperti itu di Plaza Imbi atau Low Yatt. Kalau kereta dipanggil reckoned seumpama Alphard, Estima dan Harrier yang berlambak di pasaran tempatan.

Kesimpulannya, pengguna harus menggunakan segala hak sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang. Peniaga yang membiarkan petugasnya menipu hendaklah diseret ke muka pengadilan. Jika tidak, kocek kita akan lebih cepat bocor...

No comments:

Post a Comment