Friday, August 12, 2011

KEMISKINAN ANCAM KEKUATAN UMAT (KILLING THE HARDCORE HAVE-NOTS)

Tiada manusia yang mahu terperangkap dalam putaran ganas kemiskinan, hidup kebuluran, melarat atau sengsara. Hakikatnya, 20 peratus manusia di muka bumi menguasai 80 peratus kekayaan, manakala baki 80 peratus manusia lagi berebut-rebut hanya 20 peratus kekayaan. Model Pareto 20:80 dikatakan memburuk kepada nisbah lebih ekstrem, iaitu 10:90 apabila kaum pemodal (kapitalis) makin rakus dan berleluasa.

Menurut perangkaan Bank Dunia yang terkini, rantau paling miskin ialah Asia Selatan (India-Pakistan-Bangladesh) yang mewakili 39 peratus penduduk berpendapatan di bawah USD1 sehari, diikuti oleh Asia Timur (Indochina), 33 peratus dan pinggir Sahara, Afrika, 17 peratus. Peralihan daripada ekonomi berasaskan pengeluaran (p-economics) kepada ekonomi berasaskan pengetahuan (k-economics) mengakibatkan kadar pengangguran dalam kalangan masyarakat miskin meningkat lebih mendadak. Hampir semua peluang disambar oleh anak-anak golongan kaya yang memiliki akses kepada nilai modal insan yang lebih tinggi menerusi pendidikan dan latihan yang dilalui.

Masyarakat miskin mungkin terperangkap dalam putaran ganas kemiskinan selama tiga generasi, melainkan terdapat campur tangan (intervention) luaran. Maksudnya, sistem agihan kemakmuran dan kekayaan sesebuah negara perlu lebih adil dan lebih cekap. Anjakan paradigma tentang kepentingan pendidikan dan kerja kuat mesti ditanamkan dalam minda ibu bapa dalam kalangan masyarakat miskin.

Konsep ekonomi berpendapatan tinggi yang dicetuskan dalam Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) di negara kita ialah satu contoh usaha memecahkan putaran ganas kemiskinan yang masih membelenggu masyarakat yang masih miskin  walaupun bilangannya sudah makin kecil. Sejak mencapai kemerdekaan lebih setengah abad, negara kita telah berjaya mengurangkan peratus kemiskinan tegar ke tahap minimum. Namun, kes-kes kemelaratan masih berlaku akibat sikap masyarakat yang kurang peduli tentang nasib masyarakat kurang beruntung seperti warga tua yang diabaikan, ibu tunggal, anak-anak yatim piatu, serta golongan sebatang kara yang disisihkan oleh kaum keluarga.

Kemiskinan tidak semestinya berpunca daripada warisan seperti putaran ganas tadi. Iklim perniagaan yang lembap atau kos sara hidup yang tinggi akibat inflasi juga mengakibatkan masyarakat jatuh miskin secara tiba-tiba. Masyarakat yang miskin memiliki kuasa beli yang terhad.

Kuasa beli yang lemah bererti perbelanjaan agregat dalam ekonomi juga lemah. Selanjutnya, peniagaan akan menjadi perlahan dan pengeluaran di kilang terpaksa dikurangkan. Pekerja sedia ada terpaksa diminta berhenti, dan putaran ganas kemiskinan akan bermula sekali lagi.

Saidina Ali karamallah wajhah pernah mengungkapkan bahawa "andainya kemiskinan itu wujud sebagai makhluk yang hidup, nescaya aku bunuh." Yang hendak dibunuh ialah kemiskinan, bukan orang miskin. Alasannya mudah, iaitu kemiskinan mendekatkan manusia kepada kekufuran (tercabut iman) sebagaimana yang dilaporkan lewat hadith.

Salah satu komponen doa al-Ma'thurat yang dihimpun oleh Hassan al-Bana ialah tentang menghindari miskin tegar (fakir). Kemiskinan mendedahkan seseorang kepada eksploitasi dan manipulasi pihak-pihak yang hendak menjerumuskan mereka ke arah kesesatan akidah. Mereka juga mungkin dihasut oleh syaitan supaya meletakkan kesalahan terhadap konsep takdir yang palsu.

Demikian antara inti pati mimbar Jumaat minggu ini. Hendaknya segala dasar ekonomi dan sumber organisasi agihan seperti Baitul-Mal berpegang semula terhadap keutamaan yang tepat. Isu kelemahan akidah mendambakan perhatian segera...

No comments:

Post a Comment