Berhampiran persimpangan lampu isyarat sebuah bandar, terpampang sepanduk yang dihiasi kata-kata: "Cari Redha Allah walaupun manusia murka, jangan cari redha manusia hingga Allah murka." Sekilas pandang, ungkapan itu memang bertujuan murni supaya manusia sentiasa ikhlas dalam melakukan semua perkara. Walaupun demikian, sebagai ungkapan yang digubah oleh manusia yang gemar akan falsafah dan kata-kata hikmah, perbincangan dan perdebatan konseptual tentangnya boleh dipanjangkan.
Pengamatan spontan tentang ungkapan berkenaan mungkin membawa maksud terdapat konflik antara redha Allah (ejaan baku: reda) dengan redha manusia. Benarkah demikian? Adakah dalam usaha mencari redha Allah, redha manusia mesti dipinggirkan sama sekali?
Redha Allah merujuk kepada pengabdian secara mutlak kepada Allah semata-mata. Bagi orang-orang yang beriman, mencari redha Allah ialah tujuan hidup yang hakiki. Segala perbuatan yang diikhlaskan semata-mata kerana Allah akan dikira sebagai ibadah selagi mana memenuhi syarat hukum taklifi dan hukum wad'i yang tertentu.
Perbuatan yang menyimpang daripada redha Allah akan bersifat sia-sia, malah mungkin menuju jalan taghut. Para ulama dan sarjana sufi telah memperincikan makam redha Allah sebagai pencapaian tertinggi dalam ibadah. Contohnya, darjah nafsu telah dibahagikan kepada amarah, lawwamah, mulhimah, mutmainnah, kamilah, rodhiah, dan radhiatan mardhiah.
Peringatan tentang dosa dan pahala ialah sebagai dorongan kepada manusia yang beriman supaya sentiasa menjaga dan melindungi diri dalam konteks al-amr bi'l ma'ruf wa'n-nahyu an'il munkar, mengerjakan perkara kebaikan dan menjauhi perkara kejahatan sebagai dampak taqwa. Keluasan rahmat Allah dan asal sesuatu perkara bersifat harus (mubah) mempunyai sempadan yang telah digariskan oleh para ulama yang arif tentang sumber hukum. Pedoman kaedah fiqh seperti ma la yatimmul wajib illa bihi fahuwa wajib, al-masyaqqah tajlibut-taisir (bi qadariha), al-ma'lum minaddin bidh-dharurah, saddu dhara', al-yaqinu la yuzalu bi's-syaq dan banyak lagi akan membantu seseorang, atau sesebuah organisasi membuat keputusan yang tepat.
Kata dasar taqwa ialah waqa yang bererti menjaga, melindungi dan memelihara. Redha Allah hanya tercapai menerusi sifat taqwa yang dimiliki. Peringatan tentang taqwa diulang-ulang dalam al-Qur'an, dan disebut saban minggu oleh khatib lewat mimbar Jumaat. Pendek kata, redha Allah dan sifat taqwa saling melengkapi.
Redha manusia merujuk kepada izin, percaya, gembira, senang hati dan persetujuan bersama. Contohnya, dalam urus niaga, kedua-dua pihak bersetuju dengan harga, kuantiti dan kualiti barang atau perkhidmatan yang diberi. Akad jual beli, sama ada secara lisan atau dokumen ialah bukti redha manusia.
Izin pemilik terhadap penggunaan sesuatu harta juga ialah satu bentuk redha manusia, hatta benda yang mungkin dianggap kecil dan remeh-temeh. Masyarakat kita mungkin peka tentang hal makan minum, tetapi kurang memberi perhatian terhadap penggunaan harta awam seperti alat tulis pejabat dan alat permainan kanak-kanak di taman rekreasi. Malah, penipuan dalam bayaran meletak kereta juga membabitkan redha manusia.
Berbakti kepada ibu bapa ialah contoh redha manusia yang paling jelas. Redha Allah juga bergantung kepada redha ibu bapa. Sehebat mana pun ibadah seseorang anak, jika ibu bapanya tidak redha, maka redha Allah sukar dicapai.
Lirik sebuah nasyid mengungkapkan ma redhallahu illa fi redha'il wa lidaini. Redha Allah tertakluk kepada redha ibu bapa. Sudah tentu redha ibu bapa yang dimaksudkan ialah selama mana tidak bercanggah dengan redha Allah.
Dalam satu hadith dilaporkan bahawa seseorang pekerja ditegah daripada lari meninggalkan majikan. Ertinya, seseorang pekerja tidak boleh sesuka hati meninggalkan pekerjaannya walaupun sebentar tanpa izin majikan. Terma dan syarat dalam kontrak pekerjaan yang ditandatangani itu juga bersangkutan dengan redha manusia.
Ringkasnya, redha manusia tidak bertentangan dengan redha Allah selagi masih dibenarkan oleh syariat, serta sejajar dengan prinsip kebaikan dan taqwa. Bahkan, redha manusia sangat dituntut sebagai syarat penting mencari redha Allah. Hubungan manusia dengan Allah juga mesti berdasarkan hubungan manusia dengan manusia, dan hubungan manusia dengan persekitaran...
No comments:
Post a Comment