Tuesday, September 6, 2011

"FORUM 2020" DRAMA KOMSAS TINGKATAN 4 (THE ALIEN WISDOM)

Pengenalan

Naskhah nukilan Sharif Shaary (antologi Harga Remaja: 229 - 242) boleh dianggap ringan dan mudah difahami. Hanya terdapat 5 watak, iaitu Salmah, Chandran dan Chong, mahasiswa sebaya, 22 di sebuah universiti tempatan. Setelah berbincang serius, mereka letih dan tertidur, lalu didatangi makhluk asing dari Planet Utopia.

Adegan 2

Sebaik mendarat, Makhluk Utopia 1 (MU1) dan Makhluk Utopia 2 (MU2) mendekati 3 sahabat tadi, lalu memulakan debat (melontarkan provokasi). Setelah memperkenal diri dan menyatakan tujuan, MU1 mengingatkan tentang tahap kritikal makhluk bumi yang menuju kemusnahan. MU2 menambah bahawa Malaysia berpotensi sebagai model keamanan dan moral sejagat.

Perkataan potensi itu dibantah justeru bukti menunjukkan betapa Malaysia telah mencapai kualiti yang mencukupi. Contohnya, dari segi bahasa, kebudayaan, etika kerja dan dasar ekonomi baru (DEB). MU1 bersetuju, tetapi mengatakan pencapaian itu sekadar di tahap perasaan dan impian. 3 sahabat tadi terus berhujah tentang Jambatan Pulau Pinang, kereta nasional dan projek lebuh raya.

MU1 terus mengasak dengan mengatakan bahawa semua yang disebut ialah sumbangan generasi dahulu. Chong yang sedikit emosional mengancam untuk beredar sahaja, tetapi MU2 meminta mereka bersabar. MU1 kemudian menyatakan kata-kata mereka cuma untuk menguji cinta mereka kepada tanah air.

MU1 membuka isu baharu tentang era kritikal baik dari segi moral, sosial, mahupun mental. Pegangan agama yang lemah mengakibatkan keruntuhan moral, dan seterusnya menghilangkan rasa hormat kepada orang lain, waimah diri sendiri. Kehidupan moden yang memuja kebendaan (materialistik) menyerang masyarakat seluruh dunia hingga generasi muda menjadi mangsa.


Chandran cuba menyalahkan generasi dewasa, tetapi MU2 menegaskan bahawa kecenderungan salah-menyalah itu dianggap sebagai kerja sia-sia. Lebih baik belajar daripada kesilapan, serta tidak mengulanginya lagi. Sebelum pamit (beredar), MU2 dan MU2 memuji sifat gigih, kental dan berani 3 sahabat itu.


Adegan 3


Ketiga-tiga orang sahabat seperti baru tersedar daripada pengalaman aneh bagaikan mimpi. Mereka masih ragu, tetapi cuba meyakinkan diri masing-masing akan peristiwa yang baru dilalui. Salmah dapat menebak bahawa Chong tidak senang kerana sukar menerima kritikan. Apabila Chong menggesa supaya mereka hanya perlu memberi tumpuan kepada peranan pelajar, Salmah menyarankan agar ego peribadi diketepikan. 


Chong tetap mengatakan bahawa hujah MU1 dan MU2 hanya sedap didengar. Salmah cuba menarik perhatian Chong dan Chandran terhadap hujah tentang agama dan Tuhan. Akhirnya Chong bersetuju bahawa tanpa agama, kepandaian boleh memusnahkan, lalu Salmah memberi contoh seperti sikap sombong, oportunis, pura-pura dan rasuah. 


Chandran berpendapat bahawa strategi kepimpinan hendaklah dirancang. Disiplin generasi muda menjadi kunci utama perancangan. Salmah pula mahu masalah kemerosotan moral diselesaikan, manakala Chong menganggap perpaduan mesti erat.

Contoh Tugasan


Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawap soalan-soalan berutnya.


CHONG:  Bolehkah kami tanya satu soalan? Antara ramai orang, mengapa kami bertiga yang saudara pilih?

MU I:  Saudara kami pilih kerana saudara mewakili generasi muda yang merupakan bahagian besar penduduk negara ini.

CHANDRAN:  Untuk lebih tepat lagi, mengapa kami bertiga yang saudara pilih?

MU I:  Kami pilih kerana saudara merupakan bakal pemimpin negara ini.

      Ketiga-tiga pelajar memandang sesama sendiri dengan tanda tanya dan seronok.


SALMAH:  Betul ke ni?

MU I:  Tapi, jangan terlalu seronok!

CHONG:  Mengapa pulak?

MU II:  Kerana saudara belum lagi menjadi pemimpin!

MU I:  Sebagai bakal pemimpin, saudara perlu menjalani banyak ujian dan cabaran. Ini disebabkan muda mudi masa kini, iaitu generasi saudara sedang mengalami suatu era kritikal baik dari segi moral, sosial mahupun mental.

SALMAH:  (Kembali tidak sabar) Nampaknya saudara menghina kami ni!

MU I:  Bertenang saudara. Bukan menghina, tapi kenyataan. Kehidupan moden hari ini semakin menjadi semakin materialistik! Ia sedang menyerang masyarakat manusia seluruh dunia! Dan generasi mudalah yang bakal menjadi mangsanya.

MU I:  Tidakkah saudara membaca, mendengar radio atau menonton televisyen? Tiap-tiap hari tersiar berita keruntuhan moral generasi muda.

MU II:  Generasi muda sudah tidak tahu dan tidak mahu menghormati lagi. Tidak menghormati orang tua, tidak menghormati guru, tidak menghormati sesama manusia dan tidak menghormati diri sendiri.

CHONG:  (Nada perli) Lagi?

MU I:  Dan lagi, atas segala-galanya ialah kepercayaan keagamaan dan ketuhanan. Generasi muda masa kini amat longgar kepercayaan keagamaannya. Inilah punca utama yang menyebabkan berlakunya keruntuhan moral dalam kalangan belia.

i)     Apakah maksud era kritikal?          (2 markah)

ii)    Siapakah yang tidak dihormati oleh generasi muda?        (3 markah)

iii)   Jelaskan dua langkah bagi mengatasi masalah keruntuhan moral dalam kalangan generasi muda mengikut pendapat anda.     (4 markah)

Analisis Tugasan Soalan


i)  Aras soalan:  maksud rangkai kata
     
    Ambilan jawapan:  menjelaskan maksud rangkai kata yang diuji


ii)  Aras soalan:  petikan


     Ambilan jawapan:  daripada petikan (seperti yang tercetak)


     Kata kunci tugasan:  Siapakah.


iii)  Aras soalan:  kbkk


     Ambilan jawapan:  luar petikan (idea sendiri)


     Kata kunci tugasan:  Jelaskan dua langkah (huraian = selain subjek dan predikat dalam ayat yang sama).




Cadangan Jawapan


i)   Maksudnya ialah zaman yang mencabar.


ii)   Generasi muda tidak menghormati orang tua, guru, sesama manusia dan diri sendiri.


iii)   Pada pendapat saya, keruntuhan moral dalam kalangan generasi muda dapat diatasi dengan menerapkan lebih banyak nilai murni dalam sistem pendidikan di sekolah dan institut pengajian tinggi. Selain itu, ibu bapa harus memberi contoh teladan kepada anak-anak muda di rumah.

No comments:

Post a Comment