Seseorang pelajar harus menunjukkan perwatakan atau karakter yang tepat dengan keperluan majlis, masa, dan tempat. Pelajar harus sentiasa ingat bahawa tujuan terpenting mereka berada di sesuatu institusi pengajian ialah untuk memperoleh sebanyak mungkin pengalaman pembelajaran supaya akhirnya mampu berdikari. Pelajar harus tetap berpegang kepada pendirian itu sepanjang masa.
Memang benar bahawa pembelajaran terbaik berlaku dalam persekitaran yang ceria dan menarik. Pelajar pula memiliki kesempatan untuk mengambil bahagian dalam proses pembelajaran mereka. Wujud interaksi yang sihat antara pelajar dengan guru, serta antara pelajar dengan pelajar.
Sumbangan setiap individu pelajar dalam bilik darjah sangat didambakan jika segala perancangan aktiviti yang menjurus kepada peningkatan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang baharu hendak dicapai. Pelajar mesti bertingkah laku sejajar dengan perancangan atau pelan pembelajaran yang telah disediakan oleh guru. Pelajar perlu memastikan bahawa segala tingkah laku yang dipamerkan akan sentiasa sejajar dengan perancangan pembelajaran yang telah direka bentuk oleh guru berdasarkan kehendak kurikulum dan komponen pentaksiran yang merangkumi pelbagai aras diskriminasi.
Perwatakan atau karekter yang ditunjukkan oleh pelajar sedikit sebanyak akan mempengaruhi kelancaran dan mood pembelajaran pada sesuatu masa. Malah, sebarang bentuk lencongan tingkah laku terpaksa diuruskan dengan segera supaya tidak mencuri waktu pembelajaran yang begitu berharga. Pelajar perlu akur akan konsep mendahulukan kepentingan organisasi (kelas) daripada kepentingan diri sendiri semata-mata.
Cara pelajar duduk (posture) ialah bahasa tubuh yang memberi gambaran akan kesungguhan dalam proses pembelajaran. Hal itu tidaklah bermakna bahawa pelajar mesti diam membatu atau kaku macam patung. Maksudnya, pelajar mengambil kira cara duduk dalam sesuatu majlis yang bersifat rasmi.
Pelajar harus duduk arah ke hadapan dan menunjukkan minat untuk turut serta dalam aktiviti pembelajaran yang sedang berlaku. Andai kata pelajar kurang sihat atau berasa tidak selesa, guru perlu dimaklumkan serta-merta. Pelajar tidak wajar bertindak sendiri dengan cara duduk yang tidak kena atau dengan selamba meletakkan kepala di atas meja.
Seterusnya cara pelajar bertutur hendaklah sopan dan tidak menyinggung perasaan sesiapa pun, sama ada rakan, mahupun guru. Lagu suara (intonasi) dan tahap kelantangan bercakap hendaklah dikawal dengan baik. Sebarang pergerakan anggota tubuh (gesture), terutama tangan, dan mimik muka harus melambangkan adab yang tinggi.
Pelajar juga mesti berpegang kepada jati diri, bukan sentimental. Jika seseorang pelajar hendak bertahan lebih lama dalam organisasi sedia ada (bilik darjah, sekolah), maka dia harus bersikap akomodatif, iaitu sedia untuk sejajar dengan persekitaran yang ada. Seseorang pelajar tidak harus menjadikan kehendak peribadi sebagai tanda aras penerimaan rakan, guru dan organisasi.
Kecenderungan memberi label suka atau tidak suka terhadap mana-mana rakan, guru, mata pelajaran, komponen pembelajaran dan organisasi ialah antara contoh sikap sentimental yang mengundang risiko. Sebagaimana kita tidak mampu memuaskan hati semua orang, demikian juga orang tidak dapat memuaskan hati kita sepanjang masa. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung...
No comments:
Post a Comment