Titik tolak utama bagi mencipta kejayaan ialah keyakinan diri yang tinggi. Begitulah pengalaman yang dilalui oleh semua individu yang mencipta nama dalam bidang masing-masing. Pakar motivasi dan psikologi telah menyediakan indeks dan inventori yang menyokong pendapat berkenaan.
Willis Whitney (http://www.beinglive.com/Successful-People.aspx) mengatakan "sesetengah orang mempunyai beribu-ribu alasan tentang sebab mereka tidak boleh melakukan sesuatu, sedangkan mereka hanya perlu satu alasan akan sebab mereka boleh melakukannya (some men have thousands of reasons why they cannot do what they want to, when all they need is one reason why they can). Hal itu sama kisahnya dengan si jaguh selalu ada perancangan, si corot selalu ada alasan.
Anak kunci keyakinan diri ialah idea dan keinginan untuk mencapai kejayaan. Apabila anak kunci itu sudah dalam genggaman, maka segala bentuk cabaran, dugaan, halangan, tribulasi dan ujian hanyalah berupa asam garam kehidupan. Tumpuan hanyalah kepada potensi diri sendiri, bukan lagi kepada tekanan luaran.
Segala usaha yang dibuat bukan lagi untuk menggembirakan orang lain semata-mata, tetapi sebagai hadiah kepada diri sendiri. Seseorang murid atau pelajar menyiapkan tugasan tidak lagi berasaskan kehendak orang lain semata-mata, tetapi melakukan yang terbaik supaya tabiat berkenaan kekal dalam kehidupan. Dalam kata lain, niat melakukan sesuatu telah diletakkan pada tempatnya yang sebenar.
Dalam Islam, seseorang itu dikehendaki berniat melakukan semua perkara (yang selaras dengan garis-garis aqidah, syariat dan akhlaq) semata-mata kerana Allah. Perbuatan yang tiada niat sedemikian dianggap sia-sia, justeru seluruh hidup mereka sepatutnya berstatus ibadah. Tidak menjadi kesalahan bagi mengharapkan ganjaran pahala dan menghindari dosa kerana ganjaran berkenaan memang disebut dengan jelas dalam al-Qur'an dan al-Hadith.
Berbalik kepada tugasan di sekolah atau di universiti. Terdapat sekumpulan murid atau pelajar berharap bahawa guru dan pensyarah mereka akan lupa untuk mengutip tugasan yang telah diberi. Mereka beranggapan bahawa beban menyiapkan tugasan sebagai leceh lagi menyusahkan.
Berlainan pula halnya dengan murid dan pelajar yang memang dahagakan kejayaan. Tanpa diminta pun, mereka dengan segera menyerahkan tugasan yang disediakan dengan bersungguh-sungguh, serta hasil kerja yang asli kepada guru dan pensyarah. Mereka tidak kisah dengan label "mat skema".
Apabila sesebuah organisasi berhajat mencipta kejayaan, semua anggota organisasi, tidak kira pemimpin (superior) mahupun pengikut (subordinate) mesti memberi komitmen penuh, dan tiada sesiapa pun yang cuba mengelat. Dalam satu hadith, digambarkan bahawa dalam sebuah kapal besar, anak-anak kapal di aras bawah tidak sabar menunggu air yang diproses oleh anak-anak kapal di tingkat atas. Mereka bertindak menebuk lubang di aras bawah yang akhirnya menenggelamkan keseluruhan kapal!
bersambung...
No comments:
Post a Comment