Tuesday, September 13, 2011

SALAH SANGKA RAPTAI MERDEKA (NOTIFICATION AND ALERTNESS)

Ipoh, Rabu: 14.9.11 / 16 Syawal 1432

Di negara-negara maju, kebajikan pengguna amat diambil berat. Penggubal dasar sentiasa memastikan bahawa sebarang kesulitan atau kesusahan yang membabitkan pengguna hendaklah dimaklumkan lebih awal dan secara meluas. Pihak-pihak yang berkepentingan tidak boleh bersikap lepas tangan, sambil lewa atau seperti melepaskan batok (bukan batuk) di tangga apabila wujud keperluan menyebarkan maklumat penting kepada pengguna.

Maaf cakap, di negara kita bab ini sangat perlu diberi perhatian. Papan tanda arah laluan sering mengelirukan dan tiba-tiba lesap. Hal demikian berlaku kerana pihak berkenaan suka membuat andaian bahawa pengguna perlu berusaha sendiri jika hendak sampai ke destinasi yang hendak dituju.

Semalam, keadaan sesak yang luar biasa berlaku di sekitar kawasan menuju Padang Ipoh, tempat berlangsungnya raptai merdeka edisi ke-54 peringkat negeri. Di sana sini diletakkan blok penghalang menyebabkan banyak kenderaan yang terpaksa berpusing-pusing tanpa dapat maju ke pejabat dan tempat kerja. Petugas keselamatan tidak membenarkan pengguna menuju ke sana.

Kebetulan banyak sekolah berada dalam zon larangan masuk itu. Maka, kedapatan ibu bapa yang terpaksa berpatah balik ke rumah. Terdapat kakitangan awam yang terpaksa menelefon pejabat menyatakan mereka terlewat tiba atau terpaksa memohon cuti rehat khas.

Pengguna yang terdesak tiada pilhan kecuali meletak kenderaan di lot parkir berbayar. Mereka terpaksa menggalas beg dan dokumen sambil berjalan kaki ke pejabat. Bunyinya kelihatan baik untuk kesihatan, tetapi risiko keselamatan kenderaan terpaksa ditanggung sendiri.

Pihak penganjur mungkin berandaian bahawa hebahan kepada pengguna sudah mencukupi menerusi radio (Perak.fm) dan sisipan wilayah dalam akhbar arus perdana. Barangkali mereka lupa bahawa pengguna tidak semestinya memilih saluran radio tempatan atau akhbar arus perdana. Akses kepada media tradisional itu mungkin sahaja tidak sehebat dahulu.

Cara yang paling berkesan ialah meletakkan notis besar 10 kilometer daripada laluan kawasan yang akan disekat sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh sebenar. Dengan itu, pengguna akan membuat persediaan yang wajar, serta tidak terperangkap seperti sekumpulan besar kawanan ikan yang terkepung dek pukat raksasa. Bayangkan jika ada kes kecemasan, apatah lagi peperiksaan UPSR sedang berjalan!

II

Pagi Rabu masih ada raptai. Kebanyakan pengguna keluar lebih awal pagi supaya kesusahan semalam tidak berulang. Namun, jalan berhampiran Greentown Mall menuju hospital pula tersekat dan kenderaan langsung tidak bergerak.

Jam baru menunjukkan pukul 7.05 pagi. Penulis blog (PB) melihat sebahagian pengguna mengubah haluan ke sebelah kiri menuju Ipoh Parade. PB mengekori kumpulan kenderaan berkenaan yang bergerak lancar tanpa sekatan, kecuali kawalan polis lalu lintas. Blok sekatan masih belum diletakkan.

Akhirnya PB mendapat cerita bahawa kesesakan di kawasan hospital berpunca daripada sebuah kereta Honda City merempuh tiang lampu isyarat berhampiran hospital menyebabkan pergerakan kenderaan menjadi terhalang. Sekatan raptai tidak kena-mengena dengan kesesakan yang berlaku. Kali ini bukan masalah hebahan, tetapi salah sangka...


No comments:

Post a Comment