Permainan bola sepak ialah acara sukan paling berpengaruh di planet bumi. Bola sepak yang juga dikenali sebagai soccer di negara berbahasa Inggeris dan futbol di negara berbahasa Sepanyol dianggarkan mempunyai 3.3 hingga 3.5 bilion peminat di seluruh dunia, atau separuh penduduk bumi. Kelab Inggeris, Manchester United pula muncul sebagai kelab paling popular dengan mengumpul 450 juta peminat seantero dunia dengan nilai USD1.9 bilion.
Ukuran populariti bola sepak ialah dari segi bilangan kelab, pemain, stadium dan jumlah penonton yang hadir menonton perlawanan. Kriket menduduki tangga kedua dengan anggaran peminat berjumlah lebih dua bilion, kebanyakannya di benua kecil Indo-Pakistan, Eropah dan Oceania. Hoki juga mendapat perhatian hampir dua bilion peminat di seluruh dunia walaupun lebih bersifat sukan rekreasi di Eropah dan hanya mampu menggamit jumlah penonton yang sedikit, serta masuk percuma pula.
Sukan elit seperti golf (400 juta peminat), tenis (1 bilion), American football (400 juta), dan lumba motor F1 yang menawarkan hadiah jutaan USD lebih tertumpu kepada negara-negara berpendapatan tinggi. Hanya belakangan ini negara berpendapatan sederhana seperti Malaysia mendapat hak penganjuran sukan elit berkenaan atas pertimbangan pelaburan dan pelancongan jangka panjang. Liputan acara sukan itu di seluruh dunia ialah satu bentuk promosi yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.
Sukan Sea edisi ke-26 yang baharu sahaja melabuhkan tirainya di Palembang juga menyerlahkan hakikat yang sama. Walaupun tuan rumah Indonesia gah dengan kemilau pingat emas hampir 200 butir itu, majoriti rakyat Indonesia berasa remuk redam di hati akibat kegagalan skuad bola sepak bawah 23 tahun mereka merangkul pingat emas. Walaupun pelbagai bentuk cemuhan dan provokasi melampau dikenakan ke atas pemain dan penyokong Malaysia, mereka tetap terkulai di laman sendiri.
Atlet tuan rumah yang meraih pingat emas bakal menerima ganjaran bernilai Rp200 juta atau RM72,000 seorang. Mungkin atlet Indonesia yang menerima ganjaran itu boleh bersaing di kejohanan bertaraf dunia seperti Sukan Olimpik sebagai pemenang pingat. Namun, luka kekalahan berganda skuad muda bola sepak mereka akan sukar sembuh dalam tempoh yang sangat panjang.
Kelakuan liar segelintir penyokong taksub tuan rumah terhadap pemain dan rombongan penyokong Malaysia sangat tidak wajar. Tega mereka mengepung, mencaci maki dan menyekat pergerakan kenderaan yang membawa skuad negara hingga hendak masuk ke stadium pun bagaikan gerombolan musuh yang sangat dibenci. Jurulatih Malaysia malah menganggap keletihan hampir sejam menghadapi kerenah kumpulan perusuh bola sepak berkenaan lebih teruk daripada keletihan di padang.
Selepas tamat saingan, hanya seorang pemain tuan rumah, Bonai menunjukkan sikap budiman dengan menghulurkan tangan tanda setia kawan dan semangat sukan yang tulen. Baki pemain lain sibuk melayan emosi dan remuk redam di hati masing-masing. Insiden yang lebih dramatik ialah apabila tiba-tiba muncul pasukan anti-dopping kononnya hendak membuat ujian air kencing sebaik usai penerimaan pingat.
Sampai bilakah peminat bola sepak Indonesia akan melayan emosi yang tidak terkawal seperti itu dengan memilih skuad Malaysia sebagai mangsa? Saingan sukan tahap tinggi memang membabitkan maruah negara, natijah ekonomi, bla bla bla... Malang sekali bahawa kegiatan sindiket mengatur keputusan perlawanan, perjudian dan rusuhan telah menjalar sebagai barah yang sukar diubati...
No comments:
Post a Comment