Friday, November 18, 2011

PEMAIN MALAYSIA NAIK BARRACUDA DI GELORA SENAYAN (FANATIC SUPPORTERS MUST ALSO BEHAVE)

Dari satu segi, sokongan padu terhadap pasukan sendiri memang amat wajar. Selalunya, pasukan yang bertanding di laman sendiri bakal memiliki kelebihan untuk memenangi perlawanan berdasarkan tahap moral dan psikologi yang tinggi. Namun, kalau tidak kena gayanya, kelebihan yang dimiliki boleh bertukar menjadi senjata makan tuan.

Malaysia dan Indonesia ialah dua buah negara serumpun yang punya banyak persamaan dari segi bahasa, budaya dan sejarah. Sebagai jiran, sekali sekala tercetus juga perselisihan faham, misalnya pertindihan sempadan negara, paten batik dan tarian, serta beberapa isu kecil yang lain. Setakat ini, kebijaksanaan hubungan dua hala yang terjalin sekian lama telah berjaya mengekang sebarang bentuk provokasi daripada terus berkembang menjadi krisis diplomatik yang serius.

Jakarta dan Palembang menjadi tuan rumah Sukan Asia Tenggara (Sea) edisi 2011, mengatasi saingan Bandung dan Semarang. Sejumlah USD200 juta (RM650 juta = hampir 200 bilion rupiah) telah diperuntukkan bagi menjayakan temasya dwitahunan berkenaan. Sudah pasti perbelanjaan itu akan mencetuskan rantaian aktiviti ekonomi lain, atau wujud kesan pengganda yang mendatangkan pendapatan kepada rakyat Indonesia. Perancangan yang berhemat akan mengelakkan nasib yang dialami oleh Greece (muflis selepas penganjuran Olimpik) menimpa negara-negara penganjur Sukan Sea.

Upacara perasmian yang penuh warna dan gemilang sekali dengan teknologi lampu dan laser yang canggih di Stadium Palembang mempamerkan sambutan hangat tuan rumah kepada semua kontinjen yang mengambil bahagian. Secara simbolik, Indonesia berjaya menonjolkan era gemilang empayar Sriwijaya, kekuatan semasa dan akan datang mereka. Dengan saiz negara dan jumlah penduduk yang besar, Indonesia memang memiliki potensi untuk muncul sebagai kuasa ekonomi dan sukan dunia.

Skrip yang berlainan terjadi di Stadium Gelora Bung Karno, Senayan, Jakarta apabila skuad bola sepak kedua-dua negara berjiran membuat perhitungan. Indonesia mencatur tekanan psikologi dengan menurunkan pemain-pemain simpanan, sedangkan Malaysia dengan misi wajib menang menurunkan kesebelasan utama. Sejumlah hampir 100,000 penonton tempatan juga membuat bising ketika lagu "Negaraku" berkumandang.

Selain itu, rakan atlet lain juga dinasihatkan supaya tidak datang ke stadium, tetapi hanya menonton perlawanan di hotel penginapan masing-masing. Stadium menjadi senyap sepi apabila Syahrul Azwari Ibrahim, pemain kelahiran Tumpat, Kelantan yang baharu masuk tiga minit sebagai pemain gantian berjaya membuat jaringan cantik melepasi jangkauan penjaga gawang Indonesia. Harga yang dibayar untuk kemenangan sesudah 8 tahun itu sangat mahal.

Sekumpulan penyokong fanatik tuan rumah tidak dapat mengawal emosi, dan dilaporkan mencemuh skuad bola sepak Malaysia sebagai maling (pencuri). Pihak keselamatan (pak polisi) tidak mempunyai pilihan lain, kecuali mengiringi skuad Malaysia dengan menaiki barakuda, kenderaan kereta kebal pasukan polis republik itu. Mereka tidak pulang dengan bas eksekutif sebagaimana lazim.

Andai kedua-dua pasukan bertembung semula dalam aksi akhir, keadaan yang sama mungkin berulang. Hanya diharapkan bahawa penyokong tuan rumah mempamerkan semangat kesukanan dan menghormati tetamu kerana bola sepak ialah acara sukan, bukan peperangan soldadu antara dua buah negara. Sebagaimana tingkah laku budiman rakyat Indonesia di gedung beli belah dan jalan raya, begitulah hendaknya di stadium...

Nota:

1  Barracuda berasal daripada nama ikan alu-alu yang boleh mencapai saiz hingga 6 kaki panjang di kawasan air masin.

2  Seperti dijangka, Malaysia kembali bertembung dengan skuad tuan rumah pada aksi akhir setelah berjaya menafikan cabaran Myanmar 1-0 (Fakri Sha'rani, 85), manakala Indonesia menewaskan Vietnam 2-0.

3  Persatuan Bola Sepak Indonesia patut mengambil pengajaran daripada Lubnan yang dihukum oleh Fifa, iaitu bermain dalam stadium tanpa penonton di laman sendiri. Ancaman keselamatan terhadap mana-mana pegawai dan atlet merupakan kesalahan yang amat serius. Tindakan keras perlu dikenakan kepada tuan rumah yang gagal mengawal tingkah laku penyokong mereka.

No comments:

Post a Comment