Akhirnya Menteri Pelajaran mengumumkan projek rintis 5,000 orang guru di empat buah negeri bekerja 9 jam sehari ditarik balik. Cadangan berkenaan dilaksanakan berdasarkan satu kajian persepsi orang ramai bahawa tugas guru amat mudah. Kesatuan-kesatuan guru juga terkejut justeru mereka tidak mendapat makluman lebih awal tentang perkara berkenaan.
Walaupun kumpulan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) menduduki hierarki teratas dalam perkhidmatan awam, suara ahli ikhtisas dalam kumpulan perkhidmatan lain masih perlu dihormati. Dari segi kelayakan akademik, pencapaian penjawat awam lain mungkin sahaja setara atau lebih tinggi daripada anggota PTD. Kelebihan PTD ialah latihan khusus tentang pentadbiran secara makro dan antarabangsa, serta governan organisasi skala besar.
Ura-ura PTD masuk sekolah sebagai pentadbir utama bukan akademik sebenarnya tidak jadi masalah besar selagi tidak mencampuri urusan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang menjadi tugas hakiki guru yang menerima latihan khusus. Sudah tiba masanya jawatan ketua pembantu tadbir yang mengendalikan hal gaji, kewangan dan perjawatan di sekolah dinaik taraf kepada penyandang bertaraf siswazah. Jawatan berkenaan boleh dibuka kepada guru atau PTD.
Kerjaya keguruan mempunyai 18 laluan naik pangkat sama ada secara time-based atau pintas. Namun, gred tertinggi bagi guru yang berkhidmat di sekolah ialah guru cemerlang (gred khas C), atau pengetua cemerlang (Jusa C). Untuk gred perjawatan lebih tinggi, guru perlu berkhidmat di JPN atau KPM sebagai pegawai tinggi bertaraf pengarah atau yang setara.
Berdasarkan SBPA Belanjawan 2012, guru boleh mencapai gred DG 48 dalam tempoh 16 tahun perkhidmatan, serta berpeluang naik pangkat hingga gred DG 52 bagi guru PdP. Kementerian Pelajaran telah berjaya melaksanakan transformasi kerjaya keguruan yang sebelumnya dianggap sebagai pilihan terakhir penjawat awam walaupun anggapan itu tidak tepat. Banyak daripada guru telah berjaya muncul sebagai tokoh pemimpin politik dan korporat yang hebat apabila memiliki peluang berbuat demikian.
Persepsi tentang bidang tugas atau beban kerja guru harus diukur menerusi instrumen penyelidikan yang memiliki kesahan dan kebolehpercayaan yang signifikan. Segala etika, tatacara dan rumusan yang dalam sepanjang proses penyelidikan hendaklah dipatuhi sepenuhnya. Sebarang unsur berat sebelah dan prasangka hendaklah disingkirkan tanpa kompromi.
Dari segi penggubalan sesuatu dasar, kaedah analisis hujah dialektik juga perlu diambil kira. Hujah-hujah yang saling bertentangan hendak dibandingkan secara saksama. Jika perlu, satu referendum boleh ditadbir kepada kumpulan sasaran yang akan terbabit dengan dasar yang hendak dilaksanakan.
Keberanian Kementerian Pelajaran memansuhkan percubaan projek rintis 9 jam kerja itu ialah hadiah gembira tahun baharu 2012. Persepsi masyarakat tentang bidang kerja guru mesti jelas dan tidak berdasarkan kes-kes terpencil yang mereka mungkin dengar dan lihat. Kaum guru juga mesti iltizam terhadap proses penambahbaikan kerjaya dengan menjadi pakar dalam bidang mereka sendiri, contohnya secara sukarela aktif dalam penyelidikan tindakan di sekolah...
No comments:
Post a Comment