Sejak tahun pertama penempatan sebagai guru sandaran terlatih, penulis blog (PB) telah diberi amanah menerajui dua panitia sekali gus, iaitu sebagai ketua panita (KP) Ekonomi dan KP Pengajian Am. Sebabnya, di SM Teknik Ipoh ketika itu bilangan pelajarnya sekadar cukup untuk meneruskan kewujudan pengajian tingkatan 6. Syarat menubuhkan panitia pun mesti ada sekurang-kurangnya tiga orang anggota.
Kemudian, setelah kelas tingkatan 6 ditutup, PB diamanahkan pula sebagai KP Sejarah. Anggota Panitia Sejarah lebih ramai justeru mata pelajaran berkenaan telah diangkat sebagai mata pelajaran teras. Bilangan murid yang terlibat juga ramai iaitu keseluruhan murid tingkatan 4 dan 5, iaitu kira-kira 600 orang semuanya.
Sebagai KP, PB hanya mempunyai satu misi dan satu cogan kata, iaitu pencapaian 100 peratus dalam peperiksaan awam SPM dan STPM. Memang ada antara anggota panitia yang ragu tentang perkara berkenaan. Hujah mereka bersandar terhadap rekod silam.
suasana ceria dalam mesyuarat Panitia Bahasa Melayu SMK St. Michael, Ipoh
PB bertegas tentang misi sifar gagal itu. PB meminta semua anggota panitia menyenaraikan pelajar yang dikenal pasti sebagai kumpulan risiko tinggi untuk dibantu. KP sendiri yang akan bertemu dan mendengar sendiri daripada pelajar berkenaan tentang persepsi mereka terhadap mata pelajaran, menyatakan kesukaran yang dihadapi dalam pembelajaran dan seterusnya memberi fokus terhadap kemungkinan untuk mencatat kejayaan menerusi tajuk pilihan pelajar sendiri.
Panitia juga menganjurkan kem kecemerlangan kepada kumpulan risiko tinggi tadi. Pemudah cara pula terdiri daripada semua anggota panitia. Hanya satu ucapan, iaitu ucapan pengetua. Kem diisi dengan sesi bengkel dan aktiviti fizikal.
Hasilnya memang seperti yang diharapkan. Ketiga-tiga panitia yang PB pimpin berjaya mencatat pencapaian 100 peratus dalam peperiksaan awam. Malah, panitia Sejarah dinobat sebagai panitia terbaik ketika itu.
Di SMK St. Michael, Ipoh (SMI), PB diamanahkan sebagai KP Ekonomi selama 3 tahun sebelum menjalankan tugas guru kanan Vokasional dan Teknik selama setahun. Misi Sifar F masih diteruskan, tetapi cabaran yang dihadapi lebih getir memandangkan bilangan pelajar yang ramai. Namun, setiap tahun terdapat peningkatan pencapaian, dan rekod baharu jumlah calon gred A juga tercatat...
No comments:
Post a Comment