Nampaknya isu ayam naik harga tidak dipedulikan oleh pengguna yang lebih sibuk berebut-rebut mendapatkan bahan utama rendang juadah hari raya haji. Walaupun amalan ziarah tidak begitu rancak sebagaimana hari raya puasa, kecuali di Kelantan, kesempatan berkumpul bersama-sama keluarga dilengkapkan dengan juadah istimewa seperti ketupat, lemang dan nasi himpit yang disekalikan dengan rendang ayam. Walaupun harga ayam proses mencecah hingga RM9.00 sekilogram, pengguna tidak bersungut pun.
Seorang penual ayam memberitahu, dalam masa tidak sampai sejam, dia berjaya menjual 50 ekor ayam proses di sebuah pasar tani pinggir pekan yang kecil. Orang kuat persatuan pengguna juga ikut berbaris dengan sabar untuk tidak melakukan boikot, tetapi demi memastikan rendang ayam dapat disediakan juga. Harga sudah tidak menjadi perhatian.
Bertepatan dengan teori ekonomi bahawa saat tiba musim perayaan, hukum permintaan yang merujuk hubungan songsang antara harga dengan kuantiti diminta, dikecualikan. Walaupun diandaikan harga ayam masih sama, permintaan ayam bertambah, dan keluk permintaan beralih ke sebelah kanan, atau sebelah atas. Harga keseimbangan tetap sama, tetapi kuantiti keseimbangan juga beralih ke kanan.
Penjual ayam yang sama memberitahu bahawa pada suatu hari yang biasa, dia sempat menguap berkali-kali kerana bilangan pembeli tidak ramai. Maka, dia terpaksa menurunkan harga daripada RM8.30 sekilogram kepada RM7.80 sekilogram. Daging ayam proses akan bertukar menjadi pucat jika terbiar lama di luar peti sejuk khas.
Keadaan masih lengang dan dia masih menguap. Setelah hampir sejam, tiba-tiba sahaja ramai pembeli datang berkerumun. Rupa-rupanya, jualan di gerai-gerai lain sudah selesa!
Si penjual ayam kemudian menyedari bahawa tempat dia menjual ayam tidak strategik kerana terlindung oleh penjual buah-buahan. Akhirnya, dia terpaksa membawa balik baki 20 ekor ayam yang tidak laku. Dia macam terlupa untuk membuat lelongan harga jika sudah hampir balik modal bagi mengelak kerugian yang lebih banyak.
Dalam kes penurunan harga, tindakan si penjual ayam mungkin menambah saiz lebihan pengguna. Harga yang ditawarkan ilah RM7.80, sedang pengguna mungkin sanggup membayar RM8.50 sekilogram. Jika pada mulanya pengguna hanya beroleh RM0.20 sebagai lebihan pengguna, kini harga baharu itu menyebabkan lebih pengguna meningkat kepada RM0.70 bagi setiap kilogram.
Jika pada hari perayaan, pengguna yang berpusu-pusu untuk "mengurat" ayam proses si penjual mungkin sanggup membayar RM10 sekilogram daripada pulang dengan tangan kosong akan memiliki lebihan pengguna yang jauh lebih besar. Pada harga RM8.30, saiz lebihan pengguna ialah RM1.70 bagi setiap kilogram, dan RM2.20 sekilogram. Berat minimum seunit ayam proses biasanya 1.5 kilogram...
No comments:
Post a Comment