Wednesday, December 21, 2011

KONSERTO TERAKHIR GANTI INTERLOK (NEW NOVEL FOR KLANG VALLEY FORM 5)

Bernama melaporkan bahawa novel karya  Sasterawan Negara, Dato'Abdullah Hussain berjudul "Konserto Terakhir" akan menggantikan novel "Interlok" sebagai teks Komponen Sastera (KOMSAS) bagi pelajar Tingkatan 5 mulai tahun depan. Pada 14 Disember lalu, Kabinet memutuskan penggunaan novel Interlok yang juga karya Abdullah, sebagai teks Komsas Tingkatan Lima tidak akan diteruskan mulai tahun depan. Keputusan itu dibuat berikutan timbulnya rasa kurang senang sesetangah masyarakat, selain bagi mengelak pihak tertentu daripada terus mempolemikkannya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud, berkata penggantian teks komsas bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia itu membabitkan pelajar bagi Zon Dua yang meliputi Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Selangor."Novel Konserto Terakhir sudah melalui proses penyaringan dan pemilihan yang ditetapkan, dan sesuai digunakan sebagai teks Komsas berdasarkan nilai dan mutu karya yang dihasilkan," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini  (Rabu, 21.12.11).

Novel Konserto Terakhir yang pernah dijadikan teks Komsas Tingkatan Lima di Zon Dua dari 2000 hingga 2010, berkisar mengenai perjuangan hidup dan kegigihan seorang anak muda dari kampung yang berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan dan akhirnya berjaya menjadi seorang seniman besar negara. Watak utama novel ialah Helmi, manakala watak penting lain ialah Hayati, Dato' Johari dan Datin Salmah. Konserto Terakhir merupakan sebuah novel yang lebih dekat dengan tema kekeluargaan dan kasih sayang yang menjadi fokus pembelajaran komsas menengah atas...

No comments:

Post a Comment