Saturday, December 31, 2011

ANDAI MASA BOLEH DIUNDUR KEMBALI (TRAVEL TO THE PAST)

Kanak-kanak yang meminati siri kartun Jepun, Doraemon, banyak terpengaruh dengan khayalan mesin masa yang membolehkan watak seperti Nobita, Suzuka, Giant dan Suniyo pergi ke masa depan atau berundur ke masa silam. Hakikatnya, pengembaraan seumpama itu hanyalah wujud dalam imaginasi yang tidak berpijak di bumi nyata. Kalau untuk tujuan melakukan muhasabah (penilaian kendiri, introspective) atau bagi melakukan unjuran (perancangan) tidaklah menjadi kesalahan.

Dalam kajian ekonomi dan statistik, terdapat analisis data siri masa yang dapat membandingkan pencapaian masa lalu dengan masa kini dan anggaran pencapaian masa hadapan menerusi parameter dan ukuran yang mempunyai varian yang kecil (kurang 0.5 peratus). Data siri masa berfungsi sebagai alat ukuran bagi membuat justifikasi tentang ramalan fenomena masa hadapan supaya sesuatu dasar dan strategi yang dicadangkan kelihatan munasabah dan berasas. Kegiatan ekonomi yang bersifat spekulasi dan lindung nilai (hedging) sangat bergantung kepada pakar analisis siri masa.

Masalah undur masa ialah panjang angan-angan. Misalnya, membuat andaian yang mustahil berlaku semula seperti lahir semula sebagai anak orang yang kaya raya, berwajah sangat menawan dan cemerlang, memiliki susuk tubuh yang sasa dan macam-macam lagi. Dari segi psikologi, individu yang cenderung mengkhayalkan masa lalu yang berbeza dengan hakikat sebenar sebagai mengalami kecelaruan minda.

Ahli-ahli neraka pula berharap dapat dikembalikan ke dunia barang sebentar supaya mereka menebus keingkaran mereka dengan keimanan. Kesudahan yang buruk dalam bakaran api yang menjulang mahu ditukar dengan nikmat syurga yang kekal abadi. Jawapannya hanya satu, sudah terlambat!

Dalam satu hadith yang sangat masyhur, manusia diberi ingatan supaya melakukan lima perkara sebelum lima perkara. Sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, dan hidup sebelum mati. Lirik lagu nasyid "Demi Masa" oleh kumpulan Raihan juga turut menyelitkan pesanan hadith berkenaan.

Dalam meniti tahun baru demi tahun baru, kita harus mengambil ingatan dan iktibar tentang kepentingan menghargai masa. Sikap menyesali masa lalu tidak membawa sebarang faedah andai hanya untuk panjang angan-angan. Sebelum nasi menjadi bubur, penuhi masa yang berbaki dengan amalan yang membawa ke syurga...

"SYAIR PANDUAN UNTUK PARA REMAJA" KOMSAS TINGKATAN 3 (WISE TEENAGERS)

Penyelenggara: (Dr.) Harun bin Mat Piah
Genre sastera:  Puisi Tradisional
Sumber:  Antologi Harga sebuah Lukisan, muka surat 9 -10
Bilangan rangkap: 8

Perbincangan rangkap demi rangkap

          Ingat pesanku wahai belia,
          Jangan berdusta jangan perdaya,
          Jangan fikir kasihkan kaya,
          Jangan boros yang sia-sia.

Penyair menasihati remaja supaya jangan terbabit dengan perbuatan dusta, iaitu menipu dan memperdaya. Selain itu, remaja jangan asyik hendak berlagak menunjuk-nunjuk hingga berlaku boros. Dalam bahasa yang positif, remaja hendaklah bercakap benar dan mengamalkan jimat cermat.

          Jangan mengata jangan mengeji,
          Jangan aniaya bengis dan benci,
          Jangan takbur diri dipuji,
          Jangan sekali mungkir janji.

Remaja hendaklah menjauhi perbuatan yang buruk seperti mengumpat, mencerca (menghina), mengenakan orang, garang tidak tentu pasal dan benci. Remaja juga tidak wajar berasa bangga diri (kagum pada diri sendiri) apabila menerima sanjungan, serta mesti menepati janji. Pendek kata, remaja perlu menghiasi peribadi dengan sifat terpuji (mahmudah) dan menghindari sifat tercela (mazmummah). 

          Judi dan arak jangan biasa,
          Lucah dan cabul jangan selesa,
          Usah bertemu ular yang bisa,
          Lambat bangatnya dapat binasa.

Remaja jangan mendekati amalan judi (pertaruhan) dan meneguk minuman keras (alkohol). Mulut juga dijaga daripada menuturkan perkataan yang tidak senonoh dan hodoh bunyinya. Elakkan diri daripada dipengaruhi amalan buruk kerana akhirnya akan terjebak ke kancah kehancuran.

          Jangan meminjam jangan berhutang,
          Jangan meminta bantu sementang,
          Bergantung pada orang hendaklah pantang,
          Bebas kehidupan sentiasa tatang.

Remaja jangan membiasakan diri dengan tabiat suka meminjam dan berhutang, atau asyik meminta pertolongan orang. Sikap berdikari hendaklah dipupuk supaya hidup sebagai insan yang merdeka. Maka, pergantungan keterlaluan kepada pihak lain hendaklah dihindari.

          Meminta jangan meminjam pun jangan,
          Barang dipinjam kerap kehilangan,
          Sahabat peminjam renggang di tangan,
          Hutang merosakkan mut'ah pandangan.

Remaja usah melazimkan diri dengan suka meminta-minta dan meminjam kerana barang yang dipinjam selalu hilang (rosak, musnah, habis). Akibatnya, persahabatan boleh putus. Orang yang berhutang selalu dipandang rendah.

           Jangan biasakan meminta tolong,
           Ke sini tersembah, ke sana terlolong,
           Ikhtiar sendiri bantut bergulung,
           Akhirnya kebolehan lenyap terlelong.

Kebiasaan meminta tolong membawa akibat hilang harga diri apabila terpaksa merayu ke sana sini hingga menjejaskan maruah diri. Akhirnya, sikap demikian akan menghalang amalan berdikari (usaha kendiri) dan potensi diri (bakat / kebolehan / keupayaan) daripada berkembang.

          Latihlah diri sifat merdeka,
          Daya sendiri segenap seketika,
          Jangan sombongkan asal dan baka,
          Atau kelebihan adik dan kakak.

Remaja hendaklah melatih diri dengan sikap berdikari, iaitu dengan melakukan sesuatu atas usaha (inisiatif) sendiri. Remaja tidak boleh berasa angkuh terhadap status dan keturunan, atau menumpang kehebatan anggota keluarga dengan tujuan bermegah-megah. Remaja mesti mampu mencipta kejayaan dan pencapaian diri sendiri.

           Padalah itu aku khabari,
           Ingatlah semua, muda jauhari,
           Kiranya kabul Allah memberi,
           Dirimu jadi pemulih negeri.

Penyair menegaskan kepada semua remaja akan segala nasihat dan pesanan yang telah disampaikan. Harapannya hanya satu, iaitu supaya remaja menjadi pembela negara, tentunya dengan izin Allah jua. Remaja mesti bijak membezakan amalan baik dengan amalan buruk dalam kehidupan.

Analisis Komsas

Syair yang dibincangkan kali ini sarat dengan pengajaran dan nilai murni. Persoalan puisi juga begitu jelas. Selamat berbincang...

Friday, December 30, 2011

MENULIS AZAM TAHUN BARU 2012 (THE NEW YEAR DEALS)

Prakata

Setelah tahun baru hijrah berlalu (lunar), kini tiba pula giliran tahun baru masihi (solar). Kemudian, banyak lagi tahun baru berdasarkan kebudayaan dan suku kaum. Sebenarnya, tiada dalil atau nas yang sahih menganjurkan sambutan tahun baru, melainkan sekadar kebiasaan.

Bagi umat Islam, mereka digalakkan berdoa akhir pada penghujung waktu Asar hari terakhir bulan Zulkaedah, dan doa awal tahun pada awal waktu Maghrib hari pertama Muharram. Permulaan Maghrib menandakan masuknya hari yang baru. Doa dibaca dan dilafazkan sebagai tanda muhasabah terhadap perkara yang telah berlalu dan mengharap kebaikan dan kesejahteraan untuk tahun yang baru muncul.

Keistimewaan tahun baru

Tahun baru hanya akan bererti kepada orang yang masih bernafas. Sepatutnya kita memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga atas kurnia Ilahi kerana masih memiliki kesempatan untuk berlumba-luma mengerjakan kebajikan. Janganlah hendaknya kita terpedaya dengan sebarang bentuk majlis yang lalai dan mungkar.

Pakar motivasi berpendapat bahawa sesuatu azam atau tekad hendaklah ditulis supaya dapat dibaca secara berulang-ulang kemudian hari. Bercakap tiga jam tanpa henti lebih mudah daripada duduk berfikir untuk menulis sesuatu dalam tempoh sepuluh minit. Jika tidak percaya, sila minta orang yang asyik berborak di kedai kopi menulis semula perkara yang mereka bualkan.

Penguasaan kaum kulit putih terhadap dunia telah meletakkan kalendar masihi sebagai penanda aras segala urusan organisasi. Waktu persekolahan, sistem pembayaran gaji dan janji temu ditetapkan berdasarkan kalendar masihi. Masyarakat Islam sendiri tidak dapat menyatakan dengan tepat tarikh hijrah secara spontan.

Contoh Format Penulisan Azam Tahun Baru

Visi:  Mencapai Makam Redha Ilahi

Misi:  Sentiasa Memperbaharui Usaha Penambahbaikan Kualiti Iman, Ilmu dan Amal 

Tindakan:

1   Sebagai Hamba Allah:  mematuhi segala perintah-Nya, menjauhi segala Larangan-Nya

2   Sebagai Umat Muhammad:  menjadikan keperibadian dan sunnah baginda sebagai rujukan tertinggi

3   Sebagai anak:  Berbakti kepada kedua-dua ibu bapa (sama ada yang masih hidup, mahupun yang telah tiada

4   Sebagai cucu:  Sentiasa menziarahi datuk nenek / mendoakan mereka

5   Sebagai suami / isteri:  Sentiasa mengutamakan muafakat dan tolak ansur dalam segala urusan keluarga

6   Sebagai ibu / bapa:  Meluangkan waktu yang cukup dan bermutu untuk anak-anak

7   Sebagai jiran tetangga:  Mengambil berat tentang kebajikan dan perasaan jiran sekeliling

8   Sebagai pekerja:  Memberikan sumbangan perkhidmatan yang terbaik kepada organisasi

9   Sebagai pengguna jalan raya:  Mematuhi peraturan dan bertimbang rasa

10  Sebagai pengunjung masjid / surau:  Menyertai majlis ilmu / kegiatan lain secara suci hati

11   Sebagai pembeli barang dan perkhidmatan:  Mengamalkan perbelanjaan berhemat

12   Sebagai rakan sejawatan:  Sedia berkongsi amalan kerja yang positif dan terbaik

13   Sebagai penonton televisyen:  Mengehadkan waktu di hadapan skrin maksimum sejam sehari

14   Sebagai pengguna internet:  Mengehadkan waktu interaksi maya / kemas kini blog / layan facebook

15   Sebagai orang sihat:  Memperuntukkan purata 30 minit sehari untuk riadah / rekreasi

16   Sebagai sahabat baik:  Sentiasa menjuruskan perbincangan kepada istighfar dan memuji Ilahi

17   Sebagai tuan binatang peliharaan:  Menjaga hak haiwan dengan sesempurna mungkin

18   Sebagai pemilik kad kredit:  Merancang perbelanjaan secara berhemat dan menjauhi penalti

19   Sebagai pembayar zakat / cukai:  Melunaskan semua bayaran dalam tempoh yang ditetapkan

20   Sebagai isi rumah:  Menjaga kebersihan, keceriaan dan keselamatan dalam dan persekitaran rumah

21   Sebagai pengguna telefon bimbit:  Melayan panggilan sekadar yang perlu

22   Sebagai pembayar bil:  Menjelaskan bayaran tanpa bertangguh

23   Sebagai pembaca buku:  Membuat catatan isi-isi penting

24   Sebagai pembaca al-Quran:  memindahkan pelajaran yang diperoleh ke dalam amalan harian

25   Sebagai pemilik kenderaan:  Sentiasa mematuhi jadual servis dan berdoa ketika memulakan perjalanan

26   Sebagai pelancong:  Mengambil iktibar daripada tanda-tanda keagungan Ilahi

PANTUN BERKAIT (BEKERJA) KOMSAS TINGKATAN 3 (HALAL JOB)

Genre sastera:  Puisi Tradisional (pantun berkait)
Bilangan Rangkap: 8
Penyelenggara:  (Prof.) Rahman Shaari dan Mohd Pozi Hj. Masurori
Sumber ambilan:  Antologi Harga Sebuah Lukisan, muka surat 7 - 8

Pengenalan

Pantun berkait membawa maksud bahawa baris kedua (pembayang) dan keempat (maksud) dalam setiap rangkap akan diulang semula sebagai baris pertama (pembayang) dan ketiga (maksud) bagi rangkap yang berikutnya. Maka, hanya baris pertama dan ketiga dalam rangkap pertama, serta baris kedua dan keempat rangkap terakhir yang tidak berulang. Proses mengarang pantun berkait memerlukan ketelitian supaya kesinambungan pembayang dan maksud yang disampaikan tampak lancar.

Perbincangan Rangkap Demi Rangkap

          Perahu layar mudik ke pangkalan,
                Sampai di pangkalan, memunggah barang;
          Wahai rakan, handai dan taulan,
                Bangkit segera kita berjuang.

Pemuisi menyeru sekalian kenalan, kawan dan sahabat supaya bingkas bangun melakukan sesuatu yang bermanfaat.

          Sampai di pangkalan memunggah barang,
               Barang habis dibawa ke rumah;
          Bangkit segera kita berjuang,
                Hapuskan semangat culas dan malas.

Bagi menjayakan sesuatu pekerjaan, seseorang itu mesti menjauhi sikap sambil lewa dan malas yang menggambarkan tiada kesungguhan / tidak serius.

          Barang habis dibawa ke rumah,
               Tiada satu tinggal di perahu;
          Hapuskan semangat culas dan malas,
               Semua kerja mestilah tahu.

Setelah sikap culas dan malas dijauhi, seseorang itu harus tahu melakukan segala kerja yang diamanahkan. Maksudnya, telah membuat persediaan atau belajar terlebih dahulu.

          Tiada satu tinggal di perahu,
               Tidaklah bimbang barangkan hilang;
          Semua kerja mestilah tahu,
               Bajak, cangkul, tebas, dan tebang.

Segala pekerjaan yang dilakukan hendaklah sempurna dari awal hingga akhir. Pendek kata, semua kerja dapat dibereskan.

          Tidaklah bimbang barangkan hilang,
               Semuanya ada dalam selamat;
          Bajak, cangkul, tebas, dan tebang'
               Semuanya dikerja dengan cermat.

Segala kerja dilakukan dengan cermat (teliti). Tiada kecuaian berlaku. Dalam bahasa pejabat, kerja dilaksanakan menepati spesifikasi / kehendak / kualiti / piawai yang ditetapkan.

          Semuanya ada dalam selamat,
                Boleh disimpan turun-temurun;
          Dapat dikerjakan dengan cermat,
               Kerja yang berat tidaklah gerun.

Sikap cermat dalam pekerjaan membolehkan apa-apa jua kerja dapat dilaksanakan tanpa banyak soal. Kerja yang bersifat berat dapat ditangani dengan sikap yakin. Tiada sifat mengalah, menarik diri atau pesimis (seperti si corot yang banyak alasan dan fobia).

          Boleh disimpan turun-temurun,
               Itulah tanda barang yang berharga;
          Kerja yang berat tidaklah gerun,
               Semuanya siap hati pun lega.

Apabila yakin mampu melaksanakan segala kerja, seseorang itu akan berasa lega / lapang / puas hati / gembira / seronok setelah kerja itu sempurna.

          Itulah tanda barang yang berharga,
               Payah dicari susah mendapat;
         Semuanya siap hati pun lega,
               Tiadalah tinggal terbuang penat.

Kerja yang berjaya disempurnakan bererti segala penah lelah yang dialami berbaloi, terbayar dan terubat. Kepuasan diri kerana dapat melaksanakan kerja dengan sempurna ialah ganjaran tertinggi bagi seseorang yang bekerja dengan bersungguh-sungguh, cekap, cermat dan penuh keyakinan. 

Analisis komsas

Nilai murni:

Persoalan:

Pengajaran:

Analisis kbkk

Thursday, December 29, 2011

CABARAN PELAKSANAAN MBMMBI ("REFERENDUM" MUST BE RESPECTED)

Apabila jemaah menteri telah membuat keputusan muktamad bahawa dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dihentikan, masih kedengaran suara-suara sumbang mahukan dasar berkenaan diteruskan. Beberapa kerat individu Melayu di Lembah Kelang yang mendakwa sebagai wakil puluhan ribu ibu bapa Melayu yang prihatin sanggup bertindak mengumpul tandatangan dan menghantar memorandum kepada pucuk pimpinan negara. Mereka langsung tidak dapat menerima hakikat bahawa majoriti ibu bapa (90 peratus) menyokong langkah pemansuhan PPSMI yang diganti dengan dasar memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris (MBMMBI).

Walaupun berkali-kali ditegaskan tentang keputusan berkenaan tidak akan diubah, golongan berminda Inggeris itu dipercayai akan terus berdegil dan memekakkan telinga, sambil menjaja hujah-hujah palsu mereka. Mereka berharap supaya pendekatan soft landing, iaitu membenarkan murid yang sedia meneruskan PPSMI sehingga tamat tingkatan 5 bakal memihak kepada mereka. Namun, mereka pasti kecewa kerana seperti yang diumumkan oleh menteri pelajaran, hanya 11 peratus murid memilih untuk kekal dengan PPSMI.

Telah banyak penyelidikan dilaksanakan tentang keperluan medium bahasa yang sesuai dengan proses pembelajaran. Kajian Unesco sendiri mendapati bahawa proses pembelajaran akan lebih berkesan jika dikendalikan dalam bahasa tempatan (dan bahasa ibunda). Di United Kingdom sendiri, rakyat Scotland dan Wales bertegas tentang hak bahasa pengantar Scottish dan Welsh.

Antara hujah lapuk yang lazim terpacul daripada mulut pengkagum bahasa penjajah itu ialah tentang peluang pekerjaan dalam syarikat multinasional (MNC) dan urusan diplomatik. Siapakah yang dapat memberi jaminan bahawa jika anak muda kita berhabuk cakap orang putih akan diberi tempat dengan mudah tanpa sebarang diskriminasi dan prasangka? Lebih baik puak berkenaan mendapatkan data yang sah tentang hubung kait antara kebolehan berbahasa Inggeris dengan peluang bekerja di syarikat milik asing.

Dasar MBMMBI bukan bererti bahawa murid akan diasak supaya taksub kepada bahasa Melayu semata-mata, dan hilang minat untuk menguasai bahasa Inggeris, serta bahasa-bahasa asing yang lain. Malah, peruntukan waktu belajar bahasa Inggeris ditambah. Andai golongan yang berasa diri mereka bangsawan dan elit itu masih tidak berpuas hati, hantar sahaja anak mereka belajar di sekolah-sekolah antarabangsa di dalam negara, atau di luar negara.

Istilah-istilah yang digunakan dalam mata pelajaran sains dan matematik tidak jauh berbeza dengan istilah dalam bahasa Inggeris. Maka, murid-murid tidak menghadapi masalah andai kata mereka melanjutkan pengajian untuk kursus yang dikendalikan dalam bahasa Inggeris sama ada di politeknik, UiTM dan luar negara. Buktinya sudah ada, kerana begitu besar bilangan siswazah UKM yang menjalani pengajian sains dan perubatan dalam bahasa Melayu telah lulus dengan cemerlang apabila melanjutkan pengajian hingga ke peringkat tertinggi (Ph.D) di universiti terkemuka dunia tanpa perlu ijazah sarjana.

bersambung...

"KULI" BAB 2 KONSERTO TERAKHIR KOMSAS TINGKATAN 5 (THE REAL SHADOW)

Rujukan novel: muka surat 25 - 40

Watak

Hilmi, Datuk Johari, Datin Salmah, Dr. Nathan (jiran), Hayati, Mohsin (tunang hayari / anak saudara Datin Salmah), Pak Amat, Mak Minah, Leha, Tan Sri Rahmat (abang datin), Siti Hajar (adik datin), Fatimah (anak Siti Hajar).

Latar tempat:  rumah / banglo Datuk Johari (ruang tamu, perkarangan, kebun) / Datin Salmah, bilik Pak Amat

Teknik penceritaan:  sudut pandangan orang ketiga, bahasa tubuh (kerlingan mata)

Ringkasan

Sudah seminggu Hilmi di rumah Datuk Johari. Dia dapat membaca bahasa mata yang berbeza antara Datin Salmah (tajam = sinis), Datuk Johari (lembut = perlindungan) dan hayati ("redup" = simpati). Datin Hilmi enggan memuji bakat Hilmi (apabila Hilmi mahu memindahkan orkid ke depan untuk mendapat cahaya matahari), sebaliknya Datuk Johari cuba berbuat demikian secara berlapik. Apabila soal bayaran dibangkitkan, Datin Salmah tidak senang.

Hilmi tidak menyangka tindakannya mendapatkan tanah hitam daripada Dr. nathan mengundang kemarahan Datuk Johari. Dia diberikan wang untuk membayar harga tanah hitam itu, tetapi Dr. Nathan sendiri yang datang memberitahu Datuk Johari bahawa dia sendiri yang memberinya, bukan Hilmi yang meminta. Pujian Dr. Nathan terhadap Hilmi sebagai "tukang kebun" menyebabkan Datuk Johari resah.

Hilmi melayan perasaan bersama alunan ketukan piano Hayati. Walaupun cuba dialih perhatian (ajakan minum teh), Dr. Nathan masih memuji Hilmi sebagai memiliki sentuhan artistik, tetapi Datin Salmah sengaja mengatakan hal itu kerana Hilmi masih baharu, belum nampak "tembelang". Datuk Johari hanya mampu berasa kesal di dalam hati tentang sikap Datin Salmah yang membezakan Hilmi (anak saudaranya) dengan Mohsin (anak saudara datin).

Walaupun Hilmi sedikit kecewa, tetapi bunyi piano tadi masih terngiang-ngiang. Kemudian, apabila Pak Amat tiba, Hilmi mendengar cerita perihal Pak Amat bekas penyelam mutiara di Darwin, Australia dan perbah mempunyai keluarga di sana. Anaknya terkorban dalam perang Vietnam.

Sekali lagi Hilmi terpegun dengan irama lagu Melayu lama piano Hayati atas permintaan kakak datin, Siti Hajar. Hilmi kemudian bertanyakan tentang tetamu Datin Salmah kepada Pak Amat. Nyata kepada Hilmi bahawa keluarga Datin Salmah orang berada dan berpangkat belaka.

Datin Salmah asyik terfikir tentang "hasutan" Siti Hajar supaya Hilmi diusir sahaja kerana latar belakangnya yang tidak layak dengan keluarga mereka.


bersambung...

GAJI BAHARU BELUM DAPAT, HARGA BARANG SUDAH MELAMBUNG (THE GREEDY MERCHANT ALWAYS SELFISH)

Harga gas masak sudah naik beberapa kali tahun ini setelah tidak lagi menjadi barang kawalan sepenuhnya. Sebagai contoh, pada awal harga satu tong gas (14 kilogram) ialah RM26+, tetapi kini mencecah hingga RM30 bergantung kepada kawasan pasaran. Peniaga gas memberitahu bahawa mereka melaksanakan diskriminasi harga supaya dapat menyerap tekanan inflasi kerana margin untung jualan gas adalah kecil.

Kenaikan harga gas masak akan melarat kepada harga makanan. Set sarapan pagi yeng lengkap memerlukan belanja antara RM2.50 ke RM5, manakala hidangan makan tengah hari di restoran biasa mencecah RM7 - RM10. Kalau sekeluarga makan di luar, bayangkan bahawa RM50 sudah macam air paip yang laju.

Harga bahan mentah untuk keperluan dapur juga melambung tinggi. Beli dua tiga item barang, RM10 terbang begitu cepat. Habis keliling pasar malam atau pasar tani, wang kertas RM100 sudah bertukar kepada beberapa keping not berwarna biru dan duit syiling.

Kalau tanya peniaga, mereka spontan menjawab dalam nada dan irama yang sama: kenaikan kos. Peniaga kecil dan runcit menyalahkan pemborong, pemborong menyalahkan pembekal, pembekal menyalahkan kos pengeluaran (upah pekerja, barang modal dan barang perantaraan). Semua pihak yang ditanya menyalahkan orang lain sahaja, seolah-olah mereka ialah mangsa yang tidak pernah dikasihani.

Siapa yang sebenarnya memulakan pesta naik harga? Kakitangan awam selalu jadi mangsa "kambing hitam" oleh peniaga. Setiap kali perubahan sistem saraan, pelarasan dan semakan gaji oleh kerajaan, golongan kapitalis lintah darat segera tersengih macam kerang busuk, kerana alasan untuk melonjakkan harga barang muncul lagi.

Perut taikun kapitalis kian membusung. Ketawa mereka makin galak. Duit buat duit, dakwa mereka.

Puak kapitalis telah lama bermaharajalela dan membina hidup mewah atas kesengsaraan pengguna yang jahil. Mereka sangat licik dalam urusan manipulasi pasaran. Dosa dan pahala bukan perhitungan mereka.

Perbelanjaan terhadap makanan membentuk pemberat atau wajaran yang besar dalam perbelanjaan majoriti pengguna. Apabila harga makanan naik, hampir semua pendapatan isi rumah langsai. Mereka bukan sahaja gagal menambah tabungan, bahkan hidup tidak tenteram apabila hutang keliling pinggang.

Orang-orang besar memang mudah bercakap menyuruh golongan bawahan berjimat cermat atas alasan menjaga kesihatan. Namun, mereka menunjukkan contoh yang buruk, melaram dengan pakaian elitis sambil melahap di majlis keramaian serba mewah. Sekatan dan tindakan kepada kaum kapitalis susah hendak dilakukan kerana mereka bijak berselindung di sebalik topeng amal dan kebajikan yang bersifat kosmetik dan pura-pura.

Persatuan pengguna juga dilihat sangat lemah kerana asyik dengan komplot dan konspirasi berebut jawatan justeru akses peluang untuk berdamping dengan golongan berpengaruh terbuka luas. Hanya glamor dan populariti yang bermain-main dalam minda mereka. Akhirnya, pengguna bercempera dan menanggung duka lara sendiri...

Wednesday, December 28, 2011

"PANTUN NASIHAT (BERSATU HATI)" KOMSAS TINGKATAN 3 {VALUES AND VIRTUES}

Penyelenggara:  (Dr.) Harun bin Mat Piah
Sumber ambilan:  Antologi Harga sebuah Lukisan, 2011: muka surat 6
Jenis pantun:  4 kerat
Bilangan rangkap: 6

Perbincangan Rangkap demi Rangkap

          Gunung Tahan sama didaki,
               Sungai Pahang sama direnang;
          Jikalau semua bersatu hati,
               Kerja yang payah menjadi senang.

Kalau semua orang (dalam kumpulan / organisasi / masyarakat) sepakat, sia sekata, maka sebarang tugas yang mungkin bersifat berat dan sukar akan menjadi ringan dan mudah untuk disempurnakan.

          Melangir keris pusaka hikmat,
               Keris sejarah sejak bahari;
          Kalau gadis ingin selamat,
               Jangan murah menjual diri.


Pesanan sangat jelas ditujukan buat gadis muda remaja supaya sentiasa menjaga maruah diri. Seseorang gadis yang berakhlak luhur dan mulia tidak akan mudah diperdaya atau cepat lemah terhadap godaan. Maka, gadis tidak harus cepat leka dengan pujian atau lemas dengan pujuk rayu (gula-gula muslihat lelaki hidung belang, mata keranjang) hanya kerana seronok didampingi, walhal risiko keselamatan diri sangat tinggi (mangsa serangan seksual, pembunuhan).

          Menanam bunga di dalam pasu,
               Bunga melati, bunga pandan;
          Jangan ikut hawa nafsu,
               Kelak nanti binasa badan.

Pesanan seterusnya ialah tentang bahaya menurut kehendak (atau hasutan) hawa nafsu yang boleh menjerumuskan seseorang ke arah kebinasaan. Hawa nafsu merujuk kepada keinginan yang tidak terkawal dan menjurus kepada tabiat membazir. Demi memenuhi tuntutan hawa nafsu, seseorang itu mungkin terdedah kepada perbuatan yang mengundang padah kepada diri sendiri.

          Nyiur muda dibuat pengat,
               Mari dimakan bulan puasa;
          Wahai pemuda hendaklah ingat,
               Kerana mulut badan binasa.

Nasihat juga ditujukan kepada lelaki muda lela (remaja dan muda). Mereka diberi peringatan agar menjaga tutur kata dan ucapan. Percakapan atau pendapat yang dilontarkan boleh jadi disalah erti atau sama sekali tidak disenangi oleh orang lain yang mengundang perbalahan yang dahsyat.

          Orang berkelah di Tanjung Rhu,
                Sambil memanggang si ikan sepat;
          Hendaklah banyak menghadap guru,
               Supaya terang jalan makrifat.

Bagi memperoleh ilmu dan mengukuhkan kefahaman tentang banyak perkara, seseorang itu hendaklah berguru, iaitu mendapat bimbingan (dan ijazah) daripada guru-guru yang dalam ilmunya dan tajam pemikirannya. Dalam kata lain, bagi mendapatkan pengalaman dan pengetahuan yang benar dan berguna, seseorang itu hendaklah melalui proses pengajian yang diiktiraf. Belajar bersendirian (tanpa guru) mengundang kesesatan (ditipu oleh syaitan laknatullah).

          Rendang sungguh pohon ara,
               Tumbuh subur tepi telaga;
          Tidak salah berkenal mesra,
               Tatasusila perlu dijaga.        

Berkenalan dan menjadi lebih mesra tidaklah menjadi masalah. Syaratnya perkenalan itu mestilah berlandaskan tatasusila, iaitu adab dan etika yang luhur. Perkenalan yang ikhlas bermakna bahawa segala batasan dan tegahan tidak dilanggari.

Perbincangan komsas

Tema:  Nasihat kepada golongan muda mudi tentang akhlak mulia / adab pergaulan

Nilai murni:  kesepakatan / permuafakatan, jati diri / ketegasan, kesederhanaan, berbudi bahasa / kesopanan / ketelitian, kerajinan / rendah diri, persaudaraan / keikhlasan.

Persoalan:  kesepakatan / permuafakatan dalam kerja / kegiatan
               :  jati diri / ketegasan dalam menjaga maruah diri
               :  kesederhanaan dalam perbuatan / tindakan / membuat keputusan
               :  berbudi bahasa / kesopanan / ketelitian dalam komunikasi / percakapan / ucapan / melontarkan pendapat
               :  kerajinan / rendah diri dalam menuntut ilmu / pengajian / berguru
               :  persaudaraan yang ikhlas / keikhlasan dalam pergaulan

Pengajaran:  kita hendaklah sepakat / bermuafakat dalam sesuatu pekerjaan / kegiatan
                :  kita perlu memiliki jati diri / ketegasan dalam menjaga maruah diri
               :   kita mesti bersifat  sederhana / mengamalkan kesederhanaan dalam perbuatan / tindakan / membuat keputusan
               :  kita hendaklah berbudi bahasa / sopan / teliti dalam komunikasi / percakapan / ucapan / melontarkan pendapat
               :    kita hendaklah rajin / merendah diri dalam menuntut ilmu / pengajian / berguru
               :  persaudaraan yang ikhlas / keikhlasan dalam pergaulan

gaya bahasa:  Pembayang pantun rangkap 1 hingga 5 ialah kerenah manusia, manakala rangkap 6 ialah unsur alam

pemilihan kata / diksi:  hanya rangkap 2 mengandungi perkataan klasik, melangir (membersihkan keris dengan  dengan bahan-bahan tradisional seperti limau purut dan sintuk; Kamus Dewan edisi IV:884)  ), bahari (dahulukala / kuno)
               
kbkk:  

KISAH MADU SERUMAH (THE SACRED POLYGAMY)

Peranan penulis blog (PB) kali ini ialah menceritakan semula pengalaman pihak ketiga tentang hidup berkongsi "suami". Nama samaran bagi pencerita asal ialah Putih, pasangannya Boboi (bukan "boroi"), manakala sang madu bernama Mas. Putih akur bahawa hidup berkongsi kasih begitu banyak cabaran dan dugaan.

Putih ialah "isteri" yang tua. Apabila Boboi meminta izin untuk pasang satu lagi, Putih tidak berkata apa-apa. Boboi menganggap diam sebagai tanda setuju.

Putih juga tidak membantah apabila Boboi membawa Mas tinggal bersama. Syarat tunggal buat Boboi ialah berlaku adil. Kalau tidak, Putih akan berpakat dengan Mas untuk mengenakan Boboi.

Kini, Putih telah sarat dan menunggu masa untuk melahirkan anak penyeri keluarga. Putih sedikit alah dan tiba-tiba lebih sensitif. Putih bersikap lepas cakap dan kerap membebel tanpa sebab yang khusus.

Mas tidak bertindak balas kerana maklum tentang pembawa "budak". Boboi juga sentiasa mengalah dan tidak pernah marah. Putih sebenarnya rasa bersalah, tetapi gagal mengawal mulut.

Walaupun Putih bersikap kasar sekali sekala, tetapi mereka bertiga sering duduk bersama sambil meninjau keadaan perut Putih yang makin boyot. Boboi nampak sangat gembira kerana dia bakal bapa muda, Sebenarnya umur Boboi lebih muda daripada kedua-dua Putih dan Mas.

Pada mulanya, Putih enggan gambar mereka dirakam. Akhirnya setelah dipujuk, ketiga-tiga mereka memberikan gaya yang istimewa. Mereka berharap orang lain dapat mengambil pelajaran daripada kisah dan pengalaman yang diceritakan.
Dari kiri: Putih, Boboi, Mas 

Tuesday, December 27, 2011

DRAMA "SEBUAH PERJUANGAN" KOMSAS TINGKATAN 3 (THE EFFECT OR TREACHERY AND DISLOYALTY)

Penulis Skrip Drama:  Ab. Manaf bin Kamarudin
Sumber ambilan:  Antologi Harga Sebuah Lukisan, 2011: muka surat 111 - 125
Bilangan babak:  12
Bilangan watak aktif / terlibat dalam kata bual  : 4 orang
Watak utama (protagonis) :  Pangeran Syahbandar
Watak penentang (antagonis):  Jahul
Watak pembantu / sampingan:  Awang (orang kanan Pangeran), Pegawai Inggeris
Watak lain:  penduduk kampung, polis-polis Kompeni,  polis Sikh (dari Perak), Sultan Brunei
Latar tempat:  Sungai Padas, markas / pejabat pegawai Inggeris, Kota Manggalela (kubu Pangeran)

Ringkasan Babak demi Babak

Babak 1:
Pangeran Syahbandar menyampaikan ucapan menegaskan Sungai Padas bukan jajahan British, tetapi dikuasai oleh adik Tuanku Hashim Jalilul Alam. Penduduk kampung bebas menjalankan kegiatan mencari rezeki tanpa takut. Dalam pada itu, mereka dikehendaki membayar cukai berdasarkan kemampuan masing-masing.

Babak II:
Tali barut Inggeris, Jahul melaporkan perihal Pangeran kepada pegawai Inggeris. Jahul juga membenarkan cakap pegawai Inggeris bahawa Sungai Padas termasuk dalam perjanjian pajakan oleh Sultan Brunei. Sebagai ganjaran kesanggupan membelot tanah air sendiri, Jahul diberi hadiah walaupun dia pura-pura menolak.

Babak III:
Di rumah, Pangeran Syahbandar marah kepada penjajah (kompeni durjana). Awang membangkitkan tentang peranan tali barut menyebarkan dakyah hanya kerana gelap mata dengan pujian dan sogokan penjajah. Pangeran membuat keputusan supaya malam hari itu juga mereka bertindak.

Babak IV:
Pasukan Pangeran bertempur dengan sekumpulan pembelot (tali barut kompeni) dan menawan mereka.

Babak V:
Jahul masuk ke pejabat pegawai Inggeris bagi melaporkan perkembangan tindakan Pangeran terhadap "rakyat" (baca: tali barut, pengintip, musuh dalam selimut) kompeni. Apabila Jahul mendesak tindakan balas, pegawai Inggeris tertawa angkuh, sambil mahu membuat bantahan kepada Sultan Brunei.

Babak VI:
Awang memaklumkan titah Sultan Brunei supaya tawanan dibebaskan, tetapi Pangeran enggan berganjak. Mereka nekad untuk menyerang markas kompeni Inggeris malam esoknya.

Babak VII:
Serangan dilakukan. Pasukan Pangeran berjaya membunuh banyak polis kompeni dan markas kompeni musnah.

Babak VIII:
Jahul berlagak sebagai batu api supaya kompeni segera bertindak menunjukkan kekuatan. Pegawai Inggeris melabel paneran sebagai pemberontak. Dia memberitahu Jahul bahawa Residen Inggeris telah membenarkan polis kompeni membuat serangan balas.

Babak IX:
Pertempuran berlaku. Pasukan Pangeran berjaya menyebabkan polis kompeni undur. Namun, Pangeran mengingatkan Awang supaya tidak lalai, sebaliknya sentiasa waspada. Dia menjangka bahawa Inggeris pasti datang lagi.

Babak X:
Pegawai Inggeris kagum dengan kebijaksanaan Pangeran membuat persediaan bagi menhan serangan kompeni, tetapi Jahul mengatakan kompeni lebih bijak. Pegawai Inggeris memberitahu serangan seterusnya mendapat bantuan polis Sikh dari perak dengan senjata apai yang lebih lengkap.

Babak XI:
Serangan berlaku pada waktu malam dengan bedilan meriam. Awang cemas kerana pasukan mereka hanya ada keris dan lembing. Namun, pangeran mahu terus berjuang.

Babak XII:
Awang melaporkan bahawa banyak anggota pasukan mereka gugur (terbunuh), manakala kubu Manggalela sukar dipertahankan. Pada mulanya Pangeran enggan mengaku kalah, tetapi Awang membayangkan risiko lebih buruk, iaitu mereka semua terkorban tanpa warisan (keturunan). Mereka telah berperang hampir empat bulan. Gabenor Inggeris menawarkan damai dan rundingan. Akhirnya, Pangeran sudah tiada pilihan melainkan keluar dari kubu Manggalela untuk menyerah diri, tetapi bertegas bahawa semangat untuk membebaskan tanah air bertambah kental...

Perbincangan Komsas

Perwatakan:  cinta negara (patriotik), tegas, berwibawa, bijaksana (Pangeran);  patuh (Awang); pembelot / pengkhianat (Jahul); angkuh (pegawai Inggeris)

Latar masyarakat:  Masyarakat yang cintakan negara / bersemangat patrotik
                          :  Masyarakat yang tegas
                          :  Masyarakat yang berwibawa
                          :  Masyarakat yang bijaksana / cekap merancang (strategi)
                          :  Masyarakat yang patuh  / setia / taat
                          :  Masyarakat yang belot / khianat / derhaka / tidak setia
                          :  Masyarakat yang angkuh / bongkak / ego /sombong / keras hati

Nilai murni:  cinta kepada negara, ketegasan, kewibawaan, kebijaksanaan / kecekapan, kepatuhan / kesetiaan / ketaatan

Persoalan:  Kecintaan terhadap negara sepenuhnya / tidak  berbelah bahagi
               :  Ketegasan dalam pendirian / perjuangan / menghadapi (tipu helah) musuh
               :  Kewibawaan sebagai pemimpin / dalam memimpin (orang bawahan) / memberi arahan / perintah
               :  Kebijaksanaan / kecekapan dalam merancang / merencanakan strategi / tindakan
               :  Kepatuhan / kesetiaan / ketaatan kepada pemimpin / perjuangan / misi pasukan
               :  Pembelotan / pengkhianatan / penderhakaan / ketidaksetiaan kepada negara / tanah air / bangsa / pertiwi / nusa
                :  Keangkuhan / kebongkakan / keegoan / kekerasan hati pihak musuh / kaum penjajah
     
Pengajaran:  Kita hendaklah cinta terhadap negara sepenuhnya / tidak  berbelah bahagi
                 : Kita hendaklah  tegas dalam pendirian / perjuangan / menghadapi (tipu helah) musuh
                 :  Kita hendaklah mempamerkan wibawa sebagai pemimpin / dalam memimpin (orang bawahan) / memberi arahan / perintah
                  :  Kita hendaklah bijaksana / cekap dalam merancang / merencanakan strategi / tindakan
                  :  Kita hendaklah patuh / setia / taat kepada pemimpin / perjuangan / misi pasukan

Perbincangan kbkk (punca, faedah, akibat, cara)

Orang yang tamak sanggup menjadi pembelot / pengkhianat / penderhaka / api dalam sekam / gunting dalam lipatan / musuh dalam selimut / talam dua muka / ejen asing / pengintip upahan bagi memusnahkan anah air sendiri. Mereka sangat selesa berdampingan dengan pihak musuh unruk memperoleh habuan kebendaan. Golongan seperti itu mungkin dapat dikenal pasti secara jelas (watak Jahul = jahil?) dan secara sembunyi dengan menyelinap masuk dalam pasukan keselamatan, atau menggunakan kepakaran teknologi maklumat untuk menjual data atau maklumat keselamatan negara. Demikian punca yang dikenal pasti.

Cara mengatasi ialah mendidik generasi muda (di sekolah) tentang setia negara, serta memberi pendedahan yang mencukupi tentang bahana / bahaya perbuatan itu. Kalau sudah terlanjur, individu atau kumpulan yang dikenal pasti dan disahkan sebagai pengkhianat, hukuman paling berat perlu dikenakan. Pasukan risikan juga mesti terlatih dalam menghadapi golongan licik itu. Teknologi bagi memintas penghantaran data mesti dimajukan (dalam konteks zaman dahulu, perangkap mesti dipasang untuk memberkas Jahul)...        

PELARI PECUT REBAH DI PANTAI (WET SLAUGHTER)

Sehari dua ini berita hakisan pantai melanda Bachok, Dungun dan Subayau, Sabah mendapat perhatian media. Di pantai Teluk Lipat, Dungun, hentaman ombak telah meruntuhkan laluan sepanjang 3 kilometer yang menghubungkan pekan Kuala Dungun dengan kampus UiTM, Sura Hujung. Hakisan berkenaan dianggap sebagai fenomena terburuk setelah 50 tahun, manakala di Sabah, ombak menggulung setinggi 5 meter!
laluan alternatif Teluk Lipat sebelum hakisan terburuk tahun ini

Artikel ini sebenarnya ialah perkongsian pengalaman penulis blog (PB) semasa melewati pantai Teluk Lipat pada tanggal 14.12 yang lalu. Sekumpulan orang, diketuai oleh lelaki dewasa berusia lewat 50-an sedang berbuat sesuatu. Didesak rasa ingin tahu yang kuat, PB memberhentikan kenderaan dan turun ke situ.

Teka teki PB terjawab dengan cepat. Tiada sesiapa yang perlukan bantuan kecemasan. Sebenarnya, ada pekerjaan khusus sedang dilakukan di sana.

Barangkali pembaca pernah mendengar peribahasa Inggeris, iaitu kuda boleh diheret ke tepi air, tetapi tidak dapat dipaksa minum. Kuda juga ialah pelari hebat yang sangat dikagumi, dan menjadi kenaikan penting pahlawan zaman silam. Kini, imej kuda lebih menjurus terhadap kegiatan rekreasi, tarikan pelancongan dan sukan (dan malang sekali, judi).
Petang itu, seekor kuda yang lazim berlari kencang, hingga gemercing sambil menerbangkan debu ke udara telah tewas. Menurut lelaki dewasa tadi, kuda betina berkenaan kemalangan kerana merempuh tembok rumah, lalu cedera parah, serta harapan untuk pulih tipis sekali. Tuan punya kuda mengupahnya melakukan proses sembelihan.

Sebenarnya proses menumbangkan seekor kuda jauh lebih sukar berbanding dengan lembu atau kambing. Namun, kerana kuda berkenaan sudah tidak berdaya, kerja yang digalas lebih mudah. Kuda berkenaan tidak begitu melawan, sebaliknya pasrah dengan kesudahan hidupnya.

Harga seekor kuda seperti yang disembelih itu boleh mencapai RM50k (baca: RM50 ribu). Maka, apabila PB bertanya tentang kegunaan kulit kuda yang telah dilapah, dia terus mempelawa PB mengambilnya (baca: kena beli). Kalau harga kuda hidup RM50k, tentulah kulitnya juga mahal.
Pada zaman dahulu, aksesori kuda yang paling penting ialah ladam yang dipasang pada tapak kaki kuda yang menghasilkan bunyi hentakan yang unik ketika kuda bergerak. Pelana kuda juga dihias dengan sentuhan kreativiti yang melambangkan status tuan punya kuda. Suara rengkek kuda yang manja atau ketika cuba menarik perhatian tuannya melambangkan kuda sebagai haiwan peliharaan yang pintar.

Kuda juga digunakan untuk pelbagai perlambangan. Dalam bidang bahasa misalnya, ada perkataan "diperkudakan" yang membawa erti orang yang tidak menyedari bahawa dirinya telah digunakan oleh pihak lain bagi mencapai maksud (jahat) mereka. Orang putih kalau hendak mendapatkan pengesahan atau cerita sebenar selalu menyebut right / straight from the horse's mouth, mendengar sendiri rengkekan kuda, iaitu mendengar sendiri keterangan sumber asal.

Khasiat susu kuda memang sudah diakui oleh pakar perubatan dan pemakanan tambahan. Tentang daging kuda, agak panas macam daging kambing, kata orang yang pernah menjamahnya. PB tidak berani bertanya lagi tentang harga sekilogram daging kuda, kerana mungkin akan dipelawa pula untuk membelinya...

Monday, December 26, 2011

KONSERTO TERAKHIR: PENGENALAN , BAB 1 (REPLACEMENT OF INTERLOK)

Pengenalan

Novel terbitan asal tahun 1980 ini telah diubah suai untuk edisi murid tingkatan 5. Terdapat 14 bab dengan ketebalan 285 muka surat (bahagian penceritaan novel, tidak termasuk butiran buku dan biodata pengarang). Pemilihan Konserto Terakhir sebagai ganti Interlok dilihat sebagai situasi menang-menang apabila pihak kementerian mahukan pembelajaran komponen sastera bebas daripada sebarang gangguan dan sensasi. 
Konserto Terakhir termasuk dalam kategori karya klasik moden (lihat keterangan kulit belakang novel). Naskhah Dato' Abdullah Hussien, 91, sasterawan negara ini persis kisah "Antara Dua Darjat" lakonan Tan Sri (Dr.) P. Ramlee yang menggarap pelbagai peristiwa kebetulan. Paparan kulit hadapan novel barangkali ialah imaginasi pelukis tentang watak utama, Hilmi dan Hayati.

Ringkasan bab 1: Keluarga

Pembukaan cerita ialah tentang Hayati yang sedang belajar piano bersama gurunya. Ketika guru piano hendak berlalu kerana kecil hati dengan sikap Hayati, muncul Hilmi dengan pakaian orang miskin hingga wajah guru piano tadi bertukar pucat. Hilmi membahasakan dirinya "Abang Hilmi" dan mendakwa dia dua pupu Hayati , "anak" Pak Karim dari Kedah. Hayati kaget kerana dia tidak begitu rapat dengan keluarga sebelah ayahnya, memandangkan ibunya, Datin Salmah, anak jati Kuala Lumpur.
Hayati kekok dengan panggilan abang justeru panggilan anggota keluarganya ala barat seperti Joe untuk ayahnya, Datuk Johari. Demi Datin Salmah balik, Hilmi cuba menunjukkan kemesraan, tetapi Datin salmah jelas kurang senang. Hilmi diberi bilik "stor" surat khabar dan majalah lama, bersebelah bilik pemandu, Pak Amat. Apabila Datuk Johari tiba, dia seperti terpaksa melayan Hilmi, walhal dia mahu melenyapkan identiti kampungan sebelah keluarganya bagi mengimbangi status keluarga isterinya.

"Ayah" Hilmi, Pak Karim sebenarnya telah mengganti tempat Datuk Johari, iaitu menikahi mantan isterinya di kampung sebelum kahwin dengan Datin Salmah. Kali terakhir Datuk Johari balik kampung ialah 17 tahun sebelumnya, ketika Hilmi baru berusia 2 tahun. Ketika di meja makan, Datin Salmah asyik bertanya tentang lama mana Hilmi mahu menumpang di rumah mewah mereka.

Hilmi memberitahu dia sekadar lulus darjah 4 sekolah Melayu dan sanggup bekerja sebagai kuli. Hilmi tidak dipelawa makan, lau tidur berulit duka sebelum dipanggil makan di bahagian dapur oleh Lela, pembantu rumah. Sementara itu, rakan-rakan Datuk Johari enggan mengambil Hilmi bekerja walaupun mereka pernah dibantu oleh Datuk Johari. 

Datuk Johari memberi usul supaya Hilmi menjadi tukang kebun di rumah mereka sahaja, tetapi Datin Salmah gusar akan pandangan keluarganya. Hilmi sangat gembira, sedangkan Mak Minah, pembantu rumah senior kaget. Ketika Hilmi sibuk bekerja, Hayati muncul bersama tunangnya dengan kereta Volvo, dan paip getah yang dipasang oleh Hilmi masuk di bawah tayar kereta. 

Hilmi berasa tercabar apabila dia dikenalkan sebagai tukang kebun. Malah, maklumat tunang Hayati  oleh Pak Amat menyebabkan dia cemburu. Bab 1 berakhir dengan kereta Volvo sport meninggalkan perkarangan rumah dan Hilmi menunaikan solat Asar.

Perbincangan

Perwatakan

Hilmi:  berterus terang, rajin, taat
Hayati:  peramah, menghormati guru
Datuk Johari:  penyayang, tidak tegas
Datin Salmah:  mementingkan darjat (status), ego
Pak Amat (drebar)
Mak Minah (pembantu rumah)
Lela (pembantu rumah)
tunang Hayati (pegawai tinggi bank)
Milton (rakan Datuk Johari)

Latar masyarakat:  masyarakat yang berterus terang
                          :  masyarakat yang rajin  (Hilmi suka berkebun)
                          :  masyarakat yang taat  (Hilmi solat awal waktu)
                          :  masyarakat yang peramah  (melayan Hilmi walaupun baru pertama kali bersua)
                          :  masyarakat yang menghormati guru (Hayati meminta maaf apabila sedar guru kecil hati)
                          :  masyarakat yang penyayang (Datuk Johari berusaha mencari pekerjaan untuk Hilmi)
                          :  masyarakat yang tidak tegas / tidak teguh pendirian (Datuk Johari terlalu mengikut lagak isteri)
                          :  masyarakat yang mementingkan darjat  (Datin Salmah malu dengan kehadiran Hilmi)
                          :  masyarakat yang ego  (Datin Salmah melayan Hilmi sambil lewa)

Nilai murni:  terus terang / jujur, kerajinan, ketaatan, berbudi bahasa / kesopanan / hormat-menghormati, kasih sayang, ketegasan

Persoalan:  terus terang / kejujuran dalam komunikasi
               :  Kerajinan melakukan kerja
               :  Ketaatan / kepatuhan terhadap agama
               :  Budi bahasa / kesopanan ketika melayan tetamu
               :  Penghormatan / adab / etika / akhlak terhadap guru
               :  Kasih sayang sesama keluarga
               :  Ketegasan dalam memimpin keluarga / rumah tangga

Pengajaran:  Kita hendaklah jujur / berterus terang dalam komunikasi
                 :  Kita hendalah taat / patuh terhadap agama
                 :  Kita hendaklah berbudi bahasa sopan ketika melayan tetamu
                 :  Kita hendaklah menunjukkan penghormatan / adab / etika / akhlak terhadap guru
                 :  Kita hendaklah menyayangi sesama keluarga
                 :  Kita hendaklah tegas / tetap pendirian dalam memimpin keluarga / rumah tangga;
                    Suami jangan terlalu mengikut cakap / kata / lagak isteri

kbkk:  Permulaan cerita yang begitu menarik menyebabkan pembaca berasa teruja untuk meneruskan pembacaan. Penerimaan Hayati terhadap Hilmi masih menimbulkan tanda tanya. Pembaca juga ingin mengetahui sebab Hilmi berasa tercabar apabila mengetahui Hayati telah bertunang. Apakah akan wujud pergeseran antara Hilmi dengan tunang Hayati? Datuk Johari pula di persimpangan (dilema) antara menjaga hati isteri dan membalas kebaikan Pak Karim di kampung menerusi pertolongan kepada Hilmi. Mengapa pula guru piano Hayati tergamam dan pucat demi terpandang Hilmi yang tiba-tiba tegak di muka pintu? Unsur saspens telah bermula. Pembaca tentu ingin tahu tentang usaha Hilmi menyesuaikan diri menumpang di rumah orang berada dan sikap sinis datin salmah seterusnya...

DATARAN KELIP-KELIP SUNGAI YAK YAH (RURAL TOURISM ATTRACTION)

Kijal, Terengganu: Ahad, 25.12.11 / 29 Muharram 1433

Bukan bandar Dungun sahaja macam pekan tidak siap, bahkan laluan ke Kemaman juga demikian. Maka, bagi mengelakkan jalan yang tidak rata dan kelar sana kelar sini, satu laluan alternatif disediakan. Pemandu kenderaan boleh memilih laluan Ibok sejauh 26 kilometer untuk tiba ke penghujung pekan Chukai, Kemaman.

Walaupun laluan Ibok agak sempit, iaitu hanya satu lorong, perjalanan agak lancar. Tidak banyak kenderaan berat melaluinya mungkin kerana perlu mendaki dan menuruni kecerunan yang boleh tahan juga. Namun, pemandu dan keluarga boleh berhenti rehat di beberapa tempat menarik di sana.
Antara lokasi popular Ibok ialah dataran kelip-kelip Sungai Yak Yah. Pada waktu malam, kelap-kelip akan berkumpul di situ bagaikan sebuah lukisan yang cemerlang dan menakjubkan. Kepada kanak-kanak pengalaman itu pasti menyebabkan mereka teruja dan kesempatan itu perlu dimanfaatkan untuk mengukuhkan konsep tanda-tanda kebesaran Allah di muka bumi (ayatullah fil kaun).

Tidak jauh dari tempat kelip-kelip ialah zoo mini Kemaman yang baharu sahaja dibuka. seperti zoo lain, khidmat tram disediakan untuk mereka yang bermasalah untuk menapak jauh. Dalam kawasan zoo juga disediakan kawasan rekreasi yang amat sesuai untuk aktiviti santai.

Daerah Kemaman lebih cepat maju daripada Dungun, walaupun dari segi status, Dungun ialah daerah kedua terbesar selepas Kuala Terengganu. Bandar Chukai yang menjadi nadi Kemaman bertuah kerana selama 25 tahun diwakili oleh ahli dewan undangan negeri (Adun) berjawatan menteri besar. Kini, kemajuan dapat diteruskan kerana Adun bersebelahan, iaitu Kijal juga merupakan menteri besar semasa...

Sunday, December 25, 2011

PANTUN EMPAT KERAT (MUAFAKAT) KOMSAS TINGKATAN 3 (ALWAYS TOGETHER)

Pengenalan

Pantun tergolong dalam genre prosa tradisional. Penggunaan pantun dalam komunikasi zaman dahulu melambangkan  kehalusan akal budi dan ketinggian adab seseorang. Pembayang pantun yang tulen ialah tentang unsur alam, atau tentang kerenah manusia.

Setiap baris pantun yang baik mengandungi antara 10 hingga 12 suku kata. Bentuk pantun yang paling mudah ialah pantun 2 kerat, manakala pantun yang lebih rumit ialh pantun 8 kerat. Pantun diungkapkan dengan gaya dan lagu suara (nada, gelombang sebutan) yang tersendiri.

Dalam setiap rangkap pantun, dua baris pertama ialah pembayang, manakala dua baris berikutnya ialah maksud atau mesej sebenar yang ingin disampaikan. Walaupun  secara paling baik, rima awal, rima tengah dan rima akhir antara pasangan ayat pembayang dan maksud cuba disamakan, hakikatnya perkara itu sukar untuk dilakukan. Memadai jika rima akhir pasangan baris pertama dengan ketiga, dan kedua dengan keempat, dapat disamakan.

Perbincangan rangkap demi rangkap

          Indah sungguh warna pelangi,
               Tidak luput hingga senja;
          Ke lurah sama diharungi,
               Usaha bersama membawa bahagia.

Susah payah dalam sesuatu pekerjaan akan menjadi lebih ringan jika dilakukan secara beramai-ramai. Malah, cara demikian akan menumbuhkan rasa bahagia dan gembira kepada semua orang yang turut serta. Sebarang masalah dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan mudah.

          Buah salak di dalam kantung,
               Kulitnya keras isinya kelat;
          Bulat air kerana pembetung,
               Bulat manusia kerana muafakat.

Ambilan peribahasa klasik ini memang tepat dengan mesej keseluruhan pantun. Kekuatan masyarakat atau mana-mana kumpulan manusia terletak kepada ikatan kerjasama yang terjalin. Persefahaman ialah teras keutuhan sesebuah masyarakat.

          Turun ke paya memetik kangkung,
               Hati-hati terkena getahnya;
          Bergotong-royong penduduk sekampung,
               Hidup muafakat hidup bahagia.

Amalan dan tradisi gotong-royong berakar umbi di kawasan desa dan kampung. Kerja seperti kenduri kendara dan membina rumah dilaksanakan secara beramai-ramai. Bibit kemesraan yang tumbuh menyumbang terhadap kehidupan masyarakat yang rukun damai dan sejahtera. 

          Beras segantang sudah disukat,
                Lalu disimpan di atas para;
          Andai seluruh masyarakat muafakat,
                Negara damai rakyat sejahtera.

Muafakat hanya tercapai jika semua anggota masyarakat bersatu hati, sekata dan sejiwa dalam sesuatu hal, atau urusan kerja. Muafakat ialah asas perpaduan. Akhirnya, negara akan beroleh suasana (milieu) yang aman, sentosa dan tenteram sehingga rakyat jelata menikmati kesejahteraan hidup.

          Sawah padi luas terbentang,
                Kuning keemasan indahnya maya;
          Percaya-mempercayai asas berpegang,
                Barulah muafakat kekal selamanya.

Prasyarat kejayaan muafakat ialah ikhlas, jujur dan saling percaya. Pegangan sedemikian ialah sebagai jaminan supaya amalan muafakat dapat bertahan sepanjang masa.

          Harum sungguh bunga melati,
               Hiasan sanggul amat memikat;
          Bertolak ansur, hormat-menghormati,
               Mengukuhkan perpaduan ikatan muafakat.

Amalan muafakat perlu kepada sikap tolak ansur dan saling hormat. Perbezaan dalam perkara-perkara kecil hendaklah diketepikan, sebaliknya mendahulukan persamaan buah fikiran dan cara bertindak. Perpaduan masyarakat sangat bergantung kepada kesanggupan menerima perbezaan seadanya.

Kajian komsas

Pantun selenggaraan Zailani Taslim dari Terengganu di atas menyebut perkataan muafakat dalam semua rangkap, kecuali rangkap pertama yang disebut sebagai usaha bersama. Unsur perulangan itu sejajar dengan tema pantun yang berkisar kepada amalan muafakat mengukuhkan perpaduan masyarakat. Pembayang pantun nyata lebih menjurus kepada unsur alam.

Nilai murni: kerjasama, tolak ansur, saling percaya, saling hormat, perpaduan

Persoalan:  kerjasama membawa bahagia
               :  muafakat mengukuhkan perpaduan masyarakat
               :  tolak ansur menjayakan muafakat
               :  saling percaya menentukan muafakat
               :  saling hormat teras muafakat
               :  perpaduan masyarakat menerusi muafakat

Pengajaran:  kita hendaklah sentiasa bermuafakat dalam melakukan sebarang pekerjaan / membuat keputusan
                :   kita hendaklah mengutamakan perpaduan masyarakat
                :   kita hendaklah bertolak ansur dalam kerja bermuafakat (pasukan)
                :   kita hendaklah saling percaya membina muafakat
                :   kita hendaklah saling hormat menuju muafakat
                :   kita jangan hanya mementingkan diri sendiri / memencilkan diri dalam masyarakat

Kajian kbkk:
           :  muafakat remaja seperti kumpulan belajar, kokurikulum, permainan, sukan, perkongsian ilmu
           :   muafakat warga sekolah seperti gotong-royong perdana, menyokong wakil sekolah yang bertanding
               :   muafakat keluarga seperti membersih dan mengemas rumah dan laman rumah, rehlah dan riadah
               :   muafakat komuniti seperti hari keluarga, kempen menghapuskan sarang nyamuk aedes
               :   muafakat organisasi / pertubuhan seperti kelab / persatuan pengguna / rukun tetangga / bomba bantuan
               :   muafakat negara seperti belanja berhemat melawan inflasi, membanteras jenayah 

ANDY HAKIM DI SELANGOR FM (THE DEEJAY AURA)

Suatu ketika dahulu Andy Hakim sangat sinonim dengan Hindi Power di Time Highway Radio (THR.fm). Rancangan kelolaan beliau dianggap nadi stesen berkenaan. Kemudian, setelah THR diambil alih oleh Astro, khidmat Andy dihentikan kira-kira 2 bulan atas alasan penjenamaan semula.
sumber ambilan gambar: facebook Andy Hakim Ibrahim


Hindi Power kehilangan sengat. Deejay (merujuk disc jockey, iaitu juruhebah radio memutarkan lagu walaupun hakikatnnya pilihan eksekutif muzik atau penerbit slot siaran berkenaan) muda tidak mampu menyaingi populariti Andy yang sudah masuk kategori veteran itu. Akhirnya, Andy Hakim kembali bersiaran di stesen THR yang juga dipancarkan menerusi saluran Astro 863 untuk versi bahasa Melayu, kerana siaran biasa hanya untuk penduduk pantai timur Semenanjung.

Kemudian, Andy Hakim hilang lagi. Rupa-rupanya Andy beralih angin ke Selangor.fm untuk slot 9 - 12 tengah malam. Walaupun secara konservatif siaran Selangor.fm hanya meliputi kawasan penduduk Selangor yang berjumlah lebih lima juta orang, kemajuan internet membolehkan celoteh Andy Hakim didengar di seluruh pelosok dunia.

Kelebihan Andy Hakim ialah dari segi persediaan untuk bersiaran. Beliau begitu rajin membuat kerja rumah dan mencari maklumat terkini tentang setiap lagu yang hendak diputarkan. Cara penyampaian beliau yang begitu petah dan bersahaja menggambarkan kepakaran yang tersendiri.

Andy Hakim tidak pernah lupa menerapkan nilai-nilai murni dalam bersiaran. Misalnya, tentang kisah seorang taikun perniagaan Taiwan, 60,  yang memiliki aset USD3 bilion akan mendermakan 90 peratus kekayaan yang dimiliki untuk tujuan amal dan kebajikan. Andy sempat menyebutkan bahawa umat Islam patut mengambil iktibar tentang sikap mulia berkenaan yang selaras dengan anjuran Islam sendiri.

Satu hari nanti kita harap Andy Hakim akan benar-benar menjadi deejay radio dan televisyen dengan citra Islamik. Ikim.fm, TV al-Hijrah, dan Astro Oasis sebagai contoh patut melamar Andy Hakim untuk berkhidmat dengan stesen mereka. Kepakaran Andy Hakim tentang dunia Bollywood akan beralih kepada dunia dakwah dan seruan kebenaran...

Saturday, December 24, 2011

KEMASUKAN SBP 2012 LALUAN KHAS MURID KURANG BERUNTUNG (EQUITY IN FINANCING EDUCATION)

Hasrat asal penubuhan sekolah-sekolah berasrama penuh (SBP) ialah untuk memberi peluang kepada murid bumiputera, khususnya yang datang dari segala ceruk rantau desa menikmati proses pembelajaran yang selesa. Di samping akses kepada pembelajaran yang lebih sistematik, kumpulan kanak-kanak Melayu yang berpotensi tinggi juga didedahkan dengan proses sosialisasi yang memberikan mereka pengalaman pembelajaran sebagai persediaan kepimpinan masa hadapan. Nyata bahawa hasrat berkenaan sudah banyak tercapai kerana kini sebilangan tokoh akademik, politik, perniagaan dan suka rela pernah menuntut di SBP premier seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Star), Kolej Tunku Khursiah (TKC), Sekolah Tun Fatimah (STF), Sekolah Seri Puteri, Jalan Kolam Ayer, Sekolah Alam Shah, Sekolah Dato' Abdul Razak dan beberapa buah SBP lagi.

Apabila kohort awal murid SBP berkenaan telah berjaya menempa nama dalam bidang pilihan masing-masing, mereka menubuhkan pula persatuan bekas pelajar seperti Mcoba (MCKK) dan Staroba (Star). Mereka telah begitu banyak menyumbang kepada pembangunan alma mater mereka. Malah, kejayaan yang ditunjukkan menjadi inspirasi kepada murid SBP yang ada sekarang. Sesetengah SBP memperuntukkan kuota tempat untuk anak-anak bekas pelajar mereka supaya ada kesinambungan dari segi sejarah dan sumbangan.

Sistem SBP juga menunjukkan kecemerlangan pencapaian akademik yang luar biasa. Murid luar bandar berjaya dibimbing hingga muncul sebagai calon-calon terbaik peperiksaan awam. Rentetan itu, SBP menjadi rebutan ibu bapa seluruh negara apabila mereka melakukan pelbagai langkah dan strategi pembelajaran supaya anak-anak mereka berpeluang menjejakkan kaki ke SBP.

Bagi mengimbangi anak-anak golongan berada dengan anak-anak golongan sederhana dan kurang beruntung, dasar SBP yang asal bakal dikembalikan secara beransur-ansur. Misalnya, bagi pengambilan kohort murid SBP 2012, kira-kira 30 peratus tempat di SBP dikhususkan untuk murid kurang beruntung walaupun pencapaian UPSR mereka mungkin sekadar 3A, 2B atau 4A, 1B. Baki 70 peratus lagi dibuka kepada semua pemohon yang layak bagi memastikan bahawa SBP terus memiliki bakat-bakat terbaik untuk pencapaian akademik mereka.

Selain SBP, perebutan tempat yang sengit juga berlaku untuk kemasukan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikelolakan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara). Bilangan tempat yang ditawarkan juga hanya sekitar 7,000 orang murid juga. Memandangkan lebih 34,000 orang calon UPSR memperoleh semua A, dengan andaian konservatif calon bumiputera sebanyak 20,000 orang, maka tempat di SBP dan MRSM masih tidak mencukupi.

SBP dan MRSM juga telah membuka peluang kepada murid bukan bumiputera untuk membuat permohonan. Kira-kira 5 - 10 peratus tempat disediakan. Kelonggaran dasar pengambilan SBP dan MRSM ialah sebagai tanda muhibah dan perpaduan yang hendak dibina menerusi pendidikan.

Tumpuan ibu bapa juga ialah kemasukan ke SBP aliran agama (SMKA), SMA negeri dan sekolah tahfiz pintar. Ibu bapa akur bahawa pendidikan ialah harta yang akan diwarisi oleh anak-anak mereka. Hukamak mengatakan bahawa ilmu menjaga harta, tetapi harta tidak menjaga ilmu!

Agensi berita kebangsaan, Bernama melaporkan bahawa sebanyak 2,214 tempat daripada 7,400 tempat yang ditawarkan bagi kemasukan tingkatan satu ke SBP disediakan bagi pelajar daripada keluarga miskin dan luar bandar. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, daripada jumlah itu (2,214 tempat), 360 orang daripadanya adalah pelajar yang mendapat 3A 2B manakala 660 orang yang mendapat 4A 1B. "Jika kita lihat, keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR)baru-baru ini, sebanyak 34,000 pelajar mendapat 8A sedangkan tempat yang ditawarkan untuk kemasukan ke tingkatan empat di SBP ialah 5,500 tempat saja. 


"Bagi pelajar lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), kita menyediakan 7,400 tempat bagi kemasukan ke tingkatan satu di SBP dan yang mendapat 5A ialah 46,000 orang. Jadi, memang ada persaingan. Oleh sebab kita ada projek untuk membantu pelajar miskin, seperti yang telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin), kita menyediakan 2,214 tempat untuk pelajar miskin. Kita memberikan peluang ini kerana mengambil kira cabaran mereka dari segi tekanan hidup, kekurangan dari segi kemudahan pembelajaran dan lain-lain," katanya selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada 57 orang  pelajar daripada dua rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang, di sini, hari ini. 


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini mengumumkan Kementerian Pelajaran menggubal syarat baru kelayakan minimum kemasukan tingkatan satu ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) iaitu keputusan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) 3A 2B bagi murid daripada keluarga miskin dan 4A 1B bagi murid luar bandar, mulai tahun depan. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, syarat baru itu bertujuan membantu dua kategori murid itu mendapat pembelajaran yang lebih sempurna dan memberi peluang kepada mereka untuk ke SBP. Antara kriteria pemilihan murid ke SBP sebelum ini ialah keputusan 5A dalam UPSR dan aktif dalam kegiatan kokurikulum. Puad berkata, mereka yang dikategorikan sebagai pelajar miskin itu adalah mereka yang mendapat bantuan daripada program e-kasih. 

"HIKAYAT SERI KELANTAN" KOMSAS TINGKATAN 3 (FAMILY PROTECTION STRUGGLE)

Sumber: Antologi Harga Sebuah Lukisan, 2011: muka surat 28 - 34

Penyelenggara:  (Prof. Dr.) Mohd. Taib Osman, bekas Naib Canselor Universiti Malaya

Genre:  Prosa Tradisional

Watak: Encik Siti, Tuan Puteri Sa'dung, Sultan Abdullah, raja benua Siam, Tuk Ca

Latar tempat:  Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung, Jembal, Kota Jelasin, Gunung Ayam, Siam, Mahligai, Cerang Bahana, bahtera utusan Siam

Sinopsis:

Raja Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung (nama asal Kelantan) ialah Encik Siti yang tidak bersuami, lalu mengambil anak angkat dari Jembal, Puteri Sa'dung. Tuan puteri kemudian dikahwinkan dengan Raja Abdullah, juga dari Jembal. Raja Abdullah diangkat menjadi sultan dan membuka sebuah kota yang diberi nama Kota Jelasin. Encik Siti pula berpindah sebagai raja di Gunung Ayam. Dalam masa yang sama, seorang raja benua Siam sangat berahi (tergila-gila) akan Puteri Sa'dung yang sudah pun bersuami. Raja Siam mengutus bala tentera untuk melanggar kota Jelasin dan merampas Puteri Sa'dung. Mulanya Siam dapat ditewaskan menerusi kesaktian Puteri Sa'dung. Namun, takdir menentukan bahawa rakyat negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung dilanda bala kelaparan. Angkatan Siam berjaya mengepung kota Jelasin, tetapi dengan kesaktian Puteri Sa'dung, sekalian kota parit dan istana ghaib ke Cerang Bahana di dalam hutan. Malangnya, Tuk Ca, ahli nujum raja Siam berjaya mengesan kedudukan Mahligai. Angkatan Siam yang terdiri daripada raja, menteri dan askar berjaya mengepung Mahligai hingga Sultan Abdullah tidak dapat berbuat apa-apa. Akhirnya, Puteri Sa'dung terpaksa diserahkan kepada pihak Siam dengan doa kepada Tuhan agar dapat lepas dari suratan kejahatan raja benua Siam.

Perwatakan:  Berani, prihatin, tegas, patuh

Nilai: keberanian, keprihatinan, ketegasan, kepatuhan

Persoalan: keberanian dalam mempertahankan maruah isteri, negara
               : keprihatinan terhadap keperluan perkahwinan
               : ketegasan terhadap musuh
               : kepatuhan kepada suami / ibu (angkat)

Pengajaran:  Kita hendaklah berani dalam mempertahankan maruah (diri, keluarga, negara)
                 :  Kita hendaklah prihatin terhadap keperluan mendirikan rumah tangga
                 :  Kita hendaklah tegas terhadap musuh
                 :  Kita hendaklah patuh kepada suami / ibu

KBKK:

bersambung...