Pengenalan
Penggunaan bahasa yang tepat selalu disebut sebagai bahasa baku, iaitu penyampaian sesuatu idea secara tertib, serta bebas daripada sebarang kesalahan tatabahasa. Bahasa baku sangat mustahak bagi mewujudkan keseragaman dalam urusan rasmi. Sistem bahasa baku umpama kawalan terhadap variasi bahasa yang mungkin muncul sebagai akibat aliran, mazhab dan pegangan bahasa yang berlainan.
Jika di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tumpuan diberikan terhadap pembetulan kesalahan ejaan, kesalahan imbuhan, kesalahan kosa kata dan kesalahan umum bahasa, calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula dikehendaki membuat analisis terhadap kesalahan ejaan, tanda baca, imbuhan, frasa, klausa dan ayat dengan mengemukakan alasannya sekali. Calon STPM dihendaki mengenal pasti kesalahan dalam petikan yang disediakan, memberi sebab (kategori) kesalahan dan mencadangkan pembetulan. Calon perlu teliti dalam mengenal pasti kesalahan bahasa kerana menerusi pembacaan seimbas lalu seolah-olah betul belaka!
Pola Keselarasan Vokal
Kekeliruan tentang pola keselarasan vokal jarang-jarang berlaku, tetapi mungkin diuji dalam peperiksaan. Masalah yang sering dihadapi ialah apabila membabitkan penggunaan e pepet (dahulu ditulis sebagai ē) dan e taling. ē dibunyikan seperti dalam sebutan ēmak, ēmas, ēnau, bēlang, cēmas, dēgup, gēli, hēning, jēling, kētar, lēmbut, mēkar, nēraka, opērasi, pēncak, rēmbulan, sētia, tēmu, dan wēwenang. e taling pula dibunyikan seperti dalam ejaan bengkok, cerek, desibel, elok, ferum, geser, helo, jersi, kepoh, lengah, lenggok, pena, serong, dan tega.
Secara umum, ē digandingkan dengan i dan u, manakala e taling digandingkan dengan a dan o. Dalam istilah ekonomi, perkataan yang betul ialah kēluk, bukan kelok. Sudah pasti "berseh, celek, gelik, jerok, serabot, dan telok tidak dapat diterima.
Pengecualian akan berlaku terhadap kata pinjaman atau kata serapan daripada bahasa asing. Misalnya, aneka, arena, pameran, dan perabot. Begitu juga nama khas septi ejaan asal nama tempat tertentu bagi mengekalkan fakta sejarah. Misalnya, Chērok (ceruk) dan Tēlok (teluk).
Gugus konsonan yang biasanya bersumber daripada bahasa Inggeris sekali sekala mungkin mengelirukan. Sebagai contoh, blog (bukan bēlog), draf (bukan deraf), entri (bukan enteri), frasa (bukan ferasa), graf (bukan geraf), klise (bukan kelise), plak (bukan pelak), dan trumpet (bukan terampet). Bunyi sebutan huruf e telah disembunyikan bagi memelihara keaslian bahasa sumber. Selamat berbincang...
No comments:
Post a Comment