Monday, March 12, 2012

CABARAN PELAKSANAAN PROGRAM SIFAR F DAN MAS DI SEKOLAH (THE STUDENTS WITHOUT CLEAR SENSE OF DIRECTION)

Pendahuluan

Setiap kali keputusan peperiksaan awam diumumkan, pelbagai pihak mulai sibuk membuat analisis data pencapaian calon, justifikasi dan saranan penambahbaikan. Mata pelajaran yang mengalami kemerosotan dari segi peratusan lulus dan gred purata akan diberi perhatian khusus. Ketua panitia yang berkenaan harus bersedia untuk memberi jawapan yang munasabah terhadap selisih sasaran yang berlaku.

Walaupun alasan tentang latar belakang kumpulan calon tertentu telah dikenal pasti sebagai punca masalah, pihak pentadbiran lazimnya lebih berminat terhadap program campur tangan (intervensi) oleh panitia, khususnya pada tahun calon menduduki peperiksaan. Kiraan lepas landas (take off value, TOV), hitung kepala (head count) dan segala pelan operasi dan taktikal panitia bakal dibangkitkan semula. Demikian juga dengan refleksi amalan terbaik aktiviti bilik darjah menerusi kajian tindakan yang pernah dijalankan.

Latar belakang / profil calon peperiksaan

Bilik darjah umpama sebuah dunia kecil dan bayangan masyarakat sebenar. Ahli sosiologi pendidikan cenderung berpendapat bahawa susun lapis (strata) murid adalah persis atau paling tidak mirip benar dengan susun lapis masyarakat sebenar. Maksudnya, ciri tingkah laku dominan seperti pengaruh kelompok rujukan dan tingkah laku lencongan akan sentiasa ada.

Guru ialah pemimpin dan pemudah cara aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP). Sebagai ahli ikhtisas yang hebat, guru sentiasa peka akan citra, keinginan, keperluan, nuansa dan perubahan yang sentiasa berkembang sepanjang prose PdP. Guru harus bijak mensejajarkan peruntukan masa yang terhad untuk melaksanakan segala alat kawalan sosial supaya maksud PdP tercapai sepenuhnya.

Kawalan sosial yang paling asas ialah ganjaran dan hukuman. Murid yang menunjukkan kerjasama, kesungguhan dan perhatian akan dihamburkan kata-kata galakan sebagai pengukuhan, manakala murid yang tidak menunjukkan minat dikenakan isbat sosial menerusi proses pujukan dan tindakan disiplin yang tertentu. Andai kata berlaku kacau ganggu, murid yang terbabit perlu dirujuk secara pentadbiran.

Murid datang ke sekolah untuk mengembangkan potensi dan fakulti yang ada dalam diri mereka ke tahap optimum. Sebagai insan yang masih kurang pengalaman, tingkah laku mereka pasti banyak yang tidak kena. Maka, tugas guru ialah untuk menolong murid menikmati pengalaman pembelajaran yang menjadikan insan yang lebih baik dari hari ke hari.

Melainkan murid kategori keperluan khas, murid-murid normal memiliki ragam psikologi yang berbeza-beza. Murid yang datang daripada keluarga yang bahagia akan berbeza dengan murid yang datang daripada keluarga yang mengalami krisis. Begitu juga murid yang dengan perawakan menarik akan lebih berkeyakinan tinggi daripada murid yang menganggap diri mereka serba kekurangan dari segi paras rupa.

Sebagaimana sebahagian besar anggota masyarakat yang suka bergosip, mengumpat dan adu domba, begitulah juga dalam kalangan murid. Tema perbualan mereka mungkin lebih banyak berkisar terhadap selebriti pujaan, atlet, aktiviti internet dan cakap kosong. Pandangan mereka mungkin menghala ke arah papan putih atau aktiviti PdP, tetapi fikiran mereka menerawang entah ke mana-mana.

Kebanyakan murid juga tidak pernah mengerti tentang kesusahan hidup sebagaimana pengalaman ibu bapa mereka atau guru sendiri. Kebanyakan keperluan persekolahan telah tersedia. Maka, mereka tidak dapat membayangkan kesudahan hidup mereka kelak apabila tamat persekolahan atau pengajian.

Peranan Guru PdP

Sebagai pakar kandungan mata pelajaran dan pakar kaedah PdP, guru harus dapat merancang aktiviti bilik darjah setelah mengambil kira latar belakang murid dan persekitaran bilik darjah. Murid cemerlang boleh diberikan peranan sebagai pembantu PdP yang berkesan. Reka bentuk modul PdP pula memberi kesempatan kepada semua murid untuk mengambil bahagian dalam proses PdP bagi mengelakkan kemunculan kumpulan pasif atau pemberontak senyap.

Murid-murid yang dikenal pasti sebagai bermasalah pembelajaran disenaraikan untuk program intervensi seumpama harapan lulus (halus), penguasaan sukatan pelajaran minimum (minimum adequate syllabus, MAS), atau sifar F. Nama mereka diserahkan kepada ketua panitia untuk tindakan selanjutnya. Sekurang-kurangnya murid kumpulan berkenaan belajar falsafah berpantang maut sebelum ajal, atau berpantang undur sebelum kalah sebagai bekal kehidupan sepanjang hayat.

Peranan Panitia Mata Pelajaran

Panitia ialah medan permuafakatan profesional guru dalam mata pelajaran yang sama. Menerusi panitia, para guru akan memiliki kesempatan untuk berkongsi kepakaran bagi mencapai maksud PdP dan keberkesanan sekolah. Panitia juga dapat menjamin bahawa seseorang guru tidak seperti "sebatang kara" dalam menghadapi masalah PdP bersendirian. 

Seterusnya panitia bagaikan jambatan antara guru PdP dengan jawatankuasa kurikulum sekolah bagi menjayakan segala perancangan keseluruhan sekolah yang dibawa ke bilik darjah. Setiap saranan panitia akan diangkat untuk perhatian mesyuarat jawatankuasa kurikulum. Persetujuan, sokongan dan sumber akan dihulurkan bagi memastikan bahawa akhirnya murid akan menikmati hanya pengalaman pembelajaran yang terbaik.

Mesyuarat panitia bukan macam sembang kedai kopi atau perbincangan gosip wartawan hiburan. Panitia bermain dengan data dan pengamatan yang khusus. Klasifikasi pencapaian murid bukan sekadar untuk catatan buku rekod mengajar dan fail kurikulum, tetapi sebagai asas untuk program intervensi dan penambahbaikan PdP.

Maka, jika cara-cara lama didapati tidak lagi berkesan, proses pembaharuan dan inovasi mesti digerakkan. Meskipun idea spontan masih berguna, persediaan bacaan dan idea pintar mungkin dapat menjimatkan masa mesyuarat. Idea yang diterima harus dapat dipindahkan dalam reka bentuk program intervensi supaya semua murid memiliki peluang untuk lulus.

Kepimpinan ketua panitia hendaklah terserlah supaya setiap keputusan mesyuarat dipandang serius dan seterusnya dilaksanakan sepenuhnya. Ketua panitia boleh melayan rungutan dan sungutan, tetapi harus segera mengubah bentuknya kepada analisis kritikal. Semangat dan komitmen guru PDP mesti sentiasa kekal di tahap tertinggi supaya semua perancangan menjurus kepada kemenjadian murid.

Peranan Pentadbiran Sekolah

Pengetua ialah nakhoda yang mengemudi hala tuju keseluruhan sekolah. Pengetua dibantu oleh penolong-penolong kanan dan ketua bidang mata pelajaran agar sekolah memenuhi semua hasrat pihak-pihak yang berkepentingan dalam pendidikan. Gaya kepimpinan pengetua sangat mempengaruhi pencapaian keseluruhan sekolah.

Antara ciri kepimpinan pengetua yang paling menonjol ialah kepimpinan pengajaran. Pengetua ialah guru yang paling banyak pengalaman dan pendedahan tentang amalan PdP yang berkesan dan terbaik. Pengetua harus dapat membimbing semua subordinat beliau sentiasa mencari jalan menolong murid-murid menikmati pengalaman pembelajaran yang terbaik.

Khusus untuk program intervensi ke arah sifar F (tiada gred gagal), pengetua perlu memastikan sokongan dan sumber yang mencukupi. Pengetua harus meluangkan masa untuk bertemu sendiri dengan kumpulan murid bermasalah pembelajaran sambil dibantu oleh kepakaran kaunseling supaya tema luahan persepsi murid tentang ;pembelajaran dapat ditetapkan. Dapatan berkenaan disejajarkan dengan reka bentuk program intervensi yang disarankan oleh pihak panitia mata pelajaran.

Pengaruh kata-kata negatif yang didapati dominan mesti segera diganti dengan impian yang hebat-hebat. Pelajar kumpulan risiko dikumpulan dalam kem separuh hari yang bertumpu kepada penerokaan kendiri dan masukan inventori ciri insan cemerlang. Pengisian program hendaklah bersifat santai dan somatik, iaitu lebih banyak pergerakan fizikal berbanding dengan ceramah yang awal-awal lagi dalam zon penolakan murid berkenaan.

Setelah kumpulan pelajar risiko itu mula menunjukkan riak dan keinginan untuk memajukan diri, tahap seterusnya dilaksanakan. Pengetua boleh meminta penolong kanan untuk memantau perjalanan program dan membuat laporan dari masa ke masa. Pendek kata, pengetua mengaplikasikan ciri-ciri kepimpinan unggul bagi mencapai matlamat keseluruhan sekolah berkesan, terutama dalam hal-ehwal kurikulum.

No comments:

Post a Comment