Monday, May 21, 2012

LULUS PMR LAYAK AMBIL DIPLOMA (HANDS-ON COURSES AT VOCATI0NAL COLLEGES)


Apabila konsep universiti terbuka dibawa masuk ke Malaysia, timbul pelbagai andaian tentang kelonggaran syarat kemasukan pelajar dan kualiti ijazah yang ditawarkan. Sebagai perbandingan, di Thailand, sesiapa juga yang sanggup membayar yuran boleh mengikuti kuliah untuk kursus-kursus kritikal seperti perubatan, farmasi, kejuruteraan dan perakaunan. Sama ada mereka mampu menamatkan pengajian atau kandas sejak awal lagi tidak berbangkit.

Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dimiliki oleh konsortium universiti-universiti awam premier di Malaysia. Setakat ini, dasar pengambilan pelajar OUM masih dikawal dengan syarat kelayakan tertentu. Penarafan kursus yang ditawarkan juga bergantung kepada kelulusan Lembaga Akreditasi Negara (Lan), Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Pengumuman terkini Kementerian Pelajaran tentang lulusan PMR yang baharu mencecah usia 16 tahun sudah layak memohon kemasukan kursus diploma di  14 buah kolej vokasional mulai tahun hadapan membuka satu lagi lembaran sejarah transformasi pendidikan negara. Dengan 70 peratus komponen kemahiran dan 30 peratus komponen akademik, murid tingkatan 3 yang tidak cenderung kepada pembelajaran bersifat akademik dan abstrak boleh memilih kursus yang lebih bersifat manipulatif. Masa belajar lebih banyak dihabiskan di bengkel daripada bilik kuliah.

Dalam tempoh 4 tahun, atau ketika usia mereka baru mencecah 19 tahun, mereka bakal dianugerahkan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) oleh Kementerian Sumber Manusia. Buat permulaan, sebanyak 15 buah kolej vokasional akan beroperasi mulai tahun 2013. Dalam tempoh dua tahun selepas itu, sebanyak 63 buah sekolah menengah vokasional (SMV) bakal dinaik taraf sebagi kolej vokasional.

Hanya 8 buah sekolah menengah teknik (SMT) asal akan dikekalkan. SMT Ipoh, Persiaran Brash yang ditubuhkan pada tahun 1973 juga akan berubah status sebagai kolej vokasional. Negeri Perak kehilangan sekolah teknik asal yang pernah mengumpulkan murid cemerlang dari seluruh negara. Maksudnya, semua 10 buah SMT, termasuk SMT Gerik (akademik) beralih menjadi kolej vokasional.

Mungkin timbul soalan nakal dan sinis tentang penarafan diploma vokasional (DVM) sama ada setara dengan diploma politeknik, kolej komuniti, UiTM dan IPTA lain, atau tidak. Perkara itu terserah kepada Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran dan Kemeterian Pengajian Tinggi, dan akhir sekali ialah Jabatan perkhidmatan Awam (JPA). Kohort pertama hanya akan menamatkan pengajian pada tahun 2016.

Sasaran DVM tentu lebih menjurus kepada permintaan industri, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Sebahagian pelatih DVM yang memiliki potensi keusahawanan juga boleh diberi pakej kursus tambahan supaya boleh digilap sebagai bakal majikan. Sudah tiba masanya anak-anak tempatan mengambil alih sepenuhnya kekosongan yang selama ini diisi oleh oleh pekerja asing...

4 comments:

  1. Beberapa persoalan perlu dijawab sebelum kementerian melaksanakan plan cadangan ini:
    a) apakah matlamat penubuhan sekolah menangah teknik sudah tercapai sepenuhnya sehingga kementerian begitu terburu-buru hendak memansuh dan membubarkan sekolah teknik Ipoh yang mempunyai rekod antara yang terbaik di Malaysia?
    b) Mengapa perlu mengorbankan Sekolah Menengah Teknik Ipoh dan mengapa hanya sekolah ini terpilih untuk diturun tarafkan? Perak akan kehilangan sebuah sekolah yang selama ini mencapai kedudukan yang baik dan lebih malang rakyat Perak terpaksa merempat kenegeri lain jika ingin melanjutkan pelajaran ke jurusan teknikal.
    c) Bagaimanakah taraf diploma yang dihasilkan? apakah ianya setaraf atau setanding dengan diploma kejuruteraan dari UTM atau UITM?
    d) Bagaimanakah keperluan industri di Malaysia terhadap lulusan kolej vokasional ini? Kritikal sangatkah sedangkan kita bukan negara industri sebagaimana Jepun, German atau Korea?
    e) Mengapa tindakan ini dilakukan terburu-buru? apakah sudah ada penyelidikan yang menyeluruh? apakah nanti ianya juga seperti tindakan yang sebelum ini dibuat oleh kementerian yang sama, seperti menjadikan semua sekolah vokasional sebagai sekolah Teknik???
    f) siapakah yang paling terkesan dengan pembubaran Sekolah Menengah Teknik Ipoh? dan siapakah juga yang terkesan diploma vokasional belum diperlukan dalam industri di Mlaysia?
    g) mengapakah tidak diperbetulkan institusi seperti IKBN, IKM, demi mencapai kualiti pembelajaran vokasional yang bermutu?

    ReplyDelete
  2. cikgu azhar said...
    terima kasih atas maklum balas

    kalau boleh salinan ulasan tuan dikirim (e-mel) terus kepada kppm sendiri.

    penyakit lama dalam dunia pendidikan ialah terlalu banyak idea yang beratur menunggu giliran.

    sebahagian soalan tuan telah dijawab dalam artikel di atas, manakala sebahagian lagi perlu pendapat pakar.

    ikbn di bawah kementerian belia dan sukan, ikm di bawah sumber manusia. tumpuan kursus mungkin berbeza.

    tidak mengapa ramai rakyat Malaysia ada diploma dan ijazah, tetapi penarafan mesti dilakukan dengan autentik supaya tidak dilihat sebagai terlalu murah.

    wallahu a'lam...

    ReplyDelete
    Replies
    1. sy bekas pelajar smt gerik..knapa perlu dibubarkan skolah yg btul2 pure teknik?biar jela skolah yg ade aliran vokasional sahaja yg brubah jd kolej vokasional...ini sedikit sebanyak membuatkan alumni semetrik rasa tidak puas hati...smt gerik dan smt brash bnyak melahirkan pelajar cemerlang...apakah agenda jabatan pendidikan teknikal sebenarnya?

      Delete
  3. Nak masuk kolej lepasan PMR je ..tpi dh berhenti sekolah ..boleh ke??

    ReplyDelete