Dalam buku How Full Is Your Cup, Dr. J. M. Sampath (2010:28-29) mencatatkan kisah seorang lelaki yang sanggup mengembara ke segenap ceruk dunia untuk mencari seorang calon isteri yang sempurna. Apabila si lelaki itu mencecah usia 70 tahun, seseorang bertanya kemungkinan dalam tempoh yang begitu lama dia langsung tidak bertemu wanita yang dicari. Dalam nada sedih, lelaki tua itu mengatakan bahawa sekali dia pernah berjumpa wanita idaman yang dicari, tetapi wanita itu juga mencari seorang calon suami yang sempurna.
Bercakap tentang dunia pendidikan dan sekolah juga lebih kurang sama dengan anekdot atau kisah pendek di atas. Ibu bapa mencari sekolah yang dianggap sempurna, murid mengharapkan pengalaman pembelajaran yang sempurna, pihak berkuasa pendidikan mengharapkan pengetua, serta guru yang sempurna dan seterusnya. Pendek kata, kesempurnaan tetap didambakan walaupun pada hakikatnya, kekurangan sentiasa ada di mana-mana.
Ibu bapa berharap anak-anak mereka akan beroleh kesempatan mendapat pendidikan yang sempurna sebagai jaminan kehidupan masa hadapan. Mereka memasang impian agar anak-anak mereka bakal muncul sebagai insan yang berdikari dan berdaya saing. Semasa persekolahan, anak-anak mereka mendapat layanan yang paling adil dan keselamatan mereka dilindungi sepenuhnya.
Murid berharap agar aktiviti pembelajaran sentiasa menghadirkan keseronokan, sentiasa menarik dan ceria. Mereka mahu proses pembelajaran selari dengan cita rasa generasi muda yang menjurus kepada penerokaan akses kendiri dan idea-idea baharu. Mereka tidak gemar terkongkong dengan pelbagai peraturan dan pantang larang yang menyekat pemikiran kreatif.
Pihak berkuasa pendidikan pula berharap supaya pengetua dan guru sekolah sentiasa akur terhadap tahap amalan ikhtisas keguruan yang terbaik. Permuafakatan dan pemerkasaan dalam proses memupuk pembelajaran diharapkan menjadi agenda utama di sekolah. Walaupun pegawai pendidikan di sekolah tidak mampu hidup mewah dan kaya raya seperti pemilik empayar korporat, tetapi mereka tetap kaya dengan penghormatan dan sanjungan.
Harapan terhadap kesempurnaan di sekolah setinggi gunung dan sedalam lautan layaknya. Memang wajar untuk terus berharap begitu, tetapi mesti ada juga kelenturan. Maksudnya, konsep kesempurnaan di sekolah mesti diletak dalam batasan yang tertentu.
Kesempurnaan ialah penanda aras atau piawai pencapaian tertinggi. Kekurangan pula ialah perbezaan antara kesempurnaan dengan pencapaian sebenar. Kekurang akan mewujudkan keperluan untuk penambahbaikan.
Ibu bapa tidak boleh sekadar berharap, tetapi mesti turut menyumbang atas keupayaan masing-masing, paling tidak sebagai anggota PIBG. Murid harus banyak pendedahan tentang kisah hidup tokoh-tokoh terbilang, manakala pihak berkuasa pendidikan perlu mencari jalan supaya kebajikan pegawai pendidikan di sekolah sentiasa berada pada tahap optimum. Apabila semua pihak yang berkepentingan di sekolah memainkan peranan masing-masing, harapan untuk mencari kesempurnaan di sekolah akan lebih cerah...
No comments:
Post a Comment