Esok, Selasa 26/2/12 bersamaan 6 Syaaban 1433 berlangsung penyampaian anugerah perkhidmatan cemerlang (APC) untuk guru dan kakitangan sekolah daerah Kinta Utara di sebuah SJKC dekat Menglembu di Ipoh. Lebih kurang 8 peratus guru dan kakitangan sesebuah sekolah dipilih sebagai penerima APC setelah melalui tapisan laporan penilaian prestasi tahunan dan perakuan ketua jabatan. Cakap-cakap tentang APC bukan perkara baharu justeru memang semua penilaian dan pengukuran terdedah kepada isu-isu kesahan dan kebolehpercayaan, serta ralat dan aras signifikan yang dianggarkan.
Sebaik manapun reka bentuk sesuatu instrumen penilaian dan pengukuran, unsur persepsi tentang ketepatannya tidak dapat dihapuskan. Pemilihan penerima APC yang sepatutnya membawa kebaikan kepada organisasi atas prinsip menang-menang boleh bertukar kepada beban tekanan kepada kelompok tertentu. Maka, pihak panel penilaian dan pengukuran APC selalu digesa lebih telus dalam memberi justifikasi tentang kriteria pemilihan dan mempamerkan hikmah dalam menghadapi kritikan senyap.
Hakikatnya, kesempurnaan dan sumbangan maksimum kepada organisasi bukanlah tiket automatik atau jaminan pasti untuk terpilih dalam sesuatu penilaian dan pengukuran. Saidina Abu Bakr as-Siddiq dalam ucapan pemasyhuran beliau sebagai khalifah ar-Rasyidin yang pertama menyebut bahawa beliau bukanlah orang terbaik yang layak diangkat sebagai pemimpin, tetapi menerima jawatan berkenaan atas dasar keputusan syura. Hendaknya sekalian penerima APC juga mengambil sikap yang serupa agar rasa hormat terhadap keputusan organisasi dan semangat setia kawan sentiasa menjadi keutamaan.
Kepada anggota organisasi yang masih belum pernah terpilih dan masih menunggu, rezeki datang dalam pelbagai bentuk dan arah. Barangkali selama ini bakat terbaik mereka telah terlepas pandang atas pelbagai sebab yang sukar untuk dijelaskan. Sama seperti doa yang tulus ikhlas, mungkin bakal termakbul pada waktu yang tidak disangka-sangka.
APC ialah suatu token yang terhad, walaupun ketua jabatan sesebuah organisasi ingin sekalian subordinat beliau beroleh kegembiraan dan perhatian yang saksama saban tahun. Pihak atasan memang menyedari lompang dan kekurangan dalam pelaksanaan sesuatu proses penilaian dan pengukuran prestasi kerja. Terkini, penubuhan sebuah suruhanjaya penambahbaikan perkhidmatan awam telah membuka jalan kepada semua pihak yang berkepentingan menyuarakan sebarang bantahan, cadangan dan luahan profesional tentang sistem penilaian dan pengukuran yang sedia ada.
...
...
...
...
...
No comments:
Post a Comment