Saturday, July 28, 2012

DRAMA "MAAFKAN AKU" ADAPTASI FILEM "MIHRAB CINTA" (THE UNIVERSAL STORY)

Jalan cerita sangat mirip, tetapi dengan persekitaran Malaysia.
Firdaus mengikuti pengajian di madrasah terkenal, tetapi akibat fitnah Zahrul, Firdaus disingkirkan lalu benar-benar menjadi penyeluk saku (pencopet). Kebetulan ketika hendak memulangkan dompet Marya, Firdaus bertemu dengan Haji Habshi yang mencari guru Qur'an untuk cucunya. Firdaus didorong menjadi imam dan penceramah hingga muncul di kaca televisyen.

Watak utama:  Firdaus Hazadi, Marya Quraisya
Firdaus berambut biasa-biasa sahaja, berbanding dengan Hadi (Dude Herlino) berambut gondrong ketika mula masuk ke pesantren di Kediri. Watak Marya jelas sekali sama dengan watak Silvi (Asmirandah), tetapi hanya tinggal di kawasan perumahan biasa, bukan villa mewah. Marya juga tidak memandu Mercedes dan tidak terbabit dengan kemalangan maut sebagaimana Silvi. Marya juga tiada saingan berebut cinta dengan Firdaus, berbanding dengan Hadi yang dicintai secara diam-diam oleh adik pemilik pesantren yang pernah diselamatkan dalam peristiwa mencemaskan di gerabak kereta api.

Pendukung watak utama:  Syazwan Zulkifli, Nora Darnish
Penghayatan pelakon sederhana sahaja jika dibandingkan dengan Dude Herlino, Meyra Sefira dan Asmirandah. Kepetahan berpidato Firdaus bagai langit dengan bumi jika dibandingkan dengan Hadi. Nada dalam slot motivasi televisyen juga mendatar sahaja. 


Watak pembantu: Dato' Rahim Razali (bapa Firdaus), Hisham Ahmad Tajudin (datuk Husnatul Amira, murid Qur'an Firdaus)
Kedua-dua orang pelakon veteran itu kelihatan lebih berjaya menjiwai watak masing-masing. Namun, Rosnah Johari (watak ibu Firdaus) hanya kategori sederhana.

Peleraian berbeza: Mihrab berakhir dengan subtragedi, manakala Maafkan Aku berakhir dengan gembira.
Silvi yang baharu bertunang dengan Hadi pendek usia (Mihrab), tetapi Marya akhirnya (dijangka oleh penonton) bernikah dengan Firdaus. Selain itu, kemurungan yang dialami oleh watak utama dalam Mihrab tidak berlaku kepada Firdaus. 

Naskhah asal Habibur Rahman yang digarap semula untuk versi Malaysia dan tersiar dalam slot Cerekarama TV3 ialah suatu percubaan berani menonjolkan genre drama berunsur keIslaman yang selama ini banyak berfokus kepada watak-watak misteri seperti kemunculan ulama yang telah meninggal dunia (lakonan Allahyarham M. Rajoli), peristiwa aneh dalam slot drama bersiri 'Tanah Kubur' (Nasir Bilal Khan) dan balasan anak derhaka. Stesen televisyen lain yang kerap menyiarkan drama berunsur Islam ialah TV9, Astro Prima (105), al-Hijrah (114) dan Astro Oasis (106). Malangnya, sebahagian drama yang memaparkan tema Islamik dicemari dengan adegan campur gaul pasangan pelakon bukan mahram.

Seperti lazim, drama berunsur Islam masih tidak keluar daripada kepompong streotaip, iaitu dera sosial dan sedih pilu. Gambaran kepincangan masyarakat dipaparkan secara keterlaluan seolah-olah peribadi rujukan dalam kalangan masyarakat Islam tidak ketara. Apa salahnya watak pekerja cemerlang atau usahawan berjaya mengambil alih watak negatif penganut ajaran sesat atau pelampau politik parti?

Kecenderungan adaptasi karya asing sudah lama berlaku dalam industri kreatif. Penerbit filem Bolywood misalnya bukan sahaja menciplak jalan cerita filem serata dunia, bahkan mengubah suai susunan muzik untuk lagu-lagu yang menghiasi filem mereka. Salah sebuah lagu filem Mann misalnya memplagiat gubahan Iwan yang kini telah berhijrah sebagai aktivis jemaah tabligh.

Cerita-cerita dongeng Indonesia untuk tontonan kanak-kanak pula diangkat daripada naskhah asal sastera rakyat pelbagai negara. Dengan bantuan teknologi janaan komputer, babak kesaktian dan mistik dapat ditunjukkan dengan lebih real. Kemahiran kru jurukamera dan pascaproduksi filem membolehkan pergerakan fizikal watak yang kaku dapat dibetulkan.

Kesimpulannya, drama Maafkan Aku mungkin merupakan duluan kepada proses adaptasi cereka asing untuk versi tempatan. Namun, barang diingat bahawa keizinan tuan punya naskhah kreatif yang asal wajib diperoleh secara sah dengan bayaran honorarium sekali. Kegiatan adaptasi, ciplak dan plagiat (naqal) yang dilakukan ialah kesalahan jenayah yang serius di bawah peruntukan undang-undang hak cipta...

No comments:

Post a Comment