Saturday, October 20, 2012

KELANTAN JUARA TREBEL EDISI 2012 (MAT YO OUT OF IMPORT SHADOW)

Shah Alam, Sabtu: 20/10/12 = 4 Zulhijjah 1433

Norshahrul Talaha atau Mat Yo muncul sebagai wira skuad bola sepak Kelantan apabila dua gol sentuhan kreatif beliau menerjah jaring Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk kemenangan dramatik 3-2 dalam perlawanan yang berlarutan hingga 124 minit. Jurulatih pasukan ATM, B. Sathianathan membidas pemain Kelantan yang didakwa sengaja jatuh seperti nangka untuk melengahkan perlawanan pada detik genting. Pergaduhan juga hampir tercetus di tengah padang apabila pemain ATM tidak menghiraukan pemain Kelantan yang terbaring cedera, sebaliknya tetap menyerbu kubu Kelantan sehingga nyaris menghasilkan gol penyamaan ketika perlawanan berbaki beberapa minit sahaja.
Mat Yo memecah kebuntuan apabila tolakan selamba beliau gagal dibaca dengan baik oleh Farizal, penjaga gawang ATM yang pertama kali bermain dalam perlawanan akhir di hadapan lebih 70,000 orang penonton di Stadium Shah Alam. Namun, tiga minit separuh masa kedua bermula, pemain veteran ATM, Rezal Zambry berjaya menembusi kekentalan Apek apabila tendangan kencang jarak jauh beliau terbias apabila terkena seorang pemainan pertahanan Kelantan. ATM hanya dapat merayakan gol itu seminit sahaja kerana Mat Yo sekali lagi bijak meletakkan Kelantan sekali lagi di hadapan dengan 2-1.

Pada minit ke-62, dalam keadaan kelam kabut di hadapan gawang Kelantan, Marlon James berjaya membuat satu tandukan tipis yang tidak dapat dijangkau oleh Apek. Setelah itu, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, tetapi kedudukan terikat 2-2 hingga tamat 90 minit perlawanan.
grafik: Asro Arena

Ketiadaan Ghadar, pemain import Kelantan tidak melemahkan jentera serangan pasukan Kelantan. Indera Putra Mahyuddin, pemain kelahiran negeri Perak, melepaskan satu rembatan cantik ke penjuru gol ATM pada minit ke-95 bagi melengkapkan malam gemilang skuad kijang. Walaupun ATM bermati-matian untuk kembali mengikat perlawanan, pasukan Kelantan berjaya menyerap segala asakan dan tekanan yang bertali arus yang dilancarkan oleh ATM yang turut mengharapkan sentuhan ajaib ketua pasukan, Hairudin Oman (Hai-O). 
                                                                                 grafik: Asro Arena

Dengan kejayaan menjulang Piala Malaysia, Kelantan telah melengkapkan impian trebel mereka, iaitu setelah memenangi gelaran juara Liga Super dan Piala FA sebelum ini. Semua pemain Kelantan dijangka menerima hadiah berupa rumah kediaman yang selesa, barangkali rumah yang siap dibina di kawasan lot banglo. Pasukan ATM yang dibarisi kebanyakannya oleh pemain awam (bukan anggota tentera) masih dikira hebat kerana mara sejauh ini, malah juara Liga Perdana itu telah berjaya meragut ego pasukan Liga Super, termasuk Lions XII dari republik Singapura...

No comments:

Post a Comment