Saturday, October 20, 2012

KEMUDAHAN SURAU DI PASAR RAYA (TIME CONSUMING AT SHOPPING COMPLEX)

Kunjungan ke sesebuah gedung perniagaan besar seperti pasar raya sudah pasti memakan masa yang cukup panjang. Terdapat bahagian pasar raya dan aneka toko pelbagai jabatan, restoran makanan segera, bank, medan selera dan gerai penjaja di bawah satu bumbung berhawa dingin. Kalau mahu diikutkan hati, sehari suntuk pun tidak akan mencukupi, melainkan dari rumah lagi telah menetapkan barang yang hendak dibeli.

Terang atau gelap, hujan atau panas dan sebagainya di luar kompleks beli belah tidak disedari. Maklumlah di dalam pasar raya keadaannya tetap sama, iaitu terang benderang, kecuali berlaku gangguan bekalan elektrik. Maka, pengunjung perlu rajin menjeling jam tangan atau telefon bimbit masing-masing supaya sedar diri dan tidak leka sehingga terlepas sebarang kewajipan.

Bagi pengunjung beragama Islam, waktu solat tidak boleh diabaikan dalam apa-apa juga keadaan, apatah lagi jika berada dalam suasanan yang begitu nyaman dan selesa di pasar raya. Maka, sejajar dengan peraturan di sebuah negara yang mengangkat Islam sebagai agama persekutuan, pihak pemilik gedung perniagaan dikehendaki menyediakan kemudahan tempat solat, iaitu surau. Di samping untuk memenuhi keperluan pegawai dan kakitangan Islam, kemudahan surau dapat dimanfaatkan oleh para pengunjung supaya tidak menjadi insan yang lalai.

Sesetengah gedung perniagaan hanya menyediakan surau ala kadar, sepertimana pasar raya komputer dan gajet telekomunikasi terkemuka, Plaza Low Yatt di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Namun, kompleks Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman menyediakan ruang surau yang cukup luas di aras bumi meletak kereta. Nampaknya kepekaan pihak pengurusan gedung perniagaan terhadap kemudahan surau bergantung kepada permintaan, ketegasan dan tekanan pihak-pihak yang berkepentingan, khususnya pihak berkuasa agama dan pertubuhan pengguna Islam.

Kompleks membeli belah mega Aeon Ipoh di Stesen 18, Pasir Puteh yang dibeli daripada pemaju hartanah di situ, iaitu Keris Properties turut menyediakan kemudahan surau yang boleh tahan juga. Walaupun saiz ruang surau yang agak kecil jika dinisbahkan dengan kompleks yang tersergam itu, sekurang-kurangnya pekerja dan pengunjung masih memiliki kesempatan untuk menunaikan kewajipan solat. Masalah hanya mungkin berlaku pada waktu puncak dalam waktu solat yang singkat, iaitu Maghrib.

Kemasan lantai yang baik, ruang wuduk yang selesa, hembusan udara pendingin hawa dianggap satu bonus untuk keselesaan pengunjung menunaikan solat. Alangkah baiknya jika azan boleh dikemundangkan sebaik sahaja masuk waktu solat dan segala bunyian muzik yang lain memberi laluan. Paling tidak pengumuman dibuat supaya pengunjung Islam diberi peringatan tentang kewajipan mereka.

Khabarnya pihak Aeon telah membeli sebidang tanah di Jalan Kuala Kangsar bagi membina sebuah lagi gedung perniagaan mega mereka di sana sebagai ganti premis sewaan Jaya Jusco di Kinta City dekat Taman Ipoh Selatan. Sekali lagi pihak Aeon mempunyai kerjasama strategik dengan pihak Keris Properties yang memajukan projek perumahan bercampur di sana. Diharap pihak berkuasa tempatan yang meluluskan reka bentuk kompleks mega berkenaan akan memberi perhatian terhadap kemudahan surau yang lebih luas dan selesa.

Kemunculan kompleks pasar raya mega satu demi satu di bandar raya Ipoh menyaksikan tapak pasar malam semakin lengang. Penjual ikan merungut kerana tidak berupaya menandingi harga yang ditawarkan oleh pasar raya mega dan kelihatan banyak masa lapang untuk berbual sesama sendiri. Tambahan pula, pasar malam langsung tidak menyediakan kemudahan untuk peniaga dan pengunjung menunaikan solat Maghrib yang singkat itu...   

No comments:

Post a Comment