Sunday, November 18, 2012

ANAK CUTI SEKOLAH, IBU BAPA PENING (THE BUSINESS OF CAMPING)

Sepatutnya apabila tiba musim cuti panjang, seluruh keluarga bergembira justeru dapat berkumpul bersama. Suasana di rumah menjadi meriah dan ramai. Kemesraan dalam sesebuah institusi rumah tangga bertambah mantap.

Sehari dua begitulah keadaannya. Ibu bapa masih mampu melayan anak dengan pelbagai aktiviti di rumah dan di luar rumah. Bagi keluarga yang berkemampuan, mereka boleh terbang ke destinasi pelancongan idaman.

Belum pun habis minggu pertama cuti, suasana ceria dan gamat di dalam rumah mula kehilangan momentum. Ibu bapa sudah kering idea untuk menyediakan aktiviti anak-anak selanjutnya. Si anak juga mula berasa puas (bosan) kerana asyik melekat di rumah.

Apabila ibu bapa buntu, si anak pun mula melayan permainan video atau komputer berjam-jam lamanya. Si ibu mulai pening, manakala si bapa menggeleng kepala. Si anak mahu berehat daripada alam buku dan kerja sekolah.

Ibu bapa yang sibuk, tetapi memiliki wang lebihan (bukan 'berwang') sudah menempah pelbagai pakej kem seperti tahfiz, jati diri, bina semangat dan macam-macam jenama yang dianjurkan oleh para saudagar motivasi, sama ada penganjur bertauliah atau sekadar auta. Ibu bapa demikian berlepas tangan, dan si anak tidak jadi rapat juga dengan mereka.

Sekarang giliran si anak bercuti, manakala ibu bapa sibuk dengan pelbagai urusan. Kelak suatu masa jika panjang umur murah rezeki, kedudukan akan menjadi terbalik. Ibu bapa sudah bersara dan lanjut usia, manakala anak pula yang sibuk dengan urusan masing-masing!

Mungkin ibu bapa sanggup berulang alik ke surau dan masjid, atau dihantar oleh anak ke program motivasi warga emas. Giliran ibu bapa pula mengalami detik-detik yang panjang jika hari yang berlalu tidak diisi dengan perkara yang bermanfaat sepertimana selayaknya. Walaupun tidak bermaksud balas dendam, tetapi ibu bapa bakal menerima 'balasan' atas perbuatan mereka dahulu.

Pengisian masa cuti anak memerlukan perancangan ibu bapa tanpa mengharapkan program swasta semata-mata. Barangkali satu kajian impak cuti boleh dilakukan oleh sarjana pengajian keluarga. Anak-anak muda generasi Y yang berlainan pengalaman dan persekitaran sepatutnya beroleh kesempatan menikmati cuti di rumah dalam suasana mahabbah dan mawaddata'w-wa rahmah...

No comments:

Post a Comment