Sunday, November 25, 2012

HARIMAU MALAYA BELUM KEBAH HADAPI CABARAN AFF 2013 (EXCUSES AND SCENARIO, MALAYSIA 0, SINGAPORE 3)

Keputusan beberapa siri perlawanan persahabatan dengan Hong Kong, Thailand dan Bangladesh menimbulkan resah dalam kalangan peminat dan pemimpin sukan bola sepak negara. Jurulatih, Datuk K. Rajagobal berhadapan dengan ujian besar untuk membuktikan bahawa skuad negara hanya akan mencapai puncak prestasi pada kejohanan Piala Suzuki AFF sebenar yang bermula malam ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Apakah Harimau Muda mampu menjinakkan Singapura, sebuah pasukan yang sentiasa menjadi duri dalam daging, di samping hakikat bahawa mereka membariskan beberapa orang awang import yang diberi taraf kerakyatan segera, berdasarkan peraturan badan induk bola sepak dunia, iaitu Fifa?

Jawapannya sudah diperoleh, iaitu Malaysia berjaya menghadiahkan kemenangan selesa buat skuad seberang Tambak Johor, Singapura 0-3. Kini, Harimau Malaya berhadapan dengan tugas getir untuk menumpaskan skuad Sang Garuda (Indonesia) dan Laos dlam pertemuan seterusnya. Untuk rekod, kedua-dua pasukan berkenaan telah mencatat keputusan seri 2-2 dengan Laos dua kali mendahului, serta kedua pasukan beraksi dengan 10 pemain mulai minit ke-33.

Ketumpulan jentera tengah dan kurang sokongan kepada barisan pertahanan telah disebut sebagai punca pasukan Singapura bermaharajalela. Kapten Singapura, Shahril Ishak menghukum kerapuhan taktikal benteng terakhir negara menerusi dua jaringan gol berturut-turut dalam minit ke-31 dan 37. Sehingga tamat separuh masa pertama, kedudukan kekal dengan Singapura di hadapan 2-0.

Sesekali penyerang berbisa negara, Safee Sali dan Mat Yo (Nor Khairul Idlan Talaha) berjaya lolos ke petak penalti lawan, tetapi mereka kurang mendapat sokongan rakan yang lain. Dalam babak kedua, Harimau Malaya membawa masuk Mahali Jasuli dan Wan Zack Haikal bagi mengisi posisi Kharul Muhaymin dan Azmi Muslim yang kurang berkesan. Malaysia melancarkan serangan bertali arus, tetapi masih buntu untuk membolosi gawang Singapaura.

Pakar tendangan percuma, Safiq Rahim yang juga kapten skuad Harimau Malaya memperoleh tidak kurang enam peluang sepakan percuma bola mati, tetapi semua sekali tersasar. Pintu gol Liverpool berjaya digegar, tetapi kali ini Safiq tidak berjaya. Peminat bola sepak yang meletakkan harapan menggunung juga kempunan.

Ketika permainan berbaki 20 minit, Shahril Ishak, 28, digantikan oleh Alaksender Duric, 42, pemain kelahiran Serbia yang masih prolifik sebagai pencetak gol Singapura. Duric membuktikan bahawa percaturan jurulatih, Radojko Avramovic, juga dari Serbia, berbaloi apabila dia berjaya memperdayakan Apek (Khairul Fahmi Che Mat) yang berseorangan selepas benteng pertahanan tewas belaka untuk gol ketiga Singapura pada minit ke-74.

Usaha Harimau Muda untuk mendapat gol sagu hati juga berakhir dengan kekecewaan. Rembatan kencang Mat Yo pada minit terakhir perlawanan berjaya melepasi jangkauan Izwan, tetapi terkena tiang sebelah kiri sebelum dapat didakap kemas oleh penjaga gawang Singapura itu. Sejurus selepas itu, wisel penamat dibunyikan bagi memanjangkan episod duka skuad Harimau Malaya dan Rajagobal.
sumber gambar: nst online

Tekanan untuk skuad Harimau Muda selaku juara bertahan Piala Suzuki AFF, kejohanan rasmi bola sepak Asia Tenggara, bertambah tinggi. Alasan dan analisis jurulatih sudah bersifat klise dan tidak bernilai lagi. Hanya kemenangan dalam dua pertemuan dengan Indonesia dan Laos sahaja yang mampu menjadi penawar.

Mutu permainan Harimau Malaya mungkin tidak jatuh, tetapi mutu permainan lawan serantau yang meningkat secara mendadak. Sesuatu tindakan yang radikal perlu dilakukan jika Harimau Malaya mahu kembali digeruni bukan sahaja di peringkat Asia Tenggara, bahkan mampu memberi saingan di peringkat benua Asia. Malaysia pernah memenangi pingat gangsa di Sukan Asia di Tehran 1974 ketika peledak berbisa legenda, Syed Ahmad, bergandingan dengan Allahyarham Mokhtar Dahari.

Amalan mengambil tanggungjawab sepertimana dalam liga bola sepak yang maju seperti EPL patut dicontohi. Chelsea misalnya memecat Roberto de Meteo apabila skuad kendalian beliau mula bermasalah walaupun sebelumnya beliau wira pasukan apabila berjaya membawa pulang Piala Juara-juara Eropah buat julung-julung kali ke Stamford Bridge. Mereka tidak terikat kepada nostalgia, tetapi sentiasa dahagakan kejayaan sepanjang masa.

Kedudukan Roberto Mancini di Etihad bersama Manchester City juga tergugat apabila pasukan berkenaan hanya gah di peringkat liga domestik, tetapi kecundang di pentas Eropah. Tony Fernandez, pemilik Air Asia yang menguasai Queens Park Rangers juga bertindak memecat Mark Hughes untuk digantikan dengan Henry Redknapp setelah QPR berada dalam zon penyingkiran Liga Perdana setelah mengharungi 12 perlawanan. Adakah perkara yang seumpamanya berani dilakukan dalam kancah bola sepak tempatan kita?

No comments:

Post a Comment