Sunday, November 25, 2012

KAHWIN MUDA DAN KESUBURAN REPRODUKSI (ISOLATED CASES OF FAMILY INSTITUTION)

Pada zaman nenek moyang kita dahulu, perkahwinan dalam usia awal remaja, iaitu antara 12 hingga 19 tahun adalah perkara lumrah sahaja dan tidak pernah menjadi isu. Kini, keadaan sudah terbalik apabila lebih banyak pasangan pasangan berkahwin pada usia lewat 30-an. Ahli ekonomi berpendapat bahawa tempoh pendidikan yang panjang telah melewatkan usia perkahwinan seseorang.

Natijah yang jelas dari segi kadar kelahiran (fertility) sangat jelas, iaitu kebarangkalian memperoleh bilangan anak yang banyak mempunyai hubung kait (korelasi) positif dengan usia pasangan yang mendirikan rumah tangga. Kebanyakan ibu bapa moden hanya memiliki purata antara dua hingga tiga orang anak sahaja, sedangkan ibu bapa dahulu kala mampu memiliki zuriat lebih sedozen walaupun banyak juga yang meninggal dunia akibat penyakit biasa seperti demam panas dan kuning kerana kurang kemudahan rawatan. Malah, banyak penyelidikan mendapati bahawa lebih 30 peratus pasangan yang mendirikan rumah tangga tidak berjaya memperoleh cahaya mata penyeri rumah tangga setelah bertahun-tahun hidup bersama.

Kebanyakan negara dijangka berstatus negara tua (baca: banyak warga tua) apabila kadar kematian (mortality) secara relatif menjadi lebih rendah daripada kadar kelahiran. Ironinya, ibu bapa berpendidikan tinggi hanya memiliki seorang dua anak, sedangkan ibu bapa dengan latar belakang sosioekonomi sederhana dan rendah memiliki jumlah anak yang ramai. Negara bakal bermasalah jika perancangan pendidikan dan guna tenaga tidak sejajar dengan perkembangan yang berlaku.

Isu buang bayi hasil perhubungan terlarang remaja juvana (bawah 18 tahun) mungkin dapat diatasi jika usia perkahwinan muda dibenarkan kembali. Masalah yang timbul ialah apabila pasangan yang terbabit terdiri daripada remaja yang masih di bangku sekolah. Kes zina sedemikian memerlukan jalan penyelesaian bersifat jangka panjang.

Pergaulan bebas lepas dalam kalangan remaja banyak dipengaruhi oleh adegan drama dan filem, bahan bacaan bercetak, bahkan novel yang ditulis oleh pengarang tersohor.  Walaupun bertujuan pendidikan, gambaran terperinci tentang pergaulan bebas remaja nyata menyumbang terhadap gejala maksiat yang berlaku. Panel penilai novel komponen sastera (komsas) harus mengambil kira hakikat ini supaya pengaruh hedonisme dan hawa nafsu tidak berleluasa dalam kalangan generasi muda kita.

Sikap ibu bapa yang tidak kisah terhadap kegiatan anak di luar rumah mengakibatkan remaja yang masih mentah bertindak mengikut perasaan. Kawalan yang longgar terhadap penggunaan komunikasi maya jalur lebar dan aplikasi telefon bimbit juga menyumbang terhadap fenomena pergaulan bebas yang sudah semacam tidak berkaitan dengan dosa dan pahala lagi. Hujah sebegini mungkin dilabel sebagai ekstrem atau keterlaluan, tetapi kita tidak boleh terjebak dengan gaya hidup masyarakat Barat yang tidak terikat dengan nilai-nilai agama dan budaya yang luhur.

sumber gambar: nst online

Petikan Kosmo Online:
Boleh kahwin muda jika bersedia

Perkahwinan pada usia terlalu muda tidak menjadi masalah sekiranya sesebuah pasangan itu sudah bersiap sedia daripada segi fizikal dan mental untuk menempuh alam perkahwinan. Perunding motivasi, Datuk Zawawi Yusof berkata, Islam menghalalkan perkahwinan asalkan ia memenuhi syarat walaupun pada usia yang muda. “Jika pasangan pengantin sudah cukup umur untuk berkahwin dan faham mengenai tanggungjawab yang mereka perlu galas, maka ia dibenarkan.
“Kita juga perlu memahami keadaan sekarang sudah berubah dengan remaja zaman ini lebih cepat matang selepas mendapat banyak pendedahan yang membantu mereka berfikir,” katanya ketika dihubungi semalam. Zawawi diminta mengulas langkah satu pasangan muda, Nur Fazira Saad, 12, dan Mohd. Fahmi Mohd. Alias, 18, dari Kulim, Kedah bernikah pada 17 November lalu dan mengadakan kenduri perkahwinannya mereka kelmarin.
Bagi seorang lagi pakar motivasi, Prof. Madya Md. Izzudin Ali, perkahwinan pada usia muda mungkin jalan penyelesaian terakhir dan terbaik untuk mencegah remaja daripada terjerumus dengan masalah sosial seperti seks bebas dan bersekedudukan. “Sekiranya tidak ada jalan lain yang mampu dilakukan, maka tidak ada masalah untuk berkahwin pada usia muda,” katanya.
...

...

...
sumber gambar: the star online
...

...

...

No comments:

Post a Comment