Tajuk ini sebenarnya terlalu luas untuk dibahaskan, bahkan mungkin bersifat retorik sahaja. Sementara kita menunggu dapatan penyelidikan skala besar, kita layan dahulu lontaran perbincangan secara santai dan bersahaja. Kalau media tradisional seperti akhbar, radio dan televisyen dianggap sebagai kuasa keempat (the fourth estate) oleh para sarjana komunikasi, maka dampak media baharu yang berciri masa sebenar sudah pasti memiliki kekuatan dan momentum yang tersendiri.
Kesempatan meluahkan perasaan dan mengungkapkan segala bentuk buah fikiran kini bukan monopoli kaum wartawan semata-mata. Laman sesawang dan laman sosial maya kini mendapat perhatian yang lebih kuat daripada media tradisional, khususnya dalam kalangan generasi muda yang tidak betah berenggang dengan gajet mudah alih dan capaian jalur lebar di mana-mana sahaja. Mereka tidak lagi terikat dengan mainan propaganda dan putar oleh wartawan profesional sepenuh masa.
Media tradisional tidak mampu melawan arus capaian maklumat secara digital, lalu muncul dalam edisi atas talian. Sebagaimana edisi cetakan, akhbar digital masih beroleh pendapatan menerusi paparan iklan yang diselitkan bersama. Walaupun berhadapan dengan risiko kemerosotan jualan edisi cetak, pemilik media tradisional tiada pilihan lain untuk kekal relevan dan berpengaruh, bak kata pepatah Inggeris, if you can't beat them, joint them (jika anda tidak mampu mengalahkan mereka, maka sertailah mereka).
Memang benar bahawa akhbar edisi atas talian jauh mengatasi pengunjung laman sesawang atau weblog persendirian, tetapi hakikatnya ialah penerimaan generasi muda terhadap maklumat yang dipaparkan. Satu bancian atau perangkaan tentang paparan maklumat yang paling banyak dibaca dan maklum balas barangkali boleh memberi petunjuk yang lebih tepat. Sebagai generasi kbkk, pembaca muda tidak menelan bulat-bulat segala maklumat, khususnya yang tidak autentik atau bertaraf dakwaan semata-mata.
Maklumat yang diperoleh menerusi akhbar digital dipetik dan dibincangkan menerusi akaun facebook, twitter atau instagram masing-masing. Pendirian generasi muda lebih terserlah di sana. Pepatah Peranchis: jangan percaya langsung apa-apa yang kamu dengar; percaya separuh sahaja daripa apa-apa yang kamu lihat, boleh menjelaskan perkara berkenaan.
Media baharu turut mendebarkan jantung ahli-ahli politik yang bergantung kepada bacaan meter pengaruh dalam kalangan pengundi yang semakin sukar dijangka. Dunia politik penuh dengan drama, lakonan dan sandiwara tahap tertinggi. Kemunculan media baharu telah menambah rencam sepak terajang perebutan pengaruh dan undi yang tulen.
Generasi muda mungkin belum matang sepenuhnya dari segi pengalaman dan usia biologi, tetapi akses maklumat yang dibimbing oleh latar belakang pendidikan telah mengubah cara berfikir dan bertindak mereka. Generasi muda bersifat lebih radikal terhadap perubahan persekitaran dan tidak terlalu terikat dengan sejarah atau nostalgia yang diadun pula dengan emosi. Sebagai generasi pascamerdeka dan pasca-imperialisme ketenteraan, mereka hanya terdedah dengan pengalaman serba baharu.
Jurang generasi akan terus berlaku apabila berlalunya arus masa. Media baharu dijangka akan kekal di hadapan dengan kekuatan pengaruh yang berlipat kali ganda. Namun, akses maklumat media baharu masih tetap wajib dibimbing oleh ilmu pengetahuan yang sah...
No comments:
Post a Comment