Walaupun komunikasi atas talian seperti facebook, instagram, twitter dan weblog mampu merakamkan dokumen, imej,dan maklumat secara masa sebenar atau kumpulan arkib, serta mampu diakses di segenap penjuru alam, media cetak masih belum pupus sepenuhnya. Kelebihan utama media cetak ialah dari segi tanggungjawab penulisan yang lebih autentik dan jelas justeru hanya mampu diterbitkan dengan kos yang agak tinggi. Media cetak memerlukan kelulusan pihak berkuasa dan tertakluk kepada garis panduan dan kuat kuasa peruntukan undang-undang.
Majalah sekolah merupakan suatu projek yang agak besar bagi sesebuah sekolah kerana melibatkan kutipan yuran khas, misalnya antara RM10 hingga RM20, bergantung kepada kebenaran jabatan pelajaran negeri. Selain kos percetakan yang dibiayai menerusi kutipan yuran murid dan mungkin sedikit sumber iklan, penerbitan majalah sekolah memerlukan 'kepakaran' dan kesanggupan sekumpulan guru untuk membimbing murid yang terpilih sebagi anggota sidang redaksi. Dengan pelbagai tugas yang menanti, guru majalah tidak boleh membiarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa mencatatkan sebarang kemajuan dari segi perancangan dan pentadbiran bahan dan reka bentuk majalah.
Seterusnya penerbitan majalah sekolah membabitkan proses kerjasama skala besar seluruh warga sekolah. Memang benar bahawa bentuk 'paksaan' boleh dibuat atas nama pengetua, tetapi pilihan yang bersifat lunak akan lebih disenangi bagi menjaga suasana harmoni di sekolah. Sebagai contoh, sesi penggambaran memerlukan ketepatan masa dan disiplin supaya tidak menjejaskan aktiviti pembelajaran atau masa di luar sesi bilik darjah.
Demikian juga petugas fotografi perlu dijadualkan supaya tidak terlepas acara-acara penting sekolah, termasuk perhimpunan mingguan yang menyelitkan upacara penyampaian hadiah khas atau pelancaran program tertentu. Guru majalah yang menjaga hal ehwal fotografi juga mesti menyimpan suatu sistem rekod tentang semua gambar yang diambil. Proses pemindahan gambar digital daripada kad memori kepada cakera padat atau pemacu komputer juga mesti dilakukan secara teratur.
Sejajar dengan status dokumen rasmi, segala maklumat yang hendak dimuatkan dalam majalah sekolah mestilah benar dan sah. Nama-nama individu mesti dieja dengan betul, serta mematuhi protokol. Majalah sekolah akan dianggap sebagai catatan sejarah yang bernilai tinggi pada masa hadapan.
Risiko kehilangan bahan akibat kerosakan peranti elektronik yang digunakan boleh diatasi menerusi sistem e-mel yang khusus. Jawatankuasa majalah mesti mengaktifkan sekurang-kurangnya dua alamat e-mel untuk tujuan hantar dan terima. Semua anggota panel guru dan sidang redaksi dibenarkan mengetahui kata laluan e-mel supaya akses kemajuan penerbitan majalah dapat dilakukan di mana-mana.
Setiausaha majalah hendaklah menyediakan satu senarai semak bagi mencatat e-mel yang diterima untuk suntingan dan seterusnya dikumpul dalam satu folder berdasarkan seksyen tertentu sebelum dihantar pula kepada pencetak yang dilantik oleh pihak sekolah. Tindakan susulan mudah dilakukan berdasarkan rekod senarai semak berkenaan. Kemajuan kerja juga lebih mudah untuk dilaporkan semasa mesyuarat jawatankuasa induk majalah sekolah.
Sistem e-mel yang diaktifkan untuk majalah sekolah bakal mengurangkan penggunaan kertas dan fail yang tebal untuk dipamerkan di sudut tertentu bagi memuaskan hati orang yang tertentu pula. Tambahan pula, pihak pencetak mampu menjimatkan masa dengan hanya memindahkan mesej teks e-mel (attachment) untuk proses type-setting. Ralat ejaan dan maklumat juga dapat diminimumkan justeru bahan yang dihantar menerusi e-mel telah disemak dengan teliti di peringkat panel panasihat dan sidang redaksi majalah sekolah...
No comments:
Post a Comment