Prinsip pendemokrasian pendidikan menegaskan bahawa pendidikan bermutu untuk semua murid menjadi tanggungjawab institusi persekolahan. Akses kepada pendidikan bermutu merupakan suatu jaminan atau insurans kepada kesejahteraan, keselamatan, kemajuan, kemakmuran dan ketenteraman sesebuah masyarakat. Pengalaman pembelajaran yang dinikmati sama ada menerusi kurikulum rasmi ataupun kurikulum tersembunyi pada hakikatnya ialah suatu proses sosialisasi yang sangat kritikal.
Sudah ditetapkan sejak azali bahawa insan diciptakan dengan kepelbagaian bakat, kecenderungan dan potensi untuk dikembangkan secara optimum. Terdapat banyak persamaan umum dari segi tingkah laku perseorangan dan kumpulan, tetapi terdapat banyak pula perbezaan unik antara setiap seorang insan atau kelompok berdasarkan latar belakang keupayaan jasmani, emosi, rohani, akliah dan sosioekonomi. Maka, para guru telah menerima sejumlah pendedahan ilmu bantu pendidikan supaya kelak bersedia menerima semua anak didik di bilik darjah seadanya, tanpa syarat dan tanpa pilih kasih.
Pengkhususan dalam pendidikan khas juga telah mendapat perhatian bagi menolong murid-murid yang unik sama ada bermasalah pembelajaran ataupun terlalu aktif dan pintar cerdas. Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling sepenuh masa juga diaktifkan sebagai proses campur tangan bagi menolong murid meneroka ciri-ciri positif yang bakal menyumbang terhadap pembelajaran yang berkesan. Sekurang-kurangnya semua murid diharapkan supaya memberi kerjasama dan penglibatan optimum di bilik darjah.
Penempatan murid dalam sesuatu bilik darjah bergantung kepada kriteria dan strategi kecemerlangan sesebuah sekolah. Biasanya, murid dikelompokkan menurut rekod pencapaian kurikulum masing-masing. Tujuannya ialah bagi memudahkan reka bentuk kegiatan bilik darjah supaya gaya pembelajaran murid sejajar dengan gaya pengajaran guru.
Teori kecerdasan pelbagai, pembelajaran aktif dan akses kendiri merupakan bebErapa contoh pedagogi terkini yang disarankan. Program pengukuhan bagi murid berpotensi cemerlang dan program pemulihan bagi murid bermasalah pembelajaran sudah menjadi lumrah di semua sekolah. Pemisahan yang berlaku bukan kerana pilih kasih atau diskriminasi, tetapi lebih menjurus kepada keakuran pendemokrasian pendidikan itu sendiri.
Guru-guru yang memiliki jadual waktu kelas-kelas 'hujung', iaitu kelompok yang agak belakang dari segi pencapaian kurikulum dan minat pembelajaran perlu merancang reka bentuk aktiviti bilik darjah yang berbeza dengan kelas berpencapaian tinggi dan sederhana. Jenis murid yang enggan belajar seperti itu kadang-kadang lengkap pula dengan tingkah laku lencongan yang dibawa dari rumah atau pengaruh luar. Guru akan menghadapi cabaran dan ujian yang getir untuk menjual pakej pembelajaran yang telah direka bentuk dengan susah payah 'di atas kertas'.
...
...
...
...
No comments:
Post a Comment