Wednesday, December 26, 2012

PENDAKWAH GLAMOR DAMPINGI SELEBRITI (THE NEW METHOD OF SPREADING MESSAGES)

Kemunculan saluran televisyen berunsur dakwah seperti Astro Oasis, al-Hijrah dan Ikim on-line telah membuka ruang yang lebih luas luas untuk cendekiawan Islam dan pendakwah untuk mendampingi masyarakat secara elektronik dan intraktif. Slot program keagamaan menerusi saluran RTM dan TV9 kini mempunyai sahabat dan juga saingan yang baharu. Nama-nama seperti Don Daniyal, Hassan Mahmud dan ramai lagi sudah setara dengan Dr. Zahazan dan pasangan Dr. Aqasyah dan Bahyah (Semanis Kurma).

Setelah mengecapi status baharu sebagai insan popular, para ustaz, tok alim dan pendakwah juga turut diundang bagi memeriahkan program di luar persekitaran dakwah arus perdana. Maksudnya, mereka hadir dalam program hiburan dan sukan, sama ada sebagai juri jemputan atau pakar motivasi. Ustaz Hasan Mahmud al-Hafiz sebagai contoh telah diundang sebagai tetamu saluran Astro Citra untuk rancangan komedi "Elak-elak" yang turut memaparkan babak pelakon wanita yang tidak menutup aurat dan berlaku pergaulan terbuka dengan pelawak lelaki yang bukan mahram.

Profesor Izi Haji Ali (Prof. Madya Izzuddin, UiTM Arau) pula diberi tugas sebagai penasihat motivasi bagi program realiti 'Vokal - Bukan Sekadar Rupa' yang bersiaran menerusi TV3. Kumpulan nasyid kontemporari seperti Hijjaz, Rabbani dan Raihan sering berkongsi pentas dengan kumpulan rock dan penyanyi pop dalam majlis anugerah bintang popular. Dr. Fadzillah Kamsah sering menjemput selebriti dalam program bual bicara beliau yang lebih menjurus kepada motivasi akhlak mulia.

Barangkali pendakwah glamor seperti yang tersenarai cuba mencontohi langkah Hassan al-Bana, pengasas Ikhwanul Muslimin di Mesir yang menyebarkan dakwah hingga ke kelab malam. Kesan segera yang dapat dilihat ialah berlaku penghijrahan banyak selebriti yang berpengaruh telah berhijrah daripada gaya ranggi kepada imej yang lebih beradab, sopan dan penampilan citra Islamik. Bakat mereka sebagai selebriti juga tidak disia-siakan kerana permintaan untuk dunia hiburan berteraskan nilai-nilai murni semakin meningkat.

Dakwah Wali Songo di Jawa menggunakan muzik gamelan bagi menembusi masyarakat yang telah sekian lama terbiasa dengan pengaruh agama Hindu dan hiburan. Pendakwah Wali Songo mendampingi masyarakat, tetapi dengan persediaan jati diri dan ilmu pengetahuan yang jitu. Mereka tidak pernah berganjak daripada sasaran untuk mempengaruhi, bukan sebaliknya.

Usaha dakwah yang berhadapan dengan golongan glamor dan terkenal mungkin menghendaki beberapa kompromi dari segi kaedah, namun bukan kompromi dari segi prinsip. Maksudnya, para pendakwah telah membuat kerja rumah tentang uslub'ud-da'wah dan fiqh'ud-da'wah terlebih dahulu sebelum masuk ke dalam persekitaran zon penolakan. Para pendakwah sentiasa sedar bahawa segala usaha mendekati sasaran dakwah menjurus kepada seruan kebenaran dengan cara yang paling bijaksana, tetapi akhirnya dikembalikan kepada Allah jua.

Apabila pendakwah berada dalam majlis glamor, mereka mesti istiqamah dengan misi dakwah, bukan untuk menikmati majlis berkenaan yang mungkin memesongkan tujuan kehadiran mereka, lalu syaitan menghembuskan bisikan jahat supaya mereka ikut menikmati keseronokan dalam majlis. Maka, kalau secara individu pendakwah mudah goyah, usaha sedemikian mesti dilakukan secara berpasukan atau jemaah. Sedikit kecuaian bakal menjerumuskan pendakwah dalam majlis lagha dan sia-sia.

Pendakwah bertaraf bintang televisyen juga sepatutnya bergabung dalam satu pertubuhan khas mereka sendiri supaya dapat membentuk kawalan tentang usaha dakwah di samping menyediakan ruang untuk saling menegur jika berlaku isu atau perkara yang boleh menjejaskan penghormatan masyarakat. Ada rungutan bahawa segelintir pendakwah selebriti televisyen yang terlalu yakin dengan hujah sendiri tanpa membuat penyelidikan yang rapi. Misalnya, perbincangan tentang amalan sunat selepas solat berjemaah diberi penekanan yang melebihi gesaan atau galakan supaya sekalian masyarakat berbondong-bondong menuju ke masjid terlebih dahulu.

Kesempatan mendampingi golongan penggiat hiburan mesti ditetapkan dalam konteks dakwah per se. Barangkali kurang manis jika dilihat ada pendakwah yang begitu teruja apabila duduk bersebelahan dengan pelakon dan penyanyi glamor seolah-olah pendakwah dilihat sebagai peminat. Walaupun pendakwah sentiasa tawaduk, tetapi biarlah sentiasa kelihatan bijak dan berwibawa.

Sesungguhnya usaha dakwah bukan bersifat eksklusif atau elitis, lalu tempatnya hanya di masjid, pentas forum perdana dan surau, atau semata-mata menerusi wacana ilmu yang begitu teratur. Pendakwah harus turun ke lapangan, iaitu di tengah-tengah masyarakat dan di segenap penjuru alam kerana hakikatnya setiap insan di muka bumi perlu kepada mesej keadilan, kebaikan dan kebenaran. Mudah-mudahan usaha pendakwah menerusi media skala besar bakal memberi harapan dan sinergi baharu kepada ummah, insya-Allah...

No comments:

Post a Comment