Wednesday, January 2, 2013

BADUT DAN PELAWAK DALAM ORGANISASI (INTRIGUE AND OPPORTUNIES CONFUSING THE BOSS)

Seseorang ketua yang kaya pengalaman serta tajam pengamatannya dengan mudah dapat membaca sekalian perwatakan pegawai dan kakitangan bawahan beliau. Ketua sedemikian memiliki tahap kebijaksanaan dan kepekaan yang sangat tinggi. Bak kata pepatah Melayu, beliau seperti penangkap ikan yang cekap, lalu sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betina.

Politik dalam sesebuah organisasi atau jemaah tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan politik pemerintahan yang dipenuhi oleh individu dan kumpulan yang menggunakan pelbagai cara untuk meraih pengaruh dan kuasa. Falsafah Machiavelli (dalam naskhah The Prince), iaitu matlamat menghalalkan cara, the ends justify the means, al-ghayah tubarrir'ul-wasilah tanpa segan silu digunakan semahu-mahunya. Bagi mereka, setiap kesempatan mesti disambar walaupun harganya ialah kekejaman, kezaliman dan penganiayaan tanpa belas kasihan.

Golongan badut dan pelawak tidak tahu malu itu sanggup merampas sesuatu projek yang hampir selesai walaupun harus menipu kononnya mereka sebagai orang yang bekerja keras sejak dari mula. Mereka akan mencipta kisah yang hodoh tentang orang yang hendak mereka jadikan mangsa supaya niat busuk mereka tercapai dengan cepat. Ketua organisasi yang malas untuk berfikir akan turut bersekongkol dan memberi restu terhadap perbuatan jijik berkenaan.

Segala sisi kekurangan, kesilapan dan ketinggalan sengaja dimanipulasikan, walhal perkara berkenaan masih dalam proses penambahbaikan. Mereka akan mula menunjuk pandai dengan pelbagai bentuk kritik dan 'kutukan' kepada ketua organisasi yang lemah tadi. Muslihat atau taktik sedemikian sudah basi, tetapi malangnya bahawa badut dan pelawak jenis tidak tahu malu memang licik dalam penyamaran mereka.

Lazimnya orang yang tidak gemar menonjol diri lebih suka bekerja secara senyap tanpa mengharapkan balasan yang bukan-bukan. Malang sekali lagi hakikat bahawa si jujur sering menjadi mangsa. Pengorbanan yang dilakukan tidak berharga sama sekali di mata ketua organisasi yang dikelilingi oleh kaki bodek dan para penyamar yang tidak peduli tentang keutuhan peribadi atau disebut sebagai integriti. 

Pengalaman yang sama telah dilalui oleh banyak individu dalam sesebuah organisasi apabila mereka terpinggir dan dianggap sebagai khadam sahaja. Si badut dan si pelawak itu memang pandai, iaitu pandai berpura-pura dan memijak kepala orang lain untuk naik ke puncak ketamakan mereka. Kebanyakan kes organisasi yang kecundang dan mengalami kejatuhan berpunca daripada angkara badut dan pelawak seperti mereka.

Si badut dan si pelawak hanya akan terkena apabila berhadapan dengan prospek mangsa yang berani dan tegas. Bak kata pepatah Melayu, bertemu buku dengan ruas. Rancangan kotor si pelawak dan badut akan ditempelak secara terbuka tanpa berselindung.

Kegiatan merampas kesempatan pada penghujung sesuatu tugasan mungkin sah dalam pertandingan sukan yang ditentukan dengan jumlah gol. Namun, dalam sesebuah organisasi, perbuatan khianat dan sabotaj seumpama itu menggugat keharmonian dan kepercayaan sesama pegawai dan kakitangan bawahan. Ketua organisasi akan menjadi bahan bualan dan gosip, dan hilang kewibawaan.

Pilihan yang terbentang ialah kepimpinan organisasi yang adil, bijak, cekap, cermat dan telus dalam pengamatan dan pertimbangan dalam proses mengenal pasti puak-puak oportunis yang tidak kisah jika nama baik organisasi tercalar. Jika ketua organisasi begitu naif, lalu menelan bulat-bulat dakwaan di badut dan si pelawak, maka beliau sebenarnya telah terjerumus dalam jerangkap samar golongan tamak. Hakikatnya sebahagian ketua organisasi tidak begitu mengambil pusing tentang kepentingan amalan nilai murni dalam kalangan subordinat asal sahaja pencapaian organisasi mengikut kehendak mereka.

Individu yang hendak dimangsakan juga mesti bersikap asertif, iaitu di samping menjaga air muka orang lain, mesti juga menjaga air muka sendiri. Perbuatan potong jalan seperti itu jelas suatu kerja haram yang sangat tidak beretika. Rahsia si badut dan si pelawak mesti dibongkar dan didedahkan segera dengan mengambil kira bahawa ketua organisasi menaruh empati...

No comments:

Post a Comment