Pagi tanggal 1 Januari 2013 bermula dengan kesibukan urusan keluarga. Hampir sehari suntuk penulis blog (PB) berada di sebuah sekolah berasrama penuh premier bertaraf sekolah berprestasi tinggi untuk urusan pendaftaran anak yang memasuki tingkatan tiga. Persediaan barang dan keperluan di asrama dilakukan beberapa hari sebelumnya.
Setiba di sana, PB sekeluarga berurusan dengan guru tingkatan 3R, kelas terbaik, untuk menyelesaikan bayaran yuran Suwa (majalah RM12), yuran makanan asrama (RM860) dan derma PIBG (RM440). Setelah itu, PB sekeluarga bergerak pula ke koperasi sekolah untuk membeli keperluan asrama dan persekolahan. Namun, buku tulis hanya dijual keesokan harinya.
Perkara lain yang diminta ialah surat aku janji bersekali dengan gambar ukuran pasport, pelepasan tanggungjawab sekolah (disclaimer) dan sampul surat beralamat sendiri dengan setem sebanyak 10 keping. Lembaran takwim berupa kalendar berwarna-warni dengan cetakan bermutu tinggi juga diedarkan pada harga RM5. Sesalinan paparan power point taklimat pengetua pula diedarkan kepada ibu bapa secara percuma.
Pada pukul 12.30 tengah hari ibu bapa bergegas ke asrama untuk membantu anak membersihkan kawasan kamar dan mengemas barang yang dibawa. Kesempatan itu digunakan sepenuhnya kerana sesudah pendaftran asrama, kawasan asrama menjadi kawasan larangan bagi ibu bapa dan pelawat luar. Katil dan locker telah siap ditandakan dengan nama penghuni.
Menurut ketua asrama rumah Black, para pengawas asrama telah datang ke sekolah sejak 27 Disember 2012 untuk membantu pihak sekolah menyambut penghuni asrama. Kali ini penghuni tingkatan 3 tidak lagi ditempatkan sekali dengan budak tingkatan 2. Pendaftaran untuk penghuni asrama tingkatan 1 akan berjalan serentak dengan pendaftaran kemasukan SBP pada 7 Januari kelak.
Seorang bapa yang suka berterus terang telah menegur warden asrama secara terbuka kerana banyak locker didapati telah dikopak dan tidak selamat. Beliau tidak mahu beban kecuaian pihak asrama dipindahkan kepada penghuni asrama dalam bentuk denda kewangan. Tindakan segera telah diambil apabila kelihatan para pekerja membawa beberapa set locker dan tilam yang baharu.
Ibu bapa dan adik-beradik turut membantu penghuni asrama bagi mengemas cadar dan tilam, serta bantal supaya akur dengan piawaian yang ditetapkan. Telefon bimbit ialah item larangan, tetapi penghuni asrama harus bijak dalam urusan yang berkenaan supaya tidak terkena tangkap dan rampas. Kesalahan berkenaan juga akan dikenakan markah demerit.
Ibu bapa juga sibuk keluar masuk kawasan sekolah bagi memastikan bahawa barang keperluan anak serba cukup, terutama bagi ibu bapa yang datang dari jauh. Simpanan wang tunai penghuni asrama disarankan setakat RM20 kerana di kawasan sekolah terdapat kemudahan mesin pengeluaran wang automatik Bank Simpanan Nasional dan CIMB. Budak lelaki memang memerlukan sejumlah wang tunai untuk membeli makanan di kafeteria kendalian seorang bekas pelajar, terutama selepas waktu makan malam.
Musim percutian untuk bermalas-malas dan melayan segala perisian permainan sudah berakhir. Kini, budak berasrama penuh kembali berhempas pulas untuk mencatat kecemerlangan akademik, kokurikulum, kepimpinan, perkhidmatan, kesukarelaan dan sahsiah. Turun naik pencapaian SBP dalam peperiksaan awam ialah perkara yang lumrah.
Usai urusan di asrama, ibu bapa pun bergerak pulang dengan perasaan lega. Harapan yang begitu tinggi disandarkan kepada anak di SBP bagi meneruskan kecemerlangan (legasi?) pencapaian mereka sendiri. Ibu bapa budak projek khas pula berharap bahawa anak mereka akan melakukan lonjakan dan mobiliti status sosioekonomi keluarga pada masa hadapan...
No comments:
Post a Comment