Friday, January 25, 2013

MENGHITUNG NIKMAT ILAHI (COUNTLESS DEBTS)

Nikmat bermaksud anugerah Allah atau kurnia (Kamus Dewan edisi IV, 2005: 1081). Nikmat juga membawa erti enak sekali, sedap sekali atau lazat (Ibid). Sementara itu, menikmati pula bermaksud mengecap, mengalami atau merasai sesuatu (Ibid).

Maksud surah an-Nahl, 16: ayat 18, "Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya..." Kehidupan dan nyawa ialah nikmat yang wajib disyukuri. Demikian juga dengan segala ciptaan langit dan bumi untuk kegunaan manusia seluruhnya.

Nikmat yang paling unggul dalam kehidupan insan ialah iman dan Islam. Hanya orang Islam dan beriman sahaja yang bakal beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia yang fana dan di akhirat yang kekal abadi. Tanpa iman dan Islam, segala amalan dan kesenangan yang dikecapi tidak lebih daripada fatamorgana belaka.

Atas sebab itu orang yang beriman hendaklah sentiasa bersyukur akan segala nikmat yang diperoleh saban waktu. Misalnya, apabila terjaga daripada tidur terus sahaja melafazkan sekurang-kurangnya Alhamdulillah kerana masih bernafas dan belum berada di alam kubur lagi. Pintu taubat masih terbuka luas dan kesempatan untuk melakukan kebaikan dan kebaktian juga masih ada.

Kejayaan untuk berdiri tegak dan bersuci diri juga wajib disyukuri. Sudah banyak kejadian orang yang terjaga daripada tidur sudah tidak mampu bangun lagi atau terpaksa bersusah payah menahan kesakitan akibat otot yang bermasalah dan urat saraf yang tidak mengizinkan untuk berbuat demikian. Penglihatan juga masih terang dan ingatan masih kuat, berbanding dengan orang lain yang bernasib malang dengan penglihatan yang kabur dan ingatan yang lemah.

Kesihatan jasmani dan emosi yang baik juga wajib disyukuri. Lambat-laun seseorang itu akan mengalami fasa kesihatan yang merosot akibat lanjut usia atau serangan penyakit. Kesempatan memanfaatkan masa sihat, masa muda dan hidup sebelum mati diriwayatkan dalam satu hadith yang masyhur (baca di sini).

Nikmat makanan dan minuman hanya menjadi milik insan yang sihat walafiat. Jika sudah terlantar di pembaringan atau wad hospital, makanan yang biasa ditelan bagaikan pasir yang begitu kasar. Tekak tidak mampu menerima air yang diteguk.

Nikmat memiliki kenderaan untuk bekerja dan mengadakan perjalanan juga wajib disyukuri. Insan mampu menundukkan binatang perkasa dan jentera untuk membawa mereka dengan lebih cepat dan selamat ke tempat yang dituju. Kemajuan teknologi dan pembaharuan dalam dunia automatif ialah suatu nikmat yang besar kepada peradaban dan tamadun.

Manusia tidak akan mampu menghitung segala nikmat yang dikecapi selama hayat dikandung badan. Perkara yang lebih penting ialah cara manusia menghargai dan mensyukuri nikmat kurniaan Ilahi. 

...

No comments:

Post a Comment