Wednesday, March 27, 2013

MOTIVASI BELAJAR: PANJANG AKAL DALAM PEMBELAJARAN (NEVER GIVE UP TO EXCEL)

Pelajar yang dikasihi,

Apakah yang membezakan antara pelajar yang berjaya dengan pelajar yang kecewa?  Mengapakah dengan sejumlah kesempatan dan sumber yang sama banyak, terdapat pelajar yang cemerlang dan terdapat juga pelajar yang kecundang? Benarkah kemenangan hanya milik pelajar yang gigih berusaha, manakala kekalahan menjadi milik pelajar yang mudah tenggelam punca?

Hakikatnya terlalu banyak soalan boleh dibangkitkan untuk mengenal pasti punca kemajuan seseorang pelajar, atau untuk menyelidiki punca ketinggalan kelompok pelajar yang lain. Pelbagai usaha campur tangan (intervensi) dan saranan dilontarkan sebagai pencerahan minda supaya pelajar mencungkil bakat terpendam dan menggilap potensi diri. Pada ketika orang lain sudah jauh di hadapan, adakah kita masih sibuk mencari alasan demi alasan?

Dalam surah ar-Ra'du ditegaskan betapa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka mengubah apa-apa yang ada dalam diri mereka, iaitu sikap mereka sendiri. Sikap yang betul ialah merebut segala peluang yang muncul supaya masa tidak berlalu dengan sia-sia. Dalam proses merebut peluang itu, seseorang insan yang budiman dan mulia tidak pernah menceroboh hak orang lain walaupun dia mampu berbuat demikian.

Sikap menentukan perspektif, pandangan hidup, wawasan, welstanschauung, tasawwur dan cara bertindak. Perubahan sikap ke arah pembaharuan (islah) dan penambahbaikan merupakan prasyarat menuju pencapaian terbaik. Namun, masih terdapat bahagian sikap yang wajib bersifat kekal seperti pegangan aqidah dan urusan yang bersangkutan dengan akhlaq dan syariat. 

Tumpuan wacana kali ini ialah tentang panjang akal dalam proses pembelajaran. Pelajar sudah nipis telinga dengan anjuran belajar gigih dan belajar dengan betul. Biarlah pelajar membiasakan diri dengan mendengar nasihat yang sama berulang-ulang, justeru dalam kehidupan kita seharian, kita banyak sekali melakukan perkara yang sama saban waktu. Malah, bijak pandai mengatakan bahawa pengulangan ialah anak kunci kejayaan.

Panjang akal bermaksud tidak mudak buntu, putus asa atau tenggelam punca. Sesungguhnya pembelajaran bukan semuanya bersifat indah dan mudah. Sebaliknya, pembelajaran ibarat meniti suatu perjalanan yang panjang dan penuh dengan cabaran.

Di sekolah, pelajar tidak pernah bersendirian dalam mengharungi pengalaman dan perjalanan pembelajaran yang tidak ubah seperti tercampak dalam sebuah tasik ilmu yang luas dan dalam. Sentiasa ada guru sebagai penolong dan sentiasa ada kelompok rujukan teladan dalam kalangan rakan sebaya yang ikhlas menghulurkan pertolongan.

Kesedaran bahawa proses pembelajaran membabitkan pertolongan banyak pihak, maka pelajar hendaklah bersikap rendah diri dan tidak berlagak sombong. Pelajar perlu meletak diri sebagai pihak yang bekeperluan (disanvatage) terhadap sumber pembelajaran yang bersifat diperlukan (advantage). Pelajar hendaknya menerima guru dan rakan sebaya sebagai penolong atau rakan kongsi kecemerlangan tanpa banyak syarat yang menyekat perubahan ke arah kebaikan.

...

...

No comments:

Post a Comment