Pencapaian sebahagian calon STPM modular dalam kertas Mikroekonomi baru-baru ini memang mendukacitakan. Seperti biasa, bilangan calon yang memperoleh gred A masih dalam lingkungan 10 peratus, tetapi yang mendapat gred F masih setinggi 30 peratus. Bilangan calon yang hanya lulus sebahagian (C-, D+ dan D) juga besar, tetapi sekurang-kurangnya masih berjaya mendapat nilai mata PNG bagi membantu pencapaian PNGK secara keseluruhan.
Perbincangan ini hanya memberi tumpuan kepada kumpulan besar gred F tadi. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa mereka berkongsi ciri pembelajaran yang sama, iaitu membuat keputusan yang sipi justeru dipengaruhi oleh hasutan negatif dari dalam sendiri dan rakan sealiran, maksudnya yang enggan bersusah payah sedikit. Dari awal penggal lagi sudah meluahkan kata-kata kononnya tidak mengapa, kerana nanti boleh diulang dalam penggal tiga.
Lalu, kumpulan berkenaan mengorbankan pembelajaran ekonomi untuk memberi tumpuan terhadap mata pelajaran yang dirasakan lebih mudah seperti Pengajian Am, Bahasa Melayu dan Sejarah. Akhirnya, semua pun tidak cemerlang, bahkan ekonomi terus gagal dengan parah. Guru sudah memberi nasihat, tetapi pengaruh ketua kumpulan sipi berkenaan ternyata lebih kuat.
Tidak salah untuk mencuba lagi bagi meningkatkan gred kertas ekonomi, tetapi secara tidak sedar mereka telah menambahkan beban pembelajaran untuk penggal tiga. Nasi sudah menjadi bubur, tiada apa-apa yang boleh ditangisi. Hanya ucapan selamat berjuang buat kumpulan gred F penggal satu mikroekonomi.
Maka, kesilapan yang sama jangan diulang lagi untuk kertas makroekonomi penggal dua ini. Kalau gaya pembelajaran masih sama, dan alasan juga masih sama, kalian hanya menempah jalan yang sukar. Kini, masa berbaki dua bulan sebelum peperiksaan STPM penggal dua tiba.
Seperti yang selalu ditegaskan bahawa disiplin dan pembelajaran ibarat irama dan lagu yang tidak mungkin dapat dipisahkan. Antara komponen disiplin atau adab belajar yang unggul ialah menghormati guru. Semasa kuliah, pelajar wajib memberi tumpuan secara tuntas, bukan banyak keluhan atau melayan perasaan sentimental yang tidak membawa kalian ke mana-mana pun.
Sebagai mata pelajaran separuh kuantitatif, pelajar ekonomi kena banyak dan rajin membuat latihan. Selain buku teks, pelajar hendaknya bermurah hati membeli naskhah kertas ekonomi spesimen (dalam lingkungan RM5 sahaja) dan kertas latihan topikal (RM8). Buat apa dengan baucar RM250 baru-baru ini?
Proses membuat latihan hendaklah disekalikan dengan ujian masa sebenar peperiksaan. Maksudnya, pelajar dapat mengenal pasti tempoh yang diperlukan untuk mencapai markah lulus (C) atau kepujian (C+, B-, B). Jika masih terkial-kial, ulangi proses yang sama berkali-kali lagi sehingga boleh.
Pencapaian cemerlang ibarat permata yang bernilai tinggi dan sukar pula untuk diperoleh. Terdapat ungkapan bahasa Inggeris, no pain no gain. Sudah tahu diri sendiri kurang cekap, maka peruntukan masa pembelajaran mesti lebih panjang daripada pelajar yang lebih cekap.
Kesimpulannya, perkara pertama yang perlu dilakukan untuk pembelajaran ekonomi ialah perubahan sikap, lalu diikuti dengan kaedah pembelajaran yang betul. Ekonomi ialah disiplin kajian yang bermain-main dengan sejumlah konsep, pemboleh ubah, pekali, prinsip, teori, hukum, model dan rumus. Dengan itu, gaya pembelajaran ekonomi harus berbeza dengan mata pelajaran kemanusiaan yang lain...
No comments:
Post a Comment