Wednesday, April 3, 2013

IKHLAS JAMINAN REZEKI HALAL (NO MATTER SMALL SCALE CONTRIBUTION)

Tahap pencapaian akademik dan akses maklumat membezakan pekerjaan antara individu. Namun, ada juga insan yang begitu cepat mendaki kedudukan yang selesa di alam pekerjaan atas faktor warisan keluarga atau hubungan dengan yang memiliki pengaruh. Pendek kata, rezeki yang dikurniakan Ilahi mempunyai sebab-musabab dan punca yang tertentu.

Cita-cita dan sasaran setiap insan juga berlainan. Segelintir insan memiliki bakat kepimpinan dan kemahiran insaniah sehingga mampu muncul sebagai majikan dan usahawan yang berjaya. Tidak pula kalangan yang tidak mahu memerah otak sebagai ketua organisasi, sebaliknya lebih selesa sebagai subordinat (pegawai atau kakitangan pertengahan dan bawahan).
Apa-apa pun pendirian seseorang tentang dunia pekerjaan, hakikatnya perkara yang paling mustahak ialah rezeki yang dibawa pulang itu datang daripada punca yang halal belaka. Konsep halal dalam pekerjaan jika dihalusi termasuklah melakukan pekerjaan dengan bersungguh-sungguh supaya setimpal dengan ganjaran, gaji dan upah yang diterima. Andai kata pekerjaan yang dilakukan berstatus halal, tetapi pekerja berlaku culas, malas dan sering curi tulang, maka wang yang diterima sebagai balasan pekerjaan sudah masuk kategori yang lain (diragui).

Setiap amal atau pekerjaan bergantung kepada niat seseorang. Jika seseorang pekerja yang sentiasa mementingkan rezeki yang halal, dia akan sentiasa ikhlas sambil memberikan sumbangan yang terbaik. Sumbangan kecil yang dilakukan dengan ikhlas dan berkekalan bakal menguntungkan organisasi dan jaminan pekerjaan masing-masing.

Gaji ciput dan cukup makan sahaja tidak semestinya membawa penderitaan kepada seseorang pekerja. Asalkan pekerjaan dilakukan secara ikhlas, insya-Allah rezeki yang diperoleh mendapat berkat. Sementara itu, segala kewajipan ditunaikan sama ada hak Allah atau hak manusia dan persekitaran. 

Kemajuan dalam pekerjaan hanya bakal menjadi kenyataan jika majikan berpendapat bahawa seseorang pekerja itu memberi sumbangan produktif dan signifikan terhadap organisasi. Pekerja berkenaan juga bijak menjaga imej organisasi dan juga air muka majikan yang juga insan biasa. Dia tahu membawa diri dalam keadaan tekanan dan tidak cepat melenting sehingga meninggikan suara kepada majikan.

...

...

No comments:

Post a Comment