Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Saudara saudari yang dikasihi,
Saudara saudari yang dikasihi,
Sudah menjadi lumrah dunia dan kehidupan bahawa sesuatu yang berharga hanya dapat dimiliki menerusi usaha yang tertentu, iaitu gabungan antara cara terbaik dengan kesungguhan tertinggi. Pepatah Melayu mengungkapkan bahawa 'yang buat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang' yang membawa maksud bahawa tiada perkara yang diperoleh secara mudah dengan hanya berpeluk tubuh. Kebijaksanaan silam juga terserlah dalam peribahasa "berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian".
Setiap manusia wajib berusaha untuk keluar daripada tawanan hawa nafsu dan kejahilan dengan cara cinta akan ilmu, tekun menuntut ilmu dan sentiasa sanggup berhadapan dengan cabaran dalam proses menuntut ilmu. Sesungguhnya, ilmu itu teramat berharga, serta hanya mampu dimiliki oleh jauhari yang mengenal manikam. Kemajuan peradaban manusia dan tamadun yang kita nikmati pada hari ini berpunca daripada proses pemindahan kebijaksanaan ilmu kepada bentuk amalan dan gunaan.
Pelajar yang dimuliakan,
Proses menuntut ilmu di institusi pendidikan sama ada di sekolah mahupun di kampus menempuh cabaran yang sama, iaitu pengorbanan,stategi dan tumpuan yang tidak berbelah bahagi. Bagi memperoleh keselesaan dalam jangka masa panjang, banyak perkara yang perlu dikorbankan dalam jangka pendek. Pelajar harus sanggup menjauhkan diri daripada aktiviti yang membuang masa dan tidak menyumbang terhadap proses pembelajaran.
Terdapat pelajar cemerlang mendakwa bahawa mereka juga seperti remaja lain yang tergila-gilakan gajet mudah alih terkini, melayan siaran realiti televisyen dan facebook. Marilah saya tegaskan di sini bahawa di dunia memang terdapat hal-hal yang luar biasa dan pengecualian. Segelintir insan memang bertuah justeru memiliki kelebihan yang tidak dinikmati oleh kebanyakan insan yang lain.
Marilah kita lupakan sementara kisah Aladin dengan lampu ajaibnya dan segala kisah khayalan dalam karya epik silam. Berpijaklah di bumi nyata sementara masih menggantungkan cita-cita di bintang nan tinggi. Apabila memandang bintang di langit, usah pula lupa rumput di bumi.
Pelajar yang dihormati,
Jika para sarjana membina tubuh ilmu menerusi penyelidikan dan wacana ilmiah, pelajar sekolah dan universiti pula memperoleh ilmu menerusi proses pembelajaran yang teratur. Pelajar perlu menjalani aktiviti bilik darjah dan kuliah, serta menyiapkan segala tugasan yang diarahkan oleh guru dan pensyarah. Kaedah tugasan bertujuan supaya kecekapan dan pencapaian pelajar dapat diukur atau ditaksir untuk reka bentuk aktiviti pembelajaran seterusnya.
Maka, pelajar hendaklah akur akan segala keperluan tugasan, sama ada dari segi kandungan mahupun tempoh akhir yang ditetapkan. Memang banyak alasan boleh dicari jika enggan menyiapkan sesuatu tugasan, sebagaimana banyaknya jalan yang boleh ditemui untuk menghasilkan tugasan yang bermutu tinggi. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan!
Hakikatnya ialah proses pembelajaran dengan tugasan ibarat saudara kembar yang sukar sekali dipisahkan. Jadi, lupakan sahaja angan-angan untuk bersenang-lenang dalam proses pembelajaran atau pengajian di sekolah dan universiti. Terimalah kenyataan bahawa untuk muncul sebagai pelajar yang cemerlang dan hebat, siapkan segala tugasan tanpa sebarang syarat.
Pelajar yang dirahmati sekalian,
Keluhan tidak menyelesaikan apa-apa masalah selagi jalan penyelesaian yang terbaik tidak dicari. Jumlah tugasan yang ditetapkan oleh guru dan pensyarah telah mengambil kira keperluan pengajian dan tempoh masa pengajian. Maka, pelajar perlu pandai membawa diri dan berikhtiar agar segala tugasan yang banyak itu dapat disiapkan tanpa bertangguh.
Ingatlah bahawa niat kita belajar ialah agar kita menjadi orang berilmu yang mengenali Yang Maha Pencipta, lalu beroleh redha-Nya. Pelajar menyiapkan tugasan bukan sekadar mahu mengambil hati guru atau pensyarah, sebaliknya demi kebaikan diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan umat dalam jangka panjang. Penyempurnaan tugasan yang terbaik ialah hadiah kepada semua pihak yang percaya dan berharap bahawa pelajar ialah amanah yang begitu berharga.
Tugasan terbaik bakal menghasilkan gred yang terbaik, manakala tugasan yang sambil lewa hanya menyusahkan diri pelajar dalam proses pembelajaran selanjutnya. Guru dan pensyarah sebagai penolong sudah pasti bersedia menghulurkan bantuan andai kata pelajar menunjukkan kesungguhan dan tumpuan. Sisi keikhlasan seseorang akan terpancar dengan sendirinya menerusi tingkah laku sebagai orang budiman.
Sekian sahaja buat kali ini. Mudah-mudahan perkongsian pengalaman ini akan membawa manfaat juga kepada kalian. Wabillahi taufiq walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
No comments:
Post a Comment