Saturday, May 4, 2013

PILIHAN RAYA UNTUK MELANTIK KERAJAAN (THE CRITERIA OF VOTING)

Petang tadi, penulis blog (PB) menziarahi seorang kenalan yang ditimpa musibah dan menerima rawatan di Hospital Batu Gajah. Nampaknya hasrat kenalan dan isterinya untuk mengundi dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) tidak kesampaian. PB mendoakan semoga kenalan itu cepat sembuh.

Dalam perjalanan pulang ke Ipoh, PB singgah sebentar di sebuah gerai buah-buahan. Sempat juga si penjual memberitahu bahawa dia belum membuat keputusan calon manakah yang bakal dipangkah pagi esok. Sama ada dia bercakap benar atau sekadar memancing provokasi, entahlah.

Hakikatnya pilihan raya ialah satu proses memilih dan melantik kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan. Parti politik yang memiliki majoriti, sama ada majoriti mudah atau majoriti dua per tiga, bakal membentuk kerajaan setelah memperoleh perkenan ketua negara (DYMM Yang Dipertuan Agong) dan ketua negeri (sultan atau yang dipertua). Sebilangan wakil rakyat (Adun dan ahli parlimen) akan dipilih sebagai anggota majlis mesyuarat negeri (exco) dan menteri.

Zaman sudah berubah dan kaedah mempengaruhi pengundi juga turut mengalami perubahan. Kira-kira 40 peratus pengundi generasi Y lebih terdedah kepada maklumat di hujung jari dan bijak membezakan retorik berkepentingan dengan kata-kata yang berpaksikan ilmu. Politik sudah mengalami anjakan paradigma daripada permainan persepsi kepada kekuatan maklumat. 

Capaian jalur lebar menerusi peranti mudah alih membolehkan para pengundi memperoleh maklumat masa sebenar daripada pelbagai sumber. Sebagai pengundi berpendidikan, kelompok berkenaan mampu membezakan antara maklumat autentik dengan spekulasi. Pada umumnya, mereka lebih tertarik dengan dasar dan manifesto parti politik yang bertanding.

Calon anak tempatan mungkin mempunyai kelebihan, tetapi bukan jaminan untuk beroleh kemenangan selesa. Hubungan kekeluargaan dengan calon juga bukan sebagai 'simpanan tetap' untuk membuat keputusan pengundian. Malah, contoh seperti Shahrir Samad (Tan Sri) dengan Khalid Samad, serta Sahlan Ismail (Datuk) dengan Saifudin Nasution Ismail ialah adik-beradik, tetapi bertanding di bawah parti yang saling bersaing.

Kebanyakan pengundi juga tidak begitu mengambil pusing tentang batang tubuh calon yang bertanding. Tumpuan mereka lebih terarah terhadap parti yang diwakili kerana pada akhirnya proses yang lebih penting ialah pelantikan anggota pentadbiran dan penggubal dasar tertinggi negara. Kepimpinan negara yang memiliki  keutuhan, bebas rasuah dan disenangi rakyat mendapat tempat yang istimewa dalam mempengaruhi keputusan pengundi.

Politik pembangunan masih laku justeru pengundi masih beranggapan bahawa wakil rakyat harus berkhidmat untuk menjaga hal ehwal kebajikan mereka. Hakikatnya wakil rakyat ialah anggota dewan undangan negeri dan parlimen yang mengambil bahagian dalam membahas dan meluluskan segala rang undang-undang, perbekalan dan enakmen. Sejumlah 222 orang ahli parlimen dan lebih 500 orang Adun memikul tanggungjawab lebih luas daripada isu longkang tersumbat atau jalan rosak yang boleh diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan.

Adun dan ahli parlimen sepatutnya memberi tumpuan terhadap penyelidikan tentang sesuatu isu perbahasan persidangan dewan atau sesuatu rang undang-undang. Wakil rakyat bukanlah seorang pegawai kebajikan atau pemimpin tempatan semata-mata, tetapi mereka ialah pemimpin peringkat negeri dan kebangsaan. Namun, peranan sebenar wakil rakyat di negara sedang membangun masih begitu kerana mentaliti sejumlah besar pengundi yang kekal di takuk lama. 

Kematangan politik demokrasi sukar dicapai dalam sekelip mata, terutama negara-negara yang baharu mengecapi kemerdekaan dalam tempoh 50 tahun. Profil demografi dan sejarah pembentukan masyarakat juga memberi kesan kritikal ke atas mekanisme politik yang menjunjung tinggi sikap terbuka dan tolak ansur. Rakyat sebagai tuan sebenar kerajaan yang ditubuhkan hendaklah dihormati dan ditawarkan kesejahteraan hidup duniawi dan ukhrawi hendaknya...

No comments:

Post a Comment