Cuti umum hari pekerja memberi kesempatan kepada warga kota mengunjungi tempat rekreasi untuk aktiviti santai bersama keluarga atau sahabat handai. Antara tempat yang menjadi tumpuan ialah padang awam seperti Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, atau lebih dikenali sebagai padang polo di Ipoh. Pelbagai telatah orang ramai yang dapat diperhatikan di sana.
Padang Polo di bawah jagaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu terletak bersebelahan dengan Sekolah Menengah Teknik Ipoh, Persiaran Brash, rumah pegawai tinggi kerajaan dan juga jirat Cina. Kawasan padang yang luas, trek joging, kemudahan permainan kanak-kanak, gelanggang sukan ekstrem dan tempat meletak kenderaan yang banyak sentiasa menggamit kedatangan pengunjung. Banyak acara keluarga anjuran organisasi kerajaan dan korporat dilangsungkan di sana.
Seperti biasa, penjaja dan peniaga jalanan cuba mengeksploitasi keadaan. Tempat letak kereta dijadikan tapak jualan makanan dan jualan aneka barang cenderamata. Penjual ais krim juga mengintai peluang untuk melariskan jualan masing-masing.
Nampaknya pondok tempat rehat pengunjung turut menjadi 'mangsa' peniaga jalanan. Mereka kian berani menjual pakaian sukan dan kasual. Kelihatan juga penjual ubi keledek dan sayur hidroponik cepat-cepat menyimpan barang jualan setelah ternampak kelibat penguat kuasa MBI.
Pengunjung dilarang membawa bersama binatang peliharaan sama ada anjing, arnab, kucing dan sebagainya yang berkemungkinan mendatangkan gangguan dan rasa tidak selesa kepada pengunjung yang lain. Namun, anjing tidak bertuan seperti gambar di atas berjaya menceroboh kawasan larangan padang polo. Kalau dilihat dari segi luaran, anjing itu agak jinak dan asalnya bukan terbiar.
Seorang kanak-kanak Melayu yang masih kecil cuba menuju ke arah anjing berkenaan, barangkali 'geram' melihat anjing jinak yang 'comel'. Si bapa segera mencegah perbuatan anaknya dengan alasan yang lembut dan munasabah bagi tahap pemikiran seorang kanak-kanak cilik. Pihak MBI perlu memantau 'pencerobohan' anjing terbiar dan liar daripada memasuki padang polo sebelum sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.
Perkara terakhir yang sempat disaksikan ialah kempen pilihan raya oleh calon dewan undangan negeri Taman Canning, Ceylin Tay Wei Lung (baju-T putih), daripada Barisan Nasional (BN) bertemu bakal pengundi di padang polo. Pasukan beliau mengedarkan bendera, baju-t, topi, pelekat kenderaan dan risalah kempen kepada pengunjung yang ditemui. Konvoi pasukan motosikal diletakkan berhampiran kawasan pentas utama senam robik.
Padang polo akan terus mencatat pelbagai peristiwa menarik dan menjadi tumpuan pengunjung, termasuk dari luar Ipoh. Setakat ini, tiada sebarang peristiwa kecoh berlaku di sana, melainkan masalah kepekaan dalam menjaga kebersihan tempat rekreasi awam. Semua pengunjung didapati menghormati kegiatan pengunjung yang lain dan diharapkan hal itu berkekalan...
No comments:
Post a Comment