Saturday, November 23, 2013

NILAI MURNI MASYARAKAT KAMPUNG (HELPING OTHERS F.O.C.)

Pada hari Jumaat yang lalu, ketika berada di Kampung Changkat Panchor, tiga kilometer dari pekan kecil Bota Kanan, kenderaan penulis blog (PB) tersangkut di dalam tempat becak dan tidak mampu bergerak. Kawasan di situ tiada rumah berdekatan dan PB orang asing. Jam sudah menunjukkan pukul 12.00 tengah hari dan tiada kelibat manusia yang melintas di situ.

Dalam keadaan genting begitu, petua watak James Bond 007, iaitu jangan tunjuk cemas, cari jalan keluar dan bertindak cepat boleh dibuat panduan. Dalam ayat seribu dinar (at-Talaq: 2-3) menegaskan bahawa barang siapa yang bertaqwa, Allah akan tunjukkan jalan keluar, beroleh rezeki dari arah yang tidak diduga dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan baginya ... Telefon bimbit juga sangat membantu kerana sahabat mungkin bersedia membantu walaupun mereka berada jauh, sekurang-kurangnya dari segi idea.

PB menghubungi Encik Muri, petugas kantin sekolah di Ipoh yang mempunyai keluarga dan rakan di kawasan berhampiran Parit, kira-kira lima kilometer dari tempat kereta tersangkut. Alhamdulillah, dia menjawab panggilan dengan cepat dan menyuruh PB menunggu abang dan kawannya yang akan datang membantu. Sementera itu, PB dan orang rumah berjalan dalam jarak 200 meter untuk mendapatkan bantuan penghuni rumah yang paling dekat.

Penghuni rumah itu serta-merta datang bersama anak dan jiran mereka yang masih dalam lingkungan usia sekolah rendah. Mereka membawa dua keping papan dan terus menolak kereta beramai-ramai, tetapi kudrat kanak-kanak kecil agak terhad walaupun telah mencuba sedaya upaya. Sepuluh minit kemudian, lima buah motosikal yang ditunggang oleh orang muda dan dewasa yang dihantar oleh Encik Muri pun tiba.

Gabungan kanak-kanak, orang muda dan dewasa ibarat lidi yang sudah diikat menjadi berkas yang tidak lagi mudah dipatahkan. Dalam tempoh tidak sampai seminit, kereta berjaya dikeluarkan dari kawasan becak berkenaan. PB berasa lega justeru dapat meneruskan perjalanan balik ke Ipoh dan singgah di mana-mana masjid untuk solat Jumaat.

PB telah menyediakan beberapa keping wang kertas nominasi RM10 untuk diagihkan kepada penduduk kampung yang budiman itu. Namun, semua sekali bergegas pergi sambil berteriak, "kami ikhlas menolong." Kanak-kanak yang berbasikal tadi juga menolak sebarang imbuhan walaupun untuk membeli minuman kerana mereka berasa seronok kerana mendapat pengalaman yang baharu agaknya.

PB menghubung Encik Muri semula untuk memaklumkan masalah telah selesai, mengucapkan terima kasih dan memberitahu perihal mereka yang menolak pemberian wang walaupun satu sen. Encik Muri hanya gelak sambil menganggap hal itu sebagai biasa sahaja di kawasan kejiranan kampung. PB juga pernah melalui zaman kanak-kanak di kampung, tetapi pada zaman generasi X

Hakikatnya nilai pertolongan pada detik genting sebegitu tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Bayangkan tiada siapa yang sudi menghulurkan bantuan di kawasan yang sunyi seperti itu. Khidmat kereta tunda mungkin mengambil masa untuk tiba dan caj yang dikenakan tentu sangat tinggi.

PB meneruskan perjalanan ke pekan Parit untuk mencari kedudukan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sana justeru akan berurusan di sana pada 9 Disember kelak. PB terlajak empat kilometer kerana kampus MRSM kedalam sedikit dan tidak kelihatan dari jalan besar. Penduduk kampung berhampiran Serapoh dengan ramah memberi maklumat terperinci tentang tempat yang dituju itu.

PB singgah solat Jumaat di Masjid Jamek pekan Parit dan mengikuti khutbah yang disediakan oleh Jakim yang bertajuk pengisian cuti sekolah untuk remaja Muslim. Hujan turun renyai dan PB beredar pulang kira-kira pukul dua petang. Budi baik orang kampung di sana memang sangat berharga buat PB ...

No comments:

Post a Comment