Friday, December 20, 2013

SIAPA KATA MUTU PENDIDIKAN DI MALAYSIA KETINGGALAN? (UNFAIR STATEMENT)

Dalam satu majlis kenduri semalam, seorang ayah memberitahu bahawa dia tidak menyangka bahawa anaknya yang lulus Sijil Pelajaran Malaysia jurusan sastera berjaya memperoleh biasiswa untuk menyambung pengajian ke Amerika Syarikat. Persaingan memang cukup kuat, tetapi peluang tetap ada kepada mereka yang masih berharap dan berusaha kuat. Maka, anggapan sesetengah pihak yang sinis tentang pencapaian generasi muda kita dalam akademik kononnya sebuah gambaran palsu  sangatlah mendukacitakan.

Golongan berkenaan mengukur pencapaian akademik dari kaca mata Barat menerusi ujian PISA dan TIMMS yang tidak diketahui kesahan dan kebolehpercayaan pentadbiran instrumen mereka dari segi sampel dan populasi yang terbabit. Dakwaan bahawa murid kita ketinggalan beberapa tahun dalam kalangan negara jiran terdekat juga sangat mengelirukan. Sudah pasti bahawa kita tidak menolak sepenuhnya ukuran sejagat anjuran OECD, agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), namun hakikat bahawa penyeluruhan atau generalisasi yang melampau melambangkan kelemahan dalam memahami had atau batasan sesuatu alat pengukuran dan penilaian pendidikan tidak kira dalam mana-mana skala sekalipun.

Apabila semakin ramai calon PMR dan SPM beroleh semua A, golongan amatur pendidikan tanpa berlengah menghamburkan cemuhan. Semua kerana graf diturunkan dan berlaku ubah suai taburan normal untuk penetapan gred peperiksaan. Mereka masih dibuai kenangan lampau mereka kononnya bagus sangat.

Kasihan pada murid kita yang berkejar ke sana ke mari demi menggapai impian diri sendiri, ibu bapa, keluarga dan masyarakat. Cuba perhatikan bahawa kurikulum murid sekolah rendah sudah begitu ke hadapan jika dibandingkan dengan zaman ibu bapa mereka dan zaman pengkritik amatur pendidikan. Pendidikan ialah tentang masa hadapan dan perubahan, bukan mahu mundur semula ke garisan permulaan.

Jika Barat hendak dijadikan kayu ukur pencapaian pendidikan, pengkritik amatur itu patut membaca naskhah The Closing of The American Mind karya Allan Bloom (klik di sini). Meskipun PBB memang mendatangkan manfaat kepada hubungan antarabangsa dan kemanusiaan, entiti berkenaan ialah kewujudan pasca-Perang Dunia Kedua yang menyaksikan penguasaan kuasa besar yang menang. Maka, tidak menghairankan jika banyak nilai yang cuba dipaksakan terhadap negara-negara yang dianggap tidak berdaya untuk bersuara tentang jati diri dan seumpamanya.

Laporan PBB tentang mutu pendidikan di Malaysia boleh dibaca di sini. Selain politikus, laporan yang bersifat sebelah pihak itu turut disambut begitu sahaja oleh pihak amatur pendidikan (klik di sini). Mereka tergamak membuat kesimpulan melulu tanpa memberikan keadilan kepada seluruh struktur sistem pendidikan negara yang telah berhempas pulas dalam menjayakan konsep pendidikan bermutu untuk semua murid, atau disebut pendemokrasian pendidikan, atau pendidikan inklusif.

Golongan pemuja bahasa Inggeris (anglofil) juga didapati cuba memberi tekanan kononnya tahap penguasaan bahasa Inggeris murid zaman sekarang sudah tidak sehebat zaman sekolah aliran Inggeris dahulu. Mereka masih dibuai dengan kenangan silam ketika sisa-sisa taring penjajah Inggeris masih hadir, terutama dalam urusan dokumentasi kewangan dan sektor swasta. Bahasa Inggeris atau mana-mana bahasa asing memang mustahak, tetapi tidaklah sampai perlu menyisihkan bahasa  kebangsaan kita sendiri.

Secara berbanding, sistem pendidikan di Malaysia masih dalam proses perjalanan ke arah ciri yang berkesan, jitu dan mantap. Maka, pelbagai dasar dan pendekatan telah dilaksanakan supaya capaian (aksesibiliti), keadilan (ekuiti), pengurusan dan kecemerlangan pembelajaran dapat dinikmati oleh murid di sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi. Dalam jangka pendek, Malaysia mungkin dilihat sebagai ketinggalan, tetapi suatu hari nanti model pendidikan kita akan dicemburui.

Secara teoritikal, sesuatu sistem pendidikan dipengaruhi oleh permintaan modal insan, permintaan sosial dan perancangan atasan (contohnya klik di sini). Sarjana tersohor seperti Syed Muhammad Naquib al-Attas menerusi pengisytiharan pendidikan Makkah juga telah menggariskan sistem pendidikan yang berteraskan tawhid dan karamah insaniyyah (baca di sini). Dari masa ke masa, akan muncul saranan perubahan dan penambahbaikan dalam penyampaian pendidikan dan pembaharuan kurikulum supaya sejajar dengan keperluan semasa dan masa hadapan dalam persekitaran yang sukar utnuk diramalkan sepenuhnya.

Perbuatan melontarkan dakwaan, label dan tuduhan memang lancar kerana lidah itu tidak bertulang, serta akal fikiran yang cenderung untuk mengkagumi diri sendiri. Marilah kita berlapang dada, berjiwa besar dan berkepala dingin dalam keghairahan untuk menyumbang terhadap sistem pendidikan yang sempurna. Hendaknya hujah, pendapat dan saranan yang dizahirkan sentiasa dipacu oleh neraca pertimbangan yang adil dan bertunjang kepada ilmu pengetahuan yang autentik ...

No comments:

Post a Comment