Tujuan asal penubuhan sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ialah untuk membuka lebih banyak peluang akses persekitaran pembelajaran tahap tinggi kepada murid yang berasal dari kawasan desa yang sinonim dengan latar belakang sosioekonomi yang ketinggalan serba-serbi. Berbeza dengan Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang ditubuhkan pada era sebelum kemerdekaan negara yang menjadi tempat menyediakan pemimpin atasan, SBP dan MRSM menawarkan tempat kepada anak-anak Melayu dan bumiputera yang berpencapaian cemerlang dalam bidang akademik, tetapi bermasalah dari segi kewangan dan pembiayaan persekolahan.
Kejayaan SBP dan MRSM yang membuktikan anak-anak Melayu mampu mencatat pencapaian cemerlang telah menyebabkan ibu bapa mula mengatur pelbagai strategi bagi melamar tempat untuk anak mereka ke sana. Bekas pelajar SBP dan MRSM yang sudah berjaya dan kaya mahu meneruskan legasi kecemerlangan mereka kepada anak-anak pula. Persatuan Bekas Pelajar memiliki pengaruh yang tersendiri dalam kemajuan dan pembangunan kedua-dua SBP dan MRSM menerusi sumbangan kewangan dan kepakaran sebagaimana yang berlaku di sekolah vernakular kaum Cina.
Ibu bapa di kawasan bandar juga mempunyai alasan untuk bersaing merebut tempat yang terhad di SBP dan MRSM. Walaupun dari segi pendapatan nominal mereka lebih tinggi secara berbanding dengan ibu bapa di desa, tetapi mereka hanya mampu tinggal di kawasan perumahan dan berhadapan dengan kos sara hidup dan kos sosial yang lebih tinggi. Pemilikan kenderaan dan rumah kebanyakannya dibiayai menerusi pinjaman institusi kewangan atau skim pinjaman perumahan kerajaan.
Anak-anak bandar juga tidak bebas bergerak atas faktor keselamatan berbanding dengan budak kampung. Ibu bapa bandar menjadikan pusat tuisyen bagaikan pusat jagaan supaya mereka dapat bekerja dengan tenang. Perbelanjaan untuk keselamatan anak-anak itu memang tinggi.
Berdasarkan senario yang disebutkan itu, ibu bapa di bandar juga berharap supaya anak mereka diberi tempat di SBP dan MRSM menerusi kriteria pemilihan yang saksama. Persekitaran pembelajaran di sekolah harian, sekolah kawalan dan sekolah model khas sudah tentu tidak sama dengan SBP dan MRSM bukan kerana kemudahan prasarana dan guru terbaik, tetapi dari segi persaingan antara murid yang berpencapaian tinggi. Pengalaman pembelajaran dan proses kemenjadian murid hingga ke peringkat antarabangsa begitu terserlah di SBP dan MRSM.
...
...
...
...
...
No comments:
Post a Comment